Pengguna

Pusat Pelangsingan Badan

Isu berkaitan pusat kecantikan termasuklah pusat pelangsingan badan bukanlah benda baru. Ramai orang, terutamanya kaum wanita, akan mengunjungi pusat kecantikan untuk kelihatan lebih cantik, manakala ke pusat pelangsingan pula untuk melangsingkan bentuk badan. Pada pandangan mereka, mungkin ini merupakan cara yang paling mudah dan cepat untuk nampak menarik dan cantik.

Tidak dapat dinafikan bahawa wanita pada zaman sekarang agak prihatin terhadap kecantikan wajah dan tubuh badan yang ramping. Oleh itu, mereka sanggup membelanjakan wang yang banyak kepada syarikat-syarikat yang menawarkan perkhidmatan untuk mendapat wajah yang menawan serta bentuk badan yang diimpikan.

Perniagaan seperti ini sememangnya telah lama bertapak. Terdapat banyak pilihan bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan perniagaan ini. Persoalannya ialah sama ada perniagaan ini berlesen dan adakah ia selamat untuk digunakan.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) sering menerima aduan mengenai pusat pelangsingan badan. Kebanyakan pengguna yang terlibat tidak tahu tentang risiko yang dihadapi apabila melanggani pusat pelangsingan. Mereka sanggup menghabiskan wang sehingga beribu-ribu ringgit setiap bulan untuk membayar setiap sesi dianjurkan oleh pusat pelangsingan badan semata-mata untuk menurunkan berat badan dengan segera.

Ada antara pengadu juga menyatakan mereka terpengaruh dengan iklan-iklan dan testimoni yang dipaparkan seperti contoh:

  • menurunkan berat badan dalam masa 10 hari
  • dijamin kurus
  • membeli satu pakej pelangsingan dapat percuma lagi satu pakej

Pengadu turut mendakwa bahawa sesi pelangsingan yang dijalani tidak berkesan. Malah, ada antara pengadu mengalami kesan sampingan dan alahan dengan ubat yang digunakan semasa terapi tersebut.

Oleh sebab itu, pengadu terpaksa mendapatkan rawatan di hospital dan terpaksa pula membayar wang yang banyak untuk mengubati diri mereka kerana pusat pelangsingan badan tersebut tidak mahu mengambil sebarang tanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku.

Lebih malang lagi, apabila ada pusat pelangsingan tersebut ditutup dan tidak dapat dihubungi selepas kejadian tersebut berlaku. Oleh sebab itu, pengguna disarankan untuk meneliti latar belakang pusat pelangsingan terlebih dahulu sebelum melanggan sebarang pakej pelangsing bagi menurunkan berat badan.

Nasihat untuk anda :

  1. Pastikan pusat pelangsingan tersebut berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
  2. Jangan mudah terpedaya dengan iklan-iklan yang dipamerkan di kaca televisyen.
  3. Pastikan anda menyelidik latar belakang pusat pelangsingan tersebut sebelum menandatangani sebarang kontrak.
  4. Pastikan pusat tersebut berlesen dan dijalankan oleh profesional.
  5. Memupuk tabiat kesihatan yang baik seperti makan makanan yang sihat dan melakukan senaman untuk gaya hidup yang sihat.
  6. Meminta nasihat doktor sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan.
  7. Membuat laporan dengan segera kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,

Koperasi dan Kepenggunaan atau memfailkan aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

Masyarakat disarankan supaya menjadi pengguna yang bijak dan mengamalkan perbelanjaan yang berhemat. Terdapat banyak cara untuk menurunkan berat badan selain daripada pergi ke pusat pelangsingan badan, iaitu melakukan senaman seperti berjoging dan mengelak makanan yang berlemak dan kolestrol yang tinggi.

Dengan itu, pengguna boleh menjimatkan wang dan dapat melihat perubahan berat badan sepertimana yang diimpikan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 62/Jun 2015

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button