Asas PerancanganKad KreditPengurusan HutangPinjamanTip dan Panduan

Punca Gagal Mohon Pinjaman Peribadi

Pinjaman peribadi adalah merupakan salah satu kemudahan yang diberikan oleh institusi kewangan untuk rakyat Malaysia bagi tujuan peribadi dan perniagaan. Tujuan peribadi adalah seperti mengubah suai kediaman rumah supaya tampak lebih selesa, membeli alat keperluan dalam rumah seperti mesin basuh, peti ais dll, ataupun digunakan untuk membaiki kereta. Manakala bagi tujuan perniagaan pula, pinjaman ini digunakan untuk mengembangkan lagi perniagaan. Pinjaman peribadi ini sebenarnya sedikit sebanyak sememangnya membantu kita. Perlu diingat, kita sepatutnya mengelakkan pinjaman itu digunakan untuk memulakan perniagaan. Ia amat tidak digalakkan.

Walau bagaimanapun, memohon pinjaman peribadi ini bukanlah sesuatu perkara yang sangat mudah. Ramai sahaja pemohon pinjaman di luar sana yang permohonannya itu ditolak. Ia memerlukan dokumen-dokumen yang lengkap daripada sumber yang betul. Anda juga perlu tahu tujuan meminjam dan perlu pastikan yang anda mampu untuk membayar semula. Namun, ia bukanlah terlalu sukar. Di sini, kami akan rungkaikan beberapa punca permohonan pinjaman boleh gagal.

#1 CCRIS Bermasalah

CCRIS atau Central Credit Reference Information System merupakan satu laporan kredit yang diuruskan oleh Biro Kredit Bank Negara Malaysia. CCRIS mengumpul maklumat kredit dari pengendali servis kewangan di Malaysia dan akan memaparkan maklumat seperti pinjaman tertunggak, saman, dan status muflis. Bagi anda yang mempunyai pinjaman daripada bank atau pemakaian kad kredit atau pinjaman PTPTN, anda perlu memastikan bayaran semula kepada pihak itu dilakukan pada masa yang ditetapkan setiap bulan.

Jika ini berjaya dilakukan, rekod CCRIS anda akan kelihatan lebih cantik dan pihak bank atau institusi kewangan lebih mudah untuk memberi pinjaman peribadi kepada anda.

#2 Dokumen Tidak Lengkap

Seperti yang diperkatakan awal tadi, dokumen yang tidak lengkap, atau dokumen yang tidak tepat dan lama juga adalah punca mengapa permohonan pinjaman anda itu ditolak. Dokumen-dokumen yang biasanya diperlukan adalah seperti slip gaji, penyata KWSP, penyata akaun simpanan, borang dokumen yang lengkap dan salinan kad pengenalan. Permasalahan ini sebenarnya jarang terjadi, namun ia sering berlaku kepada individu yang berniaga kerana tidak menyimpan rekod pendapatan dan perbelanjaan syarikat dengan teratur.

#3 Tempoh Bekerja Kurang Dari 3 Bulan

Perlu diingat yang kebiasaannya, permohonan pinjaman tidak kira pinjaman peribadi, perumahan, mahupun kenderaan, pihak bank akan melihat faktor kelayakan ini dahulu. Kebanyakan bank dan institusi kewangan meletakkan syarat minimum bekerja antara 3 hingga 6 bulan untuk memohon pinjaman peribadi. Ini kerana, institusi kewangan seperti bank ingin memastikan yang bakal peminjam mempunyai latar belakang gaji yang stabil untuk membayar semula pinjaman.

#4 DSR Terlalu Tinggi

Debt Service Ratio (DSR) adalah pengiraan ratio peratusan komitmen daripada bank dengan jumlah pendapatan yang anda perolehi. Ia adalah cara yang mudah untuk mengenal pasti sama ada permohonan pinjaman peribadi anda akan diluluskan ataupun ditolak.

Contoh pengiraan:

Gaji bersih = RM2,500
Komitment = RM1,300
DSR = RM1,300/RM2,500 x 100 = 52%

Institusi kewangan atau bank mempunyai peratusan yang menjadi kayu ukur sama ada permohonan itu lulus ataupun tidak. Jika DSR anda rendah daripada peratusan yang ditetapkan itu, maka permohonan anda itu akan gagal serta merta. Hal berikut adalah juga disebabkan oleh komitmen pemohon yang banyak dan tinggi kemungkinan pemohon tidak dapat membayar pinjaman itu dengan baik.

#5 Skor Pemarkahan Rendah

Setiap bank atau institusi kewangan mempunyai sistem skor pemarkahan untuk melakukan analisis terhadap permohonan peribadi anda. Kali ini, anda akan dianalisis berdasarkan faktor-faktor seperti umur, status perkahwinan, kawasan tempat tinggal, tahap pendidikan, majikan, rekod kerja dan lain-lain. Misalnya jika anda bekerja di syarikat yang besar/terkemuka atau anda mempunyai aset/simpanan yang banyak, maka skor anda akan semakin tinggi. Semakin tinggi skor anda, semakin kurang risiko masalah kewangan anda, semakin mudahlah permohonan pinjaman anda untuk lulus.

#6 Skor Kredit Yang Rendah

Point tadi adalah mengenai Skor Pemarkahan, ini pula Skor Kredit. Skor kredit adalah mata yang dinilai berdasarkan rekod pembayaran semula pinjaman, jumlah hutang terkumpul, tempoh masa pinjaman, dan jenis pinjaman yang dibuat pihak bank atau institusi kewangan. Rekod ini kesemuanya ada di dalam laporan CCRIS. Jika anda tiada masalah pada perkara yang disebutkan itu tadi, maka tinggilah skor anda. Namun, jangan terkejut jika anda mempunyai rekod yang terlalu cantik (tidak berhutang). Jika anda tidak pernah membuat pinjaman atau memakai kad kredit, rekod anda terlalu cantik sampaikan pihak bank atau institusi kewangan meragui skor kredit anda. Mereka tidak tahu kebolehan dan disiplin anda dalam membayar pinjaman/hutang.

Walau apapun, usahlah kita terlalu bimbang akan ini. Jika permohonan anda telah pun gagal beberapa kali, ia tidak bermakna yang anda langsung tidak berhak menerimanya. Mungkin ada sedikit permasalahan yang masih boleh lagi anda perbetulkan. Ia sedikit sebanyak memberi kita pengajaran yang harus kita perbetulkan. Selidiki apa kekurangannya dan cuba perbetulkan!

Semoga berjaya semua!

Sumber: moneycompass/Jun 2020

Artikel Berkaitan

Back to top button