Pengurusan KewanganPerancangan Kewangan

Salah Faham Tentang Konsep Kewangan

Generasi milenium (Gen Y) pada masa ini kian tersepit. Menurut kajian Asian Institute of Finance (AIF), 38% daripada Gen Y memiliki pinjaman peribadi, dan 47% pula memiliki kad kredit, manakala hanya 28% yang benar-benar yakin dengan pengurusan kewangan peribadi mereka.

Statistik di atas membangkitkan persoalan: adakah budaya atau kekurangan pendidikan yang mencetus polemik tersebut? Walaupun setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap keputusan dan tindakan masing-masing, namun terdapat beberapa salah faham kewangan yang perlu diberi penerangan kerana ia akan mendatangkan kesan yang besar terhadap seluruh masyarakat.

  1. Tidak baik untuk berhutang

Sejak kanak-kanak lagi, ibu bapa telah menanam pemahaman bahawa berhutang merupakan tindakan yang buruk. Malangnya, pemahaman tersebut telah menyempitkan pandangan rakyat Malaysia terhadap skim-skim yang ditawarkan oleh bank dan institusi kewangan yang lain.

Sebenarnya, terdapat pinjaman-pinjaman peribadi, pelan pindahan baki, ansuran tanpa faedah serta pelan pendahuluan tunai di pasaran yang boleh membantu pengguna dalam isu-isu kewangan untuk mencapai matlamat kewangan mereka, dengan kadar faedah yang rendah.

Salah faham ini masih lagi ketara di kawasan pinggir bandar dan luar bandar, terutamanya apabila maklumat untuk menguruskan hutang dengan betul masih lagi sukar untuk diakses. Namun kemudahan pinjaman, cagaran, gadaian dan kad kredit hanya akan membantu sekiranya anda menggunakannya dengan betul.

Lantas sebelum berhutang, pertimbangkan soalan-soalan berikut terlebih dahulu:

  • Bagaimanakah anda boleh menguruskan hutang dengan baik?
  • Bilakah anda boleh memohon pinjaman?
  • Apakah perbezaan antara hutang baik dan hutang buruk?
  • Bagaimanakah anda boleh menjelaskan hutang tanpa membebankan kewangan anda?

 

  1. Tidak bagus memiliki kad kredit

Persepsi masyarakat terhadap kad kredit yang menyangka kad kredit adalah untuk golongan yang boros berbelanja dan tidak tahu menyimpan. Sebenarnya kad kredit hanya akan membawa bencana jika pengguna tidak tahu akan ciri-ciri kad kredit dan menggunakannya tanpa batasan.

Kad kredit akan membantu perbelanjaan anda terutamanya jika anda tahu akan kelebihan-kelebihan yang ditawarkan, seperti kadar faedah 0% untuk pembelian secara ansuran, penjimatan wang dengan tawaran rebat dan juga menikmati tawaran-tawaran eksklusif daripada bank.

Tambahan pula, jika anda memiliki kad kredit dan membuat bayaran penuh setiap bulan, ia akan menambah baik skor kredit dan bakal memudahkan anda untuk membuat pinjaman pada masa akan datang.

  1. Bank merupakan tempat baik untuk mengembangkan wang

Walaupun kenyataan ini adalah betul, sebenarnya masih ada lagi alternatif pelaburan yang menawarkan kadar faedah dan dividen yang lebih tinggi di pasaran berbanding dengan deposit tetap serta akaun simpanan di bank.

Pilihan-pilihan yang ada antaranya unit amanah, saham, bon ataupun memulakan perniagaan sendiri. Dengan portfolio yang seimbang, anda tidak perlu melabur semua wang yang anda miliki. Menyimpan semua wang di bank juga tidak akan mampu untuk mengembangkan wang, apatah lagi dengan kesan inflasi.

Jadi, peruntukkan sebahagian daripada pendapatan anda untuk pelaburan-pelaburan yang anda yakini, terutamanya yang memberi pulangan yang stabil.

  1. Perlu fokus kepada pendapatan pasif

Pada era ini, pendapatan pasif (pendapatan yang tidak memerlukan anda bekerja) tidak dinafikan amat penting. Namun begitu, jika anda masih lagi mempunyai pekerjaan, sama ada sepenuh masa, secara kontrak, ataupun berniaga, kerjaya tersebut perlu diberi keutamaan. Ramai rakyat Malaysia yang terperangkap apabila memberi lebih tumpuan kepada pendapatan pasif mereka sehingga terjebak dengan skim penipuan pendapatan pasif, dan juga dipecat daripada kerja akibat tidak produktif semasa bekerja.

Jika anda mempunya kemahiran, berikan sahaja tumpuan sepenuhnya terhadap kerja tetap dan tingkatkan kemahiran yang berkaitan dengan kerjaya seperti sijil-sijil kelayakan, ataupun kerja sambilan bagi menampung pendapatan. Di samping memberikan tumpuan terhadap pekerjaan, kembangkan wang simpanan anda dengan alternatif lain seperti pelaburan.

  1. Berbelanja besar akan meningkatkan kualiti hidup

Semakin ramai generasi milenium yang terperangkap dengan tarikan gaya hidup mewah. Salah faham tentang keperluan untuk berbelanja besar bagi meningkatkan taraf hidup ini bakal mencetuskan bencana jika tiada perubahan dilakukan.

Jika ingin menuding jari untuk mencari siapa yang bersalah dalam hal ini, ia tidak akan berkesudahan. Namun, segalanya bermula dari rumah, iaitu ibu bapa berperanan dalam membentuk kesedaran kewangan kepada anak-anak sejak dari awal. Contohnya, mengajar anak-anak untuk membandingkan harga barang ketika di kedai, dan memilih untuk berjimat cermat ketika berbelanja.

Daripada sudut yang lain pula, masih ramai rakyat Malaysia yang berhabis ratusan hingga ribuan ringgit membeli barang-barang berjenama, semata-mata untuk kelihatan berpendapatan tinggi. Sikap ini telah menjadi barah dalam komuniti dan melahirkan masyarakat yang materialistik dan hedonistik.

Sikap ini juga akan membuatkan anda mudah terpedaya dengan perangkap harga, iaitu membeli barang-barang yang mungkin terlalu mahal berbanding kualiti yang ditawarkan.

  1. Anda perlu ada RMXX pada umur tertentu

Memang sesuatu yang baik untuk meletakkan sasaran kewangan bagi memotivasikan diri, tetapi ramai rakyat Malaysia terlalu fokus akan sasaran ini sehingga memandang rendah terhadap orang lain, daripada segi jumlah pendapatan sehinggalah usaha seseorang itu untuk menambah baik taraf hidup.

Sikap ini juga telah dikhuatiri memburukkan budaya materialistik dalam kalangan masyarakat. Malah dalam usaha untuk mencapai sasaran tersebut, individu berkemungkinan akan menggunakan apa jua cara sehingga merampas hak orang lain.

Jika anda risau tentang pendapatan anda berbanding golongan lain yang sebaya dengan anda, teruskan untuk menambah baik kemahiran diri anda sehingga menjadi yang terbaik dalam bidang yang anda ceburi.

  1. Anda perlu berkira

Menyimpan wang merupakan satu tindakan yang murni. Oleh itu, janganlah kedekut atau berkira untuk menyimpan wang. Sebaliknya anda perlu berkira untuk mendapat nilai barang dan perkhidmatan yang setimpal dengan apa yang anda telah bayar.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 95/Mac 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button