Pengurusan Kewangan

Pupuk Tabiat Kewangan Kepada Kanak-Kanak

Pendidikan kewangan semenjak usia muda adalah sangat penting bagi memupuk budaya menabung dalam kalangan kanak-kanak. Sebagai ibu bapa, tentu anda mencari-cari tip bagaimana untuk mengalakkan anakanak anda mencipta kewangan mereka sendiri. Pengetahuan kewangan perlu diterapkan sejak kanak-kanak memahami maksud wang. Ia boleh dimulakan semenjak kanak-kanak berusia 1 tahun. Pendekatan apakah yang boleh gunakan bagi menarik minat anak-anak anda?

Pendekatan 1: Berikan anak anda wang setiap hari

Anda boleh mulakan dengan memberi wang kepada anak anda seawal usia 1 tahun atau 2 tahun. Anda boleh menyediakan tabung untuk anak anda menyimpan wang yang anda berikan setiap hari. Sambil anda memberikan wang, anda boleh menceritakan mengapa perlu menyimpan wang. Contohnya, maklumkan bahawa dengan wang tersebut, anak anda boleh membeli kereta mainan kawalan jauh.

Pendekatan 2: Sediakan tabung berbentuk ikon kesukaan anak anda

Kanak-kanak mudah tertarik dengan tabungan yang menggunakan pelbagai warna. Anda boleh membeli tabung ikon kesukaan anda anda. Jika anda seorang yang kreatif, anda juga boleh membuat tabung sendiri di rumah.

Pendekatan 3: Membeli alat mainan hasil daripada simpanan wang anak anda.

Kanak-kanak selalunya akan meminta anda membelikan alat mainan yang mereka mahu. Walaupun anda mampu membelinya dengan wang anda, didik anak anda untuk membeli alat mainan hasil daripada wang simpanan mereka. Bawa wang/tabung di kedai permainan. Anak anda akan belajar melalui amalan ini, “sekiranya inginkan sesuatu impian/ matlamat, mereka perlu berusaha untuk menabung terlebih dahulu”

Pendekatan 4: Berikan wang secukupnya apabila anak anda inginkan sesuatu

Kadang-kadang anda akan membawa anak-anak ketika pergi membeli belah. Anak anda akan turut sama memilih barangan yang mereka mahu. Anda boleh melatih anak anda dengan memberikan sejumlah wang yang secukupnya untuk mereka bayar. Contoh, anda memberikan wang RM5 untuk melatih anak anda supaya membeli barangan yang sama harganya atau di bawah nilai RM5 tersebut.

Pendekatan 5: Membezakan antara keperluan dengan kehendak

Kanak-kanak mudah tertarik dengan pelbagai tawaran dan iklan di media massa. Anda tidak akan terkejut sekiranya anak anda boleh mengenali beberapa jenama makanan segera terkemuka pada usia 1 atau 2 tahun. Anda boleh mendidik anak anda membezakan keperluan dan kehendak menggunakan ‘flash card’. Keperluan setiap individu adalah berbeza. Anda boleh menyediakan flash card dengan melukis sendiri atau membeli di kedai-kedai buku.

Pendekatan 6: Bermain monopoli

Anda boleh membelikan permainan monopoli sekiranya anak anda telah memahami konsep wang. Permainan monopoli ini melibatkan wang, iaitu untuk menjual beli aset, pelaburan, simpanan dan sebagainya. Anda boleh menjadikan permainan ini sebagai aktiviti sekeluarga pada masa lapang.

Pendekatan ini merupakan cadangan berdasarkan pengalaman mengadakan program-program pendidikan kewangan. Anda boleh mencuba manamana pendekatan yang bersesuaian dengan peringkat umur anak anda.

Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia) merupakan ahli gabungan FOMCA telah membangunkan modul khusus untuk kanak-kanak pra sekolah yang dinamakan ‘Ringgit Pertama Saya’. Pendekatan secara interaktif ini dapat menarik minat kanak-kanak untuk memahami nilai wang.
Sumber: FOMCA

Sumber : FOMCA/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 55/November 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button