Pengurusan KewanganPerancangan Kewangan

Rancang Kewangan Untuk Kesejahteraan Masa Hadapan

Kebimbangan terhadap kenaikan harga rumah semakin meningkat. Menurut Laporan Pasaran Harta 2014, harga purata rumah di negara ini meningkat sebanyak RM30,000 daripada RM266,304 pada tahun 2013 kepada RM295,345 pada akhir tahun 2014. Sebanyak 250 ribu transaksi pembelian rumah dilakukan sepanjang tahun 2014 yang bernilai RM82.06 bilion. Kerajaan pula mensasarkan sejumlah 653 ribu unit rumah mampu milik akan dibina pada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Merujuk kepada jumlah hutang isi rumah pula, terdapat peningkatan kepada 87.9 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, berlaku penurunan kadar tabungan negara kasar kepada 30.9% daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) dalam tempoh yang sama. Hal ini menggambarkan perbelanjaan penggunaan tersasar dan kemungkinan berlakunya pembaziran. Dijangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih perlahan sekitar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun 2015. Keadaan ini memberi isyarat bahawa pengguna perlu berhati-hati dalam aspek perbelanjaan harian.

Kebimbangan terhadap hutang pendidikan juga dikatakan bakal menjadi krisis global pada masa akan datang. Ia diakui oleh Biro Perlindungan Kewangan Pengguna Amerika Syarikat bahawa rakyat Amerika berhutang sekurang-kurangnya AS$1 trilion bagi pinjaman pendidikan. Situasi yang sama juga mungkin berlaku kepada pelajar universiti awam dan swasta tempatan yang menamatkan pengajian bakal berhadapan dengan komitmen bayaran balik pinjaman pendidikan. Ia belum mengambil kira kos pendidikan bermula seawal umur 4 hingga 6 tahun. Ibu bapa muda perlu memperuntuk sebahagian kos bagi pendidikan awal anak mereka. Sekiranya pilihan ibu bapa terhadap pendidikan awal swasta, maka mereka terpaksa membayar yuran tahunan, kos bahan pendidikan, pakaian seragam, yuran aktiviti dan yuran bulanan sekurang-kurangnya dari RM300 hingga RM800 sebulan. Ini memerlukan ibu bapa untuk merancang persediaan kewangan untuk pendidikan anak-anak mereka.

Kadar kebankrapan belia berumur 25 tahun dan ke bawah pula semakin membimbangkan. Menurut Jabatan Insolvensi Malaysia, sebanyak 1,150 kes dilaporkan antara tahun 2011 hingga Januari 2015, yang melibatkan belia berumur 25 tahun ke bawah. Kes tertinggi yang dilaporkan adalah pinjaman kenderaan (41.7 peratus), pinjaman peribadi (18.61 peratus) dan pinjaman rumah kediaman (17.79 peratus). Hal ini menunjukkan kawalan diri golongan belia terhadap kewangan sangat lemah. Kebanyakan mereka berbelanja melebihi daripada pendapatan. Mereka juga masih tidak mampu untuk membezakan antara keperluan dengan kehendak. Di samping itu, mereka juga mengambil sikap tidak peduli dengan tunggakan hutang dan tidak mendapatkan khidmat nasihat daripada perunding kewangan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Walaupun GST telah dilaksanakan, namun masyarakat masih meneruskan tabiat gemar berbelanja. Tidak dinafikan, terdapat golongan yang bijak mengawal perbelanjaan peribadi mereka dan begitu juga sebaliknya. Menurut Penganalisis Ekonomi, kecenderungan seorang pengguna itu berbelanja dinilai kepada Marginal Propensity to Consume (MPC). MPC bagi negara Malaysia ialah 0.52 yang menunjukkan setiap ringgit kenaikan pendapatan akan menghasilkan perbelanjaan 0.52 sen. Perbandingan angka MPC dengan negara Asia yang lain menunjukkan Malaysia dalam kedudukan yang tinggi. Dari sudut ekonomi, ia dilihat dalam sudut positif dan membantu pertumbuhan ekonomi Negara.

Dalam pada itu, perancangan masyarakat untuk dana persaraan tidak berada pada tahap membanggakan. 68 peratus ahli KWSP berumur 54 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000, manakala 50 peratus bekas ahli KWSP menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh 5 tahun. Hal ini diukur dengan jangka hayat rakyat Malaysia menjangkau sehingga usia 78 tahun. Oleh itu, perancangan persaraan perlu dirancang seawal usia 30-an lagi. Hal ini ditambah pula dengan kos perubatan yang semakin tinggi pada masa ini.

Oleh itu, amalan menabung merupakan langkah yang perlu dilakukan bagi mengatasi keperluan kewangan yang semakin mendesak ini. Tabungan bukanlah sesuatu yang merugikan. Meskipun pada awalnya, mungkin ia menyebabkan seseorang itu berasa tertekan kerana perlu berjimat dalam beberapa perkara perbelanjaan yang menjadi kelaziman mereka. Jika dinilai semula faktor-faktor seperti bebanan hutang, peningkatan kos sara hidup, persediaan belian aset, persaraan dan simpanan ketika kecemasan, maka ia memerlukan perancangan kewangan yang bijak. Oleh itu, pengguna perlu meningkatkan pengetahuan tentang pengurusan kewangan agar kehidupan mereka lebih terjamin pada masa akan datang.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 61/Mei 2015

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button