Pelan PerbelanjaanPengguna

Risiko Jual Beli Kereta Secara Sambung Bayar

Kes: Saya tidak mengenali secara dekat individu yang sedang menggunakan kereta saya selepas saya menjual kereta kepadanya secara sambung bayar. Atas dasar percaya, saya menyerahkan kereta tersebut dengan harapan pembayaran bulanan dilakukan tepat pada masanya dan segala saman dijelaskan, tidak terlibat dengan jenayah dan lain-lain.

Ketika menyerahkan kereta, kami menandatangani surat perjanjian, namun saya tidak menerima salinan sehingga kini, walaupun individu tersebut sudah berjanji akan menyerahkannya apabila selesai urusan pemfailan.

Kemudian muncul masalah apabila pemilik baharu tidak melakukan bayaran bulanan secara tetap. Mesej saya tidak dibalas dan telefon tidak dijawab. Pihak bank pula hampir setiap hari menghubungi saya mengingatkan tentang pinjaman kereta yang tertunggak. Malah banyak pula saman yang diterima oleh pemilik baharu yang menggunakan kereta tersebut.

Demikian adalah kes yang berlaku apabila menjual kereta secara sambung bayar. Apakah berbaloi jika beli atau jual kereta sambung bayar? Bagaimana dengan risiko? Tidak dinafikan ramai yang beli kereta sambung bayar. Tetapi tahukah anda apakah risiko-risiko yang akan dihadapi jika membeli kereta sambung bayar?

Hakikatnya ramai yang tidak sedar bahawa beli atau jual kereta secara sambung bayar terdedah pada pelbagai risiko yang tidak diduga.

Risiko Kepada Penjual

  1. Terbabit Kes Jenayah

Jika pihak ketiga menyalahgunakan kereta anda untuk kegiatan jenayah, pemilik kereta asal, iaitu anda, akan menanggung segala risiko. Silap langkah anda selaku pemilik asal boleh didakwa.

  1. Dapat Saman

Segala saman atau kompaun yang dikenakan terhadap kereta anda akan memberi kesan kepada anda selaku pemilik kereta dan bukannya pihak ketiga yang membelinya. Hal ini disebabkan pendaftaran kereta tersebut masih atas nama anda.

  1. Pembeli Tidak Bayar Ansuran

Anda harus ingat, kebanyakan mereka yang membeli kereta sambung bayar kebiasaannya memiliki rekod buruk seperti nama disenarai hitam, ada masalah kewangan dan sebagainya. Jadi mereka berisiko untuk tidak bayar ansuran. Akibatnya, anda terpaksa menanggung hutang.

  1. Jual Atas Jual

Terdapat juga kes kereta yang dijual itu dijual pula kepada orang lain tanpa disedari oleh pemilik asal. Akibatnya, anda tidak tahu siapa pemilik yang baharu itu. Bagaimana jika bayaran bulanan tidak dibuat kepada pihak bank? Siapa yang perlu anda tuntut?

Risiko Kepada Pembeli

  1. Pemilik Kereta Mati

Jika pemilik kereta meninggal dunia, pihak waris berhak meminta anda mengembalikan kereta walaupun ada perjanjian.

  1. Tidak Dapat Tukar Nama

Sekiranya anda sudah selesai melangsai ansuran, apakah anda yakin nama pemilik akan bertukar? Bagaimana jika pemilik kereta asal mahu ambil kembali kereta tersebut? Mahu larikan kereta? Mahu tidak mahu anda perlu serahkan kembali kereta itu.

  1. Kereta Tidak Boleh Dijual Kepada Orang Lain

Selagi nama pemilik tidak bertukar, anda tidak boleh jual kereta itu kepada orang lain walaupun hutang sudah langsai. Proses pertukaran hak milik memerlukan pemeriksaan kereta di PUSPAKOM sebelum menukar nama di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Untuk proses pertukaran nama, pemilik asal perlu hadir ke JPJ. Bagaimana jika pemilik asal sudah meninggal dunia? Jawapannya, anda terpaksa menggunakan kereta itu sampai akhir hayat. Itupun jika tiada mana-mana waris datang menuntut.

  1. Tidak Boleh Membuat Tuntutan Insurans

Apabila berlaku kemalangan yang menyebabkan kerosakan secara keseluruhan kereta (total lost), kos ganti rugi akan diberikan terus kepada pemilik kereta. Apakah anda yang bayar ansuran setiap bulan akan menerima pampasan itu. Jawapannya, tidak mungkin! Walaupun anda membayar pada setiap bulan, namun akhirnya pemilik asal yang mendapat manfaatnya.

  1. Risiko Dituduh Kereta Curi

Ada juga kemungkinan anda disyaki pencuri jika pemilik kereta buat laporan polis yang menyatakan kereta dia dicuri. Walaupun anda boleh menunjukkan surat perjanjian yang ditandatangani oleh pemilik asal, namun pemilik boleh mengatakan tandatangannya telah dipalsukan. Akhirnya anda boleh ditahan atas tuduhan mencuri kereta tersebut.

  1. Surat Perjanjian Tidak Diperakui

Walaupun ada perjanjian antara anda dan pemilik kereta asal, ia tetap tidak diperakui. Pemilik asal memiliki kuasa mutlak ke atas keretanya. Pada bila-bila masa dia boleh mengambil semula kereta tersebut kerana hak milik kereta masih atas namanya.

Kesimpulan

Apa jadi sekalipun, elakkan daripada membeli atau menjual kereta sambung bayar. Walaupun anda mempunyai hubungan rapat dengan si pembeli mahupun penjual, elakkan daripada menjalankan urus niaga ini.

Berdasarkan Seksyen 13, Akta Pengangkutan Jalan, pertukaran nama hendaklah dilakukan dalam tempoh 7 hari bekerja di mana-mana pejabat JPJ selepas sesuatu urusan jual beli kereta telah selesai dijalankan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 103/November 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button