Pelan Pelaburan

Rancang Kewangan Mengikut Kemampuan dan Matlamat

Dalam pengurusan kewangan atau pelaburan, terdapat pelbagai jenis alat dan instrumen yang boleh digunakan untuk mendatangkan keuntungan. Di Malaysia, akaun simpanan dan pelaburan yang sering digunakan adalah seperti akaun Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB), pelaburan saham, pelaburan hartanah dan banyak lagi.

Persoalan yang sering dibangkitkan oleh orang ramai adalah :

  • Bagaimana untuk bermula?
  • Manakah yang perlu diambil dahulu?

Kemampuan

Sebelum anda merancang untuk membuat pelaburan, semak dahulu kemampuan diri berdasarkan simpanan yang ada serta pendapatan yang diterima setiap bulan. Buat pengiraan aliran tunai setiap bulan. Pastikan anda masih mempunyai baki pendapatan apabila tiba hujung bulan.

Jika hutang sedia ada sudah terlalu tinggi, risiko untuk anda terlibat dalam pelaburan juga adalah tinggi. Oleh sebab itu, anda perlu bersedia untuk menanggung risiko kerugian apabila ingin melakukan sebarang bentuk pelaburan.

Matlamat

Matlamat yang jelas memudahkan anda mencapai apa yang anda ingin dapatkan. Contohnya, jika anda mahu terlibat dalam semua bentuk pelaburan seperti hartanah, saham dan lain-lain lagi, anda perlu buat satu perancangan awal untuk mendapatkan semua pelaburan tersebut.

Jika anda gagal untuk merancang dari awal, semakin sukar untuk anda mendapatkan matlamat kewangan anda. Jika anda ingin melabur dalam hartanah, elakkan sebarang bentuk hutang yang boleh mengganggu pembiayaan perumahan anda daripada diluluskan oleh pihak bank.

Konsep asas dalam pengurusan kewangan adalah mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi. Simpanan ini berfungsi sebagai satu dana jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti kerugian dalam pelaburan.

Anda boleh membahagikan simpanan anda kepada dua kategori, iaitu simpanan untuk jangka masa pendek (mudah dicairkan) dan simpanan jangka masa panjang (sukar dicairkan).

  • Simpanan jangka masa pendek: Tujuannya adalah untuk digunakan ketika waktu kecemasan.
  • Simpanan jangka masa panjang: Tujuannya adalah sebagai dana persaraan dan pendidikan anak-anak.

Pelaburan kemudian

Apabila sudah mempunyai simpanan yang mencukupi, baru anda boleh merancang untuk menyertai pelaburan. Untuk memulakan sebarang bentuk pelaburan, pastikan anda melabur dahulu dalam ilmu. Dapatkan ilmu dan pengetahuan yang mencukupi melalui kelas atau buku supaya dapat mengurangkan risiko pelaburan anda.

Terdapat pelaburan yang memerlukan anda mendapatkan pembiayaan, seperti pelaburan hartanah dan juga tanpa pembiayaan. Setiap alat atau instrument pelaburan mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri.

Cadangan untuk pelaburan hartanah :

  • Mulakan langkah awal dengan pelaburan hartanah kerana harga rumah yang semakin meningkat.
  • Semakin lama anda menunggu, semakin tinggi kos pemilikan hartanah.
  • Gunakan keuntungan sewa yang diterima setiap bulan untuk dilaburkan dalam alat pelaburan lain seperti saham, pembiayaan ASB dan emas.

Pelaburan seperti ini tidak akan melibatkan penggunaan pendapatan aktif anda.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 89/September 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button