Pelan Pelaburan

Risiko Pelaburan Dalam Bitcoin

Mata wang Digital, atau Cryptocurrency, yang dahulunya kelihatan asing, kini telah menjadi salah satu produk pelaburan popular untuk pelabur di Malaysia. Perkhidmatan dagangan mata wang digital bukanlah sesuatu yang baru, malah telah didagang di laman dagangan sejak sekian lama. Lebih 150 syarikat di seluruh dunia telah menggunakan mata wang digital sewaktu membuat urus niaga.

Bank Negara Malaysia, dalam kenyataannya pada 2 Januari 2014, menyatakan Bitcoin tidak diiktiraf sebagai sah diperlakukan di Malaysia. Bank Negara Malaysia tidak mengawal selia urus niaga Bitcoin. Oleh itu, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati terhadap risiko berkaitan penggunaan matawang digital tersebut.

Namun begitu, Bitcoin merupakan antara pilihan utama untuk pelaburan matawang digital di Malaysia, dengan 52.6% pelabur matawang digital menjadikannya sebagai alternatif pelaburan.

Apa itu Bitcoin?

Bitcoin ialah mata wang digital pertama yang telah dilancarkan pada tahun 2009. Setakat ini, terdapat lebih kurang 700 mata wang digital yang didagangkan, tetapi Bitcoin didagangkan di lebih 40 buah negara di seluruh dunia. Status mata wang digital bermaksud tiada wang kertas atau duit syiling yang akan dikeluarkan oleh kerajaan, sebaliknya, wang ini akan dijana sepenuhnya oleh komputer.

Mengapakah Bitcoin Sangat Popular?

Bitcoin dikenali atas faktor kepantasan wang tersebut boleh bertukar milik tanpa nama (anonymously). Urus niaga boleh dilakukan tanpa memerlukan identity terbuka, tetapi masih lagi boleh dikesan dari pangkalan data dalam talian yang dikenali sebagai blockchain.

Persepsi umum tentang Bitcoin dan mata wang digital yang lain ialah berbeza dari saham ataupun bon, ia menawarkan peluang untuk pelaburan yang kurang berisiko dan lebih menguntungkan. Menurut laporan akhbar TheSun, kebanyakan rakyat Malaysia membeli Bitcoin kerana :

  • Pelaburan (44%)
  • Kepantasan transaksi yang memudahkan dengan kos berpatutan (16%)
  • Urusan dagangan (15%)

Walaupun begitu, pengguna masih terdedah dengan risiko apabila melabur dalam mata wang Bitcoin. Antara risiko tersebut ialah :

  1. Terdedah kepada ancaman penggodam

Oleh kerana Bitcoin dan mata wang digital yang lain beroperasi dengan teknologi blockchain, kepantasan serta status perlindungan identiti pindahan wang menyebabkan ia berpotensi untuk menjadi platform dagangan pasaran gelap dan pengubahan wang haram (money laundering). Ciri seperti kepantasan dan perlindungan indentiti digemari oleh penjenayah, dan serangan penggodam Wannacry baru-baru ini memburukkan lagi keadaan.

Penggodam tersebut meminta wang tebusan dalam bentuk mata wang digital, menyebabkan permintaannya meningkat disebabkan kerisauan atas serangan yang sama pada masa akan datang.

Serangan tersebut diikuti dengan godaman ke atas dagangan mata wang digital. Tidak seperti serangan Wannacry, serangan kali ini merupakan DDoS (Distributed Denial of Service), yang memberi impak atas ‘server’, yang menjadikan sistem terganggu dan aktiviti dagangan tergendala.

  1. Nilai mata wang tidak menentu

Pada Januari 2017, Bitcoin sekali lagi mendapat liputan meluas kerana telah melepasi nilai AS$1,000 untuk satu Bitcoin. Bitcoin juga merupakan mata wang dengan prestasi terbaik pada tahun 2016, dengan nilai yang melonjak 120%, melebihi kenaikan 20% oleh mata wang Ruble dari Rusia dan Real dari Brazil.

Antara faktor yang mendorong kepada kenaikan nilai Bitcoin ialah polisi penyemakan nilai mata wang di India dan juga pelaksanaan langkah membanteras rasuah yang lebih ketat di China kerana mata wang digital digunakan untuk menyembunyikan wang rasuah.

Oleh kerana mata wang digital Bitcoin mempunyai nilai yang turun naik, bermakna jika nilainya naik, keuntungan yang anda boleh jana amat tinggi. Tetapi, kejatuhan nilainya juga akan menyebabkan anda menanggung kerugian.

Bolehkah Anda Menjana Keuntungan dari Pelaburan Bitcoin?

Bitcoin dan mata wang digital yang lain dianggap sebagai mata wang masa hadapan. Walau bagaimanapun, pada masa ini nilainya adalah tidak stabil dan status undang-undang dagangan masih belum ditentukan oleh pihak berkuasa di kebanyakan negara.

Dalam laporan yang disiarkan oleh akhbar The Star, “Nilai Bitcoin pada 11 Jun 2017 meningkat kepada AS$3,041 bagi satu Bitcoin, dan menjunam kepada AS$2,419 bagi satu Bitcoin pada jam 6.45 petang keesokan harinya, iaitu kejatuhan sebanyak AS$600.”

Untuk pelabur konservatif yang tidak gemarkan risiko, Bitcoin ibarat perjudian, dan kekurangan dari segi ketelusan menyukarkan proses untuk meramal status mata wang digital ini, sama ada ia bakal meningkat ataupun tidak. Nilai Bitcoin yang turun dan naik boleh meberi kesan kepada pelaburan anda.

Keuntungan melalui Bitcoin adalah melalui kenaikan nilai mata wang digital itu. Ini berbeza dengan saham, deposit atau bon, yang walaupun harganya tidak berubah, anda akan tetap menjana pendapatan dari faedah dan dividen.

Kesimpulannya, anda berpotensi untuk menjana keuntungan dari Bitcoin, tapi ingat apabila nilainya turun, anda bakal menanggung kerugian yang tinggi.

Sumber: Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 91/November 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button