Pengurusan Kewangan

Program Pengurusan Wang Ringgit Anda (POWER!)

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan pengetahuan tentang kewangan dan cara pengurusan kewangan yang baik dalam kalangan masyarakat umum, Bank Negara Malaysia telah melancarkan Program Pengurusan Wang Ringgit Anda (POWER!). Program POWER! yang direka khusus ini disasarkan terutamanya untuk golongan muda dan mereka yang baru membuat pinjaman kewangan.

Matlamat Program POWER! adalah untuk membolehkan golongan tersebut menguruskan kewangan mereka dengan lebih berkesan. Ini seterusnya akan menyumbang kepada usaha untuk memberikan perlindungan yang lebih baik kepada para pelanggan kewangan dan membentuk sektor isi rumah yang lebih berdaya tahan.

Krisis kewangan global yang berlaku baru-baru ini menunjukkan bahawa tabiat meminjam yang tidak berhemat boleh menyebabkan kesukaran hidup yang ketara kepada peminjam dan keluarganya. Keadaan ini seterusnya boleh menimbulkan kesan yang buruk kepada sistem kewangan dan ekonomi secara keseluruhan.

Sehubungan dengan ini, Program POWER! dirumuskan untuk memberikan pengetahuan dan kemahiran kewangan yang praktikal serta kaedah membuat keputusan untuk membantu orang ramai membuat keputusan kewangan yang lebih wajar. Program ini, antara lain menyediakan banyak maklumat berguna, selain daripada tip dan kit peralatan kewangan untuk menggalakkan pengurusan dan amalan kewangan yang berhemat.

Program ini akan menjelaskan kaedah membuat keputusan kewangan yang praktikal dan kesannya dalam situasi hidup sebenar, dengan menumpukan kepada produk kewangan yang selalu digunakan oleh orang ramai, yang antara lain termasuk kad kredit, sewa beli dan pinjaman perumahan. Program ini akan menyentuh mengenai aspek-aspek utama yang sepatutnya diberikan pertimbangan, tetapi sering diabaikan, sebelum memutuskan untuk membuat pinjaman.

Program POWER! selama separuh hari ini akan dikendalikan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) secara percuma dan dijalankan dalam dwibahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris. Buku panduan yang mengandungi maklumat terperinci dan penjelasan lanjut mengenai pelbagai topik dalam Program POWER! akan dikeluarkan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris. Versi Mandarin dan Tamil pula akan dikeluarkan pada bulan April.

Buku panduan ini boleh dibeli pada harga RM5 sahaja dan juga boleh didapati di laman sesawang AKPK. Selain itu, kerja-kerja untuk membangunkan alat dan kemudahan bagi melengkapkan Program POWER! secara dalam talian dan interaktif, sedang dijalankan.

Program POWER! akan diadakan di seluruh negara, bermula di Kuala Lumpur pada 9 Februari 2011, dan akan diadakan pada setiap hari Rabu dan Sabtu. Manakala bagi negeri-negeri lain, program ini akan bermula pada 16 Februari 2011, pada setiap hari Rabu. Program ini juga akan diperluas secara berperingkatperingkat ke bandar-bandar kecil di seluruh negara sekiranya terdapat permintaan.

 

Sesi pertama bagi Program POWER! di bandar-bandar utama adalah seperti yang berikut:

Pengurusan Wang Ringgit Anda (POWER!)
Tempat Tarikh Mula
Kuala Lumpur 9 Februari 2011
Pulau Pinang 16 Februari 2011
Melaka 23 Februari 2011
Johor Baru 2 Mac 2011
Kota Kinabalu 9 Mac 2011
Kuching 16 Mac 2011
Kuala Terengganu 30 Mac 2011

Orang ramai digalakkan untuk mengambil bahagian dalam program ini. Selain itu, majikan yang ingin menganjurkan program ini untuk kakitangan mereka juga boleh menghubungi AKPK. Mereka yang berminat boleh menghubungi AKPK di talian 1-800-88-2575 atau melawat laman sesawang AKPK di www.akpk.org.my atau laman media sosial, www.speaksens.com.my, untuk keterangan lanjut.

Sumber : AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 9/Januari 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button