PenggunaPengurusan Kewangan

Realiti Tentang Inflasi di Malaysia

Perkara pertama yang terlintas dalam minda apabila memperkatakan tentang inflasi adalah kenaikan harga barangan keperluan asas pada hari ini. Namun, sejauh manakah pemahaman anda tentang inflasi dan bagaimana ia memberi kesan ke atas kuasa membeli rakyat?

Apakah itu inflasi?

Menurut Kamus Online Cambridge, definisi inflasi ialah ‘peningkatan harga yang berterusan secara umum’. Kadar inflasi pula ialah ukuran bagi kadar peningkatan harga dalam bentuk peratusan. Sebagai contoh, kadar inflasi pada tahap 2.5% (berdasarkan Indeks Harga Pengguna Kebangsaan) membawa maksud bahawa perbelanjaan purata individu atas barangan utama dan perkhidmatan telah meningkat pada kadar 2.5% sepanjang tempoh setahun.

Inflasi di rumah

Bagaimanakah inflasi boleh memberi kesan kepada rakyat Malaysia? Mengikut Trading Economics (data sehingga 19 Ogos 2015), kadar inflasi di Malaysia pada bulan Julai 2015 adalah 3.3%, iaitu peningkatan dari 0.9% pada Mac 2015, selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 1 April 2015 yang lalu.

Ini bermakna, kadar peningkatan harga berlaku dengan pantas berbanding sebelum GST. Walau bagaimanapun, demi membendung kesan negatif inflasi, Kerajaan telah menyenaraikan beberapa barangan asas utama ke dalam senarai barangan kawalan. Hal ini bagi mengekalkan kemampuan rakyat untuk memiliki barangan tersebut, di samping mengelakkan penipuan harga semasa, kekurangan bekalan barangan serta melambatkan pergerakan inflasi.

Bagaimana pula dengan kuasa membeli?

Secara semula jadi, kuasa membeli akan merosot disebabkan inflasi. Dengan harga yang semakin meningkat, adalah mustahil untuk mempunyai kuasa pembelian barangan dan perkhidmatan yang sama seperti sebelumnya.

Contoh: Roti canai yang dijual pada harga RM0.70 sekeping pada 5 tahun lepas kini dijual pada harga RM1.20 sekeping di kebanyakan kedai makan.

Secara semula jadi, kuasa membeli akan merosot disebabkan inflasi. Dengan harga yang semakin meningkat, adalah mustahil untuk mempunyai kuasa pembelian barangan dan perkhidmatan yang sama seperti sebelumnya.

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia    

Contoh klasik inflasi: Anda mungkin pernah berdepan dengan inflasi sepanjang hidup anda. Tiket wayang yang dahulunya berharga RM7 ketika anda berusia remaja, kini telah meningkat kepada RM16 pada hari bekerja. Tetapi, apakah sebab di sebalik peningkatan ini?

Inflasi boleh berlaku disebabkan oleh ketidakseimbangan bekalan dan permintaan. Harga diesel telah naik berkali ganda sejak awal tahun 2000 kerana permintaan telah meningkat dengan ketara di seluruh dunia, manakala bekalan tidak bertambah pada kadar yang sama. Pada tahun 2000, harga diesel ialah RM0.70 seliter dan hari ini harganya RM1.75 seliter.

Antara sebab lain berlakunya inflasi adalah peningkatan kos pembuatan. Sebagai contoh, disebabkan kenaikan harga minyak diesel/ petrol , harga barangan lain juga turut meningkat. Hal ini disebabkan oleh peningkatan kos pengangkutan untuk memindahkan barangan dari titik A ke titik B. Akibatnya, harga akhir barangan dinaikkan sepanjang tempoh masa yang lama.

Inflasi sudah tentu memberi impak kepada poket semua pengguna dalam jangka masa panjang. Dengan itu, pengguna perlu mempraktikkan pengurusan kewangan yang bijak untuk mengemudi arus inflasi serta kadar kenaikannya.

Bagaimana rakyat Malaysia boleh menangani inflasi dan kenaikan harga barangan?

Adalah sukar untuk pengguna mempengaruhi kadar inflasi sebagai seorang individu kerana ia adalah berbeza bagi setiap negara. Walau bagaimanapun, apa yang rakyat Malaysia mampu lakukan ialah dengan bertindak bijak dalam menguruskan wang mereka untuk menangani inflasi dan kos sara hidup yang tinggi.

“Ambil kesempatan atas kemudahan kewangan yang sedia ada untuk mengelakkan pembaziran dalam perbelanjaan. Malah, keputusan untuk mendapatkan kad kredit yang sesuai dapat membantu anda dengan memberikan penjimatan yang besar,” kata Lee Ching Wei, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan iMoney.my.

“Anda melakukan langkah yang bijak sekiranya meletakkan simpanan di dalam instrumen pelaburan yang memberikan anda pulangan atas kadar inflasi. Simpanan di dalam akaun simpanan dengan faedah sebanyak 1% pada kadar semasa inflasi bermaksud simpanan anda akan kehilangan kuasa membelinya dari semasa ke semasa. Salah satu cara biasa untuk menangani inflasi ialah dengan menyimpan simpanan anda dalam pelaburan yang memberikan pulangan yang lebih tinggi daripada kadar inflasi semasa secara berkala. Contohnya, sesetengah pelaburan deposit tetap dapat memberikan anda pulangan dari 3% hingga 4% setahun,” tambah Lee lagi.

Ujar Lee, “Pengetahuan kewangan yang baik juga boleh membantu anda untuk membuat keputusan yang bijak apabila berdepan dengan isu simpanan serta penjanaan wang. Sebelum mendapatkan sebarang produk kewangan, seperti pinjaman peribadi atau kad kredit, bandingkan pilihan yang ada di pasaran dan pilih produk yang sesuai dengan gaya hidup anda.”

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 69/Januari 2016

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button