Pelan Perbelanjaan

Sediakan Belanjawan Keluarga

Kos sara hidup merujuk kepada sejumlah kos yang perlu ditanggung oleh seseorang individu ataupun sesebuah isi rumah untuk memenuhi keperluan asas, seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal serta keperluan lain untuk kelangsungan dan keselesaan hidup.

Taraf kehidupan seseorang dikatakan merosot atau berkurangan sekiranya pendapatan yang diterima berada pada kadar yang lebih rendah berbanding dengan kos sara hidup. Kenaikan kos sara hidup ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada ekonomi isi rumah. Peningkatan kos sara hidup yang tidak selari dengan peningkatan pendapatan boleh belanja isi rumah, sudah pastinya akan mengurangkan pendapatan boleh belanja isi rumah.

Pendapatan yang diterima sekadar cukup untuk memenuhi keperluan semasa keluarga, terutama keperluan asas, seperti makanan dan rumah. Oleh itu, isi rumah tidak lagi mampu untuk membuat simpanan atau pelaburan seperti sebelum ini, malahan mereka terpaksa berjimat cermat. Ada juga yang terpaksa mengikat perut demi memastikan kelangsungan hidup diri dan keluarga.

Lima langkah menyediakan belanjawan keluarga:

Langkah 1: Menganggarkan pendapatan keluarga

  1. Ambil kira jumlah wang yang selalu diterima (tanpa mengira wang dividen, bonus dan kerja lebih masa)
  2. Pastikan bayaran wajib, seperti cukai, Perkeso ditolak terlebih dahulu.
  3. Pastikan jumlah bayaran tetap, seperti cukai pendapatan, KWSP dibuat melalui potongan gaji.
  4. Anggarkan jumlah yang minimum.

*Jumlah pendapatan yang dianggarkan akan menjadi jumlah yang boleh dibelanjakan untuk bulan akan datang. Ketika menyediakan belanjawan, jumlah ini akan diagihkan untuk perbelanjaan tertentu.

Langkah 2: Menentukan kategori perbelanjaan

Terdapat dua kategori perbelanjaan keluarga;

  1. Perbelanjaan tetap (sewa rumah, ansuran kereta, pinjaman rumah dan pinjaman peribadi);
  2. Perbelanjaan berubah (makanan, pakaian, petrol, utiliti).

*Jumlah perbelanjaan ini akan bergantung daripada kategori perbelanjaan keluarga sama ada keluarga tersebut boleh berusaha untuk berjimat cermat bagi mengurangkan perbelanjaan untuk mencapai matlamat simpanan.

Langkah 3: Buat anggaran perbelanjaan sebulan

  1. Anggaran perbelanjaan boleh dibuat berpandukan kepada corak perbelanjaan bulan sebelum ini.
  2. Pastikan anggaran tidak melebihi jumlah pendapatan yang diterima.

Langkah 4: Merekodkan perbelanjaan

Cabaran menyediakan belanjawan ialah sejauh mana keluarga dapat merekodkan semua perbelanjaan yang dibuat. Ia penting bagi membolehkan keluarga menyemak sama ada apa yang dirancang dapat dilaksanakan atau sebaliknya:

a) Rancang pembelian supaya anda tidak perlu terlalu kerap ke kedai.

b) Sediakan senarai semak dan pastikan anda beli apa yang dicatatkan dalam senarai.

c) Beli barangan mengikut keperluan bukan kehendak.

d) Simpan resit pembelian supaya dapat diteliti kemana wang dibelanjakan.

*Jangan kecewa jika anda gagal menyimpan rekod untuk bulan pertama. Perlu diingat bahawa untuk mengubah cara anda berbelanja mengambil masa secara perlahanlahan supaya tidak mendatangkan tekanan kepada anda dan keluarga.

Contoh Merekodkan Perbelanjaan

Tarikh

Belian Harga
20/1/2016 Kad tambah nilai – Maxis

RM 50.00

21/1/2016

Sarapan pagi RM   3.50
Makan tengah hari

RM   7.00

22/1/2016 Belian di Pasar Raya A – Bayaran menggunakan Kad kredit

RM 350.00

Langkah 5: Menilai semula, buat penyesuaian

  1. Semak rekod perbelanjaan pada akhir setiap bulan dan bandingkan dengan jumlah yang diperuntukkan untuk kategori tertentu.
  2. Teliti semua cara anda berbelanja, kesesuaian peruntukan yang dibuat dan buat penyesuaian yang diperlukan.
  3. Jika perbelanjaan melebihi peruntukan, teliti semula peruntukan atau cara anda berbelanja.

Sumber: Penulis artikel oleh Prof Madya Dr Mohammad Fazli Sabri,
Ketua
Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna,
Fakulti Ekologi
Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button