Pelan PerbelanjaanPerancangan Kewangan

Rumah: Membeli Atau Menyewa?

Memiliki rumah sendiri merupakan suatu kebanggaan kerana hasrat dan matlamat anda telah tercapai, disamping berasa lebih terjamin kerana memiliki tempat tinggal untuk anda sekeluarga.

Apabila membeli rumah, anda berpeluang untuk meningkatkan nilai harta bersih sambil membayar balik pinjaman perumahan. Setiap pembayaran akan mengurangkan baki pinjaman dan juga meningkatkan ekuiti rumah anda (lebihan harga pasaran rumah tolak baki pinjaman). Membayar balik pinjaman juga membolehkan anda memohon pembiayaan semula, jika perlu. Walau bagaimanapun, pembiayaan semula harus dipertimbangkan sekiranya ekuiti rumah anda mencukupi dan juga pinjaman tersebut adalah berguna atau amat diperlukan.

Jika menyewa, kadar sewa boleh meningkat dari tahun ke tahun. Namun sekiranya anda membeli rumah sendiri, baki pinjaman pokok akan berkurangan setiap kali pembayaran dibuat. Tambahan pula, apabila pasaran hartanah meningkat, harga rumah anda juga turut meningkat sekiranya rumah anda terletak di lokasi yang strategik.

Walaupun membeli sebuah rumah merupakan suatu perkara yang hebat, tetapi bukan semua orang mampu melakukannya. Berikut adalah beberapa komitmen yang perlu diketahui tentang pembelian rumah:-

  • Memiliki rumah memerlukan anda meluangkan banyak masa untuk menyelenggara dan membaik pulih rumah.
  • Kekerapan membuat pengubahsuaian kecil boleh menambahkan kos perbelanjaan. Sebaliknya jika anda menyewa, perbelanjaan ini biasanya ditanggung oleh tuan rumah.
  • Anda juga “terikat” dengan rumah anda kerana, tidak seperti seorang penyewa, anda tidak bebas berpindah ke mana-mana dan bila-bila masa sahaja.
  • Jika berasa tidak sesuai dengan kejiranan yang ada, anda akan “terperangkap” dengan situasi itu sehinggalah harga rumah anda meningkat sebelum boleh menjualnya dan berpindah dari situ.
  • Terdapat banyak kemungkinan yang boleh menyebabkan harga rumah jatuh. Contohnya, rumah anda mungkin terletak di kawasan yang sering dilanda banjir atau jalan utama yang menuju ke arah kawasan perumahan anda sesak kerana adanya pembangunan baru.

Panduan bila anda harus menyewa

  • Apabila anda tidak mampu membayar ansuran pinjaman atau menyediakan wang pendahuluan untuk membeli rumah.
  • Apabila anda menjangkakan pasaran hartanah akan menurun.
  • Apabila anda masih mencari lokasi yang sesuai sebelum membeli.
  • Apabila anda tidak mahu memikirkan tentang kos penyelenggaraan dan membaik pulih.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 28/Ogos 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button