Asas PerancanganPengurusan KewanganTip dan Panduan

Salah Faham Dalam Pengurusan Kewangan

Ramai yang mempunyai tanggapan salah tentang pengurusan kewangan dan tidak berusaha untuk memperbetulkan tanggapan tersebut, sehingga menyebabkan kedudukan kewangan menjadi semakin lemah. Sikap sambil lewa tersebut juga boleh mengganggu kedudukan kewangan. Oleh itu, salah faham tersebut perlu diperbetulkan supaya individu dapat mengurus kewangan mereka dengan lebih baik, sekali gus dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Berikut adalah beberapa salah faham pengurusan wang yang sering berlaku:

Salah faham urus wang #1 – “Gaji tinggi, hidup selesa”

Itulah yang ditanam dalam minda masyarakat semenjak kecil. Kononnya jika berpendapatan besar, mereka dapat hidup selesa dan dapat membeli apa yang diingini. Hakikatnya tidak begitu.

Jumlah gaji atau pendapatan yang tinggi tidak menjamin seseorang itu bebas daripada sebarang masalah kewangan. Sudah tentu anda pernah mendengar pepatah ‘semakin besar periuk, semakin besar keraknya’.

Dalam konteks pengurusan kewangan peribadi, pepatah ini memberi gambaran tabiat kebanyakan orang yang suka menambah perbelanjaan apabila pendapatan bertambah. Pantang gaji naik sedikit, terus mengidamkan kereta yang lebih mahal.

Apabila menerima bonus, dihabiskan dengan membeli pakaian-pakaian mahal dan barang-barang bukan keperluan. Akibatnya, walau gaji bertambah besar, namun kehidupan masih tetap sama dibelenggu masalah kewangan.

Sebenarnya, apa yang penting bukanlah gaji yang tinggi, tetapi ilmu pengurusan kewangan yang betul dan sikap yang betul terhadap wang yang dimiliki. Apabila gaji bertambah, usahlah berasa terlalu teruja dan gelap mata.

Sepatutnya, sebahagian daripada gaji yang bertambah itu hendaklah dimasukkan ke dalam tabung simpanan, bukannya semua habis dibelanjakan.

Setiap kali berbelanja, anda perlu membezakan antarakeperluan dan kehendak. Sentiasa membuat perancangan dan belanjawan, serta mendisiplinkan diri untuk patuh pada belanjawan tersebut. Berbelanja mengikut kemampuan sendiri.

Dengan sentiasa mengamalkan perkara-perkara ini, walau sebesar atau sekecil mana pun gaji yang diperoleh, anda akan mendapat hidup yang selesa, tenang dan bebas daripada belenggu masalah kewangan.

Salah faham urus wang #2 – “Simpan wang apabila ada wang lebih sahaja”

“Apabila mendapat gaji, bolehlah beli barang yang diingini. Puaskan dahulu kehendak diri. Kalau ada wang lebih, barulah simpan.”

“Penat-penat kerja, dapat gaji, mestilah berbelanja untuk kepuasan diri sendiri dahulu. Buat apa nak simpan wang.”

Masih ramai sebenarnya yang berpegang dengan katakata di atas. Namun akibatnya, mereka masih gagal menyimpan. Mana tidaknya, disebabkan menunggu wang lebih baru hendak menyimpan, memanglah susah. Wang apabila telah dibelanjakan, memang susah untuk dicari baki apatah lagi untuk disimpan.

Untuk mengatasi masalah ini, anda perlulah menukar pandangan dan mengubah minda anda. Simpan dahulu sebelum berbelanja. Apabila dapat gaji, simpan dahulu sebahagiannya, dan yang selebihnya barulah dibelanjakan. Prinsip penting dalam menyimpan; sanggup berkorban kesenangan hari ini untuk kesenangan hari esok. Contohnya, yang bergaji RM3,000 sebulan, disarankan untuk simpan terlebih dahulu dalam jumlah minimum RM300 (10% daripada gaji). Dengan wang sebanyak RM300, bermacam – macam perkara juga boleh dibeli untuk memenuhi kehendak tersebut.

Tetapi, demi membina tabung simpanan dan mengejar matlamat kewangan yang diingini, korbankanlah keseronokan tersebut demi masa susah atau masa  hadapan. Jika konsisten, hasil tabungan nanti akan memberikan kesenangan pada masa hadapan.

Salah faham urus wang #3 – “Gaji sikit, susah untuk menyimpan”

Ramai juga yang memberikan alasan pendapatan yang kecil menjadi penghalang untuk menyimpan secara konsisten.

Tidak dinafikan, dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi pada masa sekarang, memang agak sukar bagi mereka yang berpendapatan kecil untuk menyimpan. Namun, kalau boleh, janganlah sentiasa jadikan perkara ini sebagai alasan untuk tidak menyimpan.

Mulakan menyimpan dengan jumlah yang kecil dahulu, pastikan konsisten setiap bulan. Ini penting untuk memupuk tabiat menabung terlebih dahulu. Apabila pendapatan semakin bertambah, akan lebih mudah dan seronok untuk menyimpan kerana telah terdidik pada ‘waktu susah’ dulu.

Pada masa sama, disarankan juga setiap kali mendapat wang tambahan seperti bonus, lebih baik wang tersebut disimpan jika tiada apa-apa keperluan mendesak pada waktu tersebut. Ingatlah pepatah lama, “sikit-sikit, lama-lama jadi bukit”

Salah faham urus wang #4 – “Jimat cermat pada waktu gawat sahaja”

“Waktu senang, bolehlah berbelanja lebih. Waktu susah, pandai-pandailah berjimat cermat”. Anda tentu pernah mendengar luahan kata-kata seperti di atas.

Masa banyak wang, bukan main seronok lagi berbelanja. Apabila wang telah tinggal sedikit, barulah mula hendak berjimat cermat.

Hakikatnya, bukan begini yang sepatutnya diamalkan. Perbelanjaan hendaklah dikawal pada setiap masa, tidak kira pada waktu senang, dan lebih-lebih lagi pada waktu susah.

Utamakan perbelanjaan-perbelanjaan keperluan berbanding kehendak. Sentiasa patuhi belanjawan yang telah dirancang dan berbelanjalah mengikut kemampuan kewangan sendiri.

Kunci utamanya adalah bersederhana; jangan terlalu boros, dan jangan pula terlalu kedekut sehingga menyusahkan diri sendiri dan orang sekeliling.

Salah faham urus wang #5 – “Wang banyak-banyak, bukan boleh bawa masuk kubur”

Kata-kata di atas sering dilemparkan sebagai sindiran kepada golongan yang pandai mengurus wang. Kononnya, sia-sia sahaja mengurus wang dengan baik, mempunyai simpanan wang yang banyak kerana tidak boleh dibawa bersama-sama ke dalam kubur ketika meninggal dunia.

Ya, memang betul, wang yang banyak memang tidak boleh dibawa masuk ke kubur. Tetapi, dengan wang yang banyak, dapat membantu untuk mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan di alam sana.

Bagaimana ini berlaku? Bukankah dengan wang yang banyak, ia akan membantu anda untuk menunaikan zakat, sedekah dan wakaf dengan lebih mudah? Sekiranya anda bijak menguruskan kewangan, sudah tentu anda tidak akan meminggirkan amalan mengeluarkan zakat.

Sebahagian wang juga boleh disedekahkan secara konsisten kepada mereka yang memerlukan. Apabila meninggal dunia, bukan sahaja boleh diwasiatkan harta kepada waris, malah boleh diwakafkan juga.

Penutup

Demikian beberapa salah faham urus wang yang masih membelenggu minda kebanyakan orang. Oleh itu, salah faham tersebut perlu diperbetulkan ke arah pengurusan kewangan yang lebih baik.

Sumber : majalahlabur.com/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 106/Februari 2019

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button