Pelan PerbelanjaanPengurusan KewanganPerancangan Kewangan

Risiko Urus Niaga Sambung Bayar Perjanjian Sewa Beli

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa ini dan dibebankan lagi dengan harga barang keperluan yang semakin melambung, maka sudah pastinya ia akan memberikan bebanan kepada orang ramai. Apatah lagi dengan bayaran ansuran kenderaan yang perlu dijelaskan setiap bulan mengikut perjanjian sewa beli yang termeterai dengan institusi perbankan.

Tidak dinafikan, para pengguna kenderaan di negara ini mengalami beban yang tinggi dalam pengurusan kewangan mereka, kehidupan di bandar yang serba serbi memerlukan wang ringgit.

Tatkala sibuk menguruskan keperluan harian, ada di antara mereka yang terlupa atau menghadapi kesukaran melunaskan bayaran ansuran kenderaan mereka.

Lebih menyedihkan jika ansuran kenderaan mereka tertunggak. Terdapat ramai yang memilih jalan mudah seperti menyerahkan kenderaan kepada pihak ketiga untuk tujuan sambung bayar.

Sebenarnya tindakan ini sangat berisiko, ibarat menjerat diri sendiri. Tahukah anda bahawa,walaupun ada pihak ketiga yang akan menyambung ansuran bulanan, namun anda masih bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kenderaan itu, sepertimana yang terkandung dalam perjanjian sewa beli yang asal, termasuk juga jika berlaku kes jenayah serta kemalangan. Jika berlaku kes jenayah atau kesalahan jalan raya, anda boleh diheret ke mahkamah, walaupun pada dasarnya anda tidak melakukannya.

Jika pihak ketiga gagal melangsaikan hutang anda ataupun kenderaan anda dibawa lari kerana gagal membuat pembayaran, pihak bank akan meletakkan tanggungjawab ke atas anda atas segala permasalahan yang timbul. Lebih teruk, perkara ini boleh menggagalkan tuntutan insurans kerana segala tindakan ini adalah bercanggah dengan Akta Sewa Beli 1967.

Lebih memburukkan keadaan jika kenderaan anda terlibat dalam kemalangan maut ataupun kes langgar lari. Sudah pasti anda yang akan diheret ke muka pengadilan kerana anda merupakan pemilik berdaftar kenderaan itu.

Jika kenderaan itu ditarik atau dituntut oleh pihak bank disebabkan kegagalan pihak yang menyambung hutang itu melangsaikan hutangnya, maka kenderaan ini akan dilelong. Jika hasil lelongan tidak mencukupi bagi menampung jumlah yang tertunggak, maka bakinya perlu ditanggung oleh tuan punya asal kenderaan dan pihak ketiga tidak boleh dipertanggungjawabkan kerana pihak ketiga tiada apa-apa kaitan yang boleh disabitkan atas kesalahan perjanjian sewa beli yang asal. Maka, tiada apa-apa tuntutan yang boleh dibuat walaupun kenderaan ditarik atas kecuaian yang dilakukan oleh pihak ketiga.

Langkah terbaik jika menghadapi masalah kewangan berkaitan sewa beli kenderaan adalah dengan berbincang semula dengan pihak bank. Untuk pengetahuan anda, sekarang terdapat banyak institusi perbankan yang menyediakan pakej penjadualan semula pembayaran untuk membantu pengguna.

Jika anda benar-benar tidak boleh meneruskan pembayaran, maka lebih baik bagi anda menyerahkan kenderaan itu kepada pihak perbankan sebelum tamatnya tempoh surat notis jadual keempat. Sekurang-kurangnya anda tidak perlu menanggung kos penarikan semula serta kos-kos lain yang pastinya akan membebankan. Anda juga mempunyai pilihan untuk membayar secara ansuran baki daripada hasil lelongan kenderaan. Ini adalah langkah yang lebih selamat.

Jadilah pengguna yang bijak dalam membuat keputusan.

Sumber : Auto Touch Magazine, Edisi Mei 2010/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 12/April 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button