Pengguna

SCAM / Sindiket Penipuan

Pada masa ini, teknologi internet yang semakin meningkat mempermudah gaya hidup anda dalam pelbagai bidang dari segi pelajaran hingga kerja harian. Namun demikian, ramai yang mudah ditipu dengan skim/sindiket penipuan ataupun ‘scam’ menggunakan teknologi internet.

Berdasarkan aduan yang diterima oleh NCCC, terdapat beberapa teknik ‘scam‘ yang digunakan untuk memperdaya pengguna. Berikut adalah tiga bentuk ‘scam’ yang popular berdasarkan rekod NCCC:-

A. Penipuan Pelaburan MLM

Antara kaedah operasi yang dikenal pasti digunakan oleh sindiket adalah:-

  1. Pada mulanya ahli sindiket akan mengajak mangsa untuk keluar minum petang atau makan malam untuk membincangkan peluang perniagaan.
  2. Selepas itu, ahli sindiket bercerita tentang skim perniagaan yang mangsa hanya perlu membayar yuran ahli atau membeli barangan dan mencari ahli baru untuk mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda dalam masa yang singkat.
  3. Skim pelaburan ini menjelaskan bahawa terdapat beberapa pangkat atau ‘level’ di dalam syarikatnya untuk mengaut keuntungan dengan cepat.
  4. Ahli sindiket juga biasanya akan menggunakan kenderaan mewah bagi menarik perhatian mangsa untuk melabur dengannya.
  5. Mangsa berasa tertipu apabila pulangan yang dijanjikan tidak diperoleh.

Pengguna dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran menyertai perniagaan yang berbentuk skim piramid dan pemasaran pelbagai peringkat (MLM) yang menjanjikan pulangan lumayan. Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah awal bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan dengan membuat semakan di Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mengetahui status perniagaan syarikat yang dinyatakan benar atau sebaliknya.

B. Gores dan Menang

Lazimnya, gores dan menang memperdaya mangsa dengan menawarkan hadiah lumayan. Berikut adalah taktik yang digunakan:-

  1. Mangsa didatangi suspek dan meminta mangsa menggores kad yang disediakan.
  2. Kemudian sindiket meminta mangsa datang ke pejabat syarikat bagi proses seterusnya. Syarikat ini biasanya tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau mempunyai lesen di bawah Akta Jualan Langsung.
  3. Untuk meyakinkan mangsa, biasanya sindiket akan menunjukkan kepada mangsa keratan akhbar mengenai kereta mewah yang kononnya telah berjaya dimenangi oleh peserta lain. Berhati-hati, ia adalah satu helah semata-mata.
  4. Mangsa diminta menyerahkan sejumlah wang atau akaun bank. Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati barangan yang diberikan tidak berkualiti dan tidak sepadan dengan jumlah wang yang diserahkan.

C. Penipuan Melalui SMS

Sindiket penipuan SMS yang memperdaya mangsa menggunakan taktik seperti berikut:

  1. Mangsa menerima SMS seperti berikut, “Tahniah! simkad anda telah memenangi hadiah wang tunai bernilai ribuan ringgit daripada syarikat tertentu”.
  2. Kemudian sindiket mengarahkan mangsa untuk menghubungi nombor telefon yang diberikan dalam SMS tersebut.
  3. Apabila dihubungi, mangsa diarahkan supaya pergi ke ATM untuk proses penerimaan wang hadiah.
  4. Mangsa kemudian mengikut segala arahan yang diberikan oleh suspek tanpa membuat semakan daripada syarikat penaja terlebih dahulu kerana teruja untuk mendapatkan wang yang lumayan.
  5. Setelah membuat semakan akaun bank, didapati wang hadiah yang dijanjikan tidak diperoleh, malah baki wang akaun mangsa berkurangan. Tetapi suspek tersebut gagal dihubungi oleh mana-mana pihak daripada nombor yang diberikan

Terdapat empat cara yang digunakan oleh pengendali sindiket untuk mengambil wang daripada mangsa, iaitu:

  • Deposit wang tunai terus ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek.
  • Pindahan wang daripada akaun mangsa kepada akaun yang diberikan oleh suspek. (Mangsa hanya mengikut arahan suspek melalui telefon dan tidak sedar diperdaya oleh suspek).
  • Suspek mengaktifkan perbankan atas talian milik mangsa dan kemudiannya memindahkan wang mangsa. (Mangsa hanya mengikut arahan suspek melalui telefon dan tidak sedar diperdaya oleh suspek).
  • Mangsa diarah tambah nilai (Top-up) nombor-nombor telefon pra-bayar suspek.

Pengguna dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan anda memenangi hadiah wang tunai berjumlah ribuan ringgit daripada syarikat minyak, minuman atau telekomunikasi terkenal di Malaysia. Dapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada syarikat berkenaan sekiranya benar terdapat penganjuran sesebuah peraduan yang dikendalikan oleh pihak mereka. Jangan cepat diperdaya dengan tawaran/hadiah yang tidak munasabah.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 61/Mei 2015

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button