Pengurusan HutangPengurusan Kewangan

Profil Hutang AKPK

5 Prinsip Pinjaman

  1. Meminjam untuk sesuatu yang anda perlukan – bukan apa yang anda mahukan.
  2. Meminjam sejumlah wang di dalam kemampuan anda untuk membayar balik
  3. Elakkan daripada meminjam untuk membiayai aset yang susut nilai
  4. Elakkan daripada menjadi penjamin
  5. Si peminjam mempunyai komitmen moral dan mutlak untuk membayar balik

Perbezaan diantara “Hutang Baik” dan “Hutang Tidak Baik”?

Adakah terdapat hutang jenis “Baik”? Ya, ada. Hutang ini membolehkan beban kewangan dijelaskan sepenuhnya. Meminjam untuk membeli rumah, pendidikan anak-anak, memajukan kemahiran dalam kerjaya, atau memulakan perniagaan sendiri akan membolehkan anda mendapat faedah kewangan jangka panjang.

“Hutang Tidak Baik” adalah apabila anda meminjam untuk sesuatu yang tidak mendatangkan apa-apa feadah kewangan atau barangan tersebut mempunyai jangka hayat yang lebih singkat daripada jangka masa pinjaman barangan itu sendiri. Ini termasuklah pinjaman untuk bercuti, membeli pakaian, perabot, barangan rumah ataupun makan luar.

Di dalam proses mengasingkan perkara-perkara negatif berkaitan hutang, anda sering kali beranggapan bahawa berhutang adalah suatu perkara yang tidak berfaedah dan tidak produktif. Semestinya ia tidak benar kerana hutang boleh digunakan secara produktif oleh individu, peniaga mahupun badan-badan kebajikan.

Pinjaman boleh menjadi produktif, sebagai aktiviti yang menjana kekayaan, atau ia akan menjadi pengalaman sebagai “hamba kepada peminjam”. Bijak pandai menggunakan hutang sebagai alat untuk menjana kekayaan, mendapatkan pengecualian cukai atau membesarkan pengurusan harta benda. Bagi mereka yang kurang arif, kebiasaannya mereka merasakan yang hutang adalah alat untuk mendapatkan sesuatu yang mereka tiada berupaya mendapatkan melalui tabungan atau kesabaran.

Tidak semua hutang berbentuk tidak produktif. Keupayaan menguruskan kewangan secara berhemat membolehkan anda menjelaskan kadar bunga hutang dan juga membayar pokoknya sekali. Apabila anda menggunakan kaedah yang sama dalam perniagaan, hasilnya juga adalah sama. Aliran tunai yang dijana daripada hasil pinjaman mestilah mampu mengembangkan aliran pendapatan bagi membolehkan pembayaran balik tuntutan kredit dan pinjaman asal.

Hutang yang produktif

  • Jika saya meminjam wang untuk memperolehi satu aliran pendapatan yang menyumbang kepada pembayaran balik hutang, seperti pembelian lot kedai untuk disewa.
  • Jika saya meminjam wang untuk memulakan satu perniagaan sendiri, saya boleh menghapuskan bunga terhadap pendapatan perniagaan saya yang mana boleh memberikan saya penjimatan cukai. Saya boleh juga menggunakan sejumlah pinjaman bagi mengembangkan lagi perniagaan.
  • Jika saya meminjam wang untuk membeli rumah, dan bercadang tinggal di rumah tersebut untuk masa hadapan yang dijangka, sekurangkurangnya saya mungkin dapat mencapai “pulang-modal” sepanjang masa melalui peningkatan nilai rumah saya. Dalam manamana kes, ia akan menyelamatkan saya daripada perlu membayar sewa sekiranya tidak membeli rumah.

Hutang tidak produktif

  • Jika saya meminjam wang menggunakan akaun margin untuk membuat spekulasi ke atas saham “panas” berdasarkan sembang-sembang / gosip, saya telah melibatkan diri dengan hutang yang tidak produktif dan berbahaya.
  • Jika saya meminjam wang untuk membeli satu pengalaman atau benda-benda yang tidak boleh saya bayar, dan menambah hutang dengan caj faedah tinggi, saya telah dibebani dengan hutang tidak produktif.
  • Jika saya meminjam wang untuk membeli sebuah kereta baru, dan berhutang lebih daripada 90% nilainya, saya akan terus menjadi tidak menentu dari segi penggunaan hutang jika kereta saya dicuri. Adakah anda sedar yang dalam kebanyakan kes, sebuah kereta susut nilai lebih kurang 1/5 daripada nilainya sebaik sahaja meninggalkan bilik pameran? Sebagai penanggung insurans, mereka hanya membayar nilai pasaran kereta anda pada masa kerugian, kekurangan terpaksa anda tanggung sendiri

Hutang Jenis Ketiga

Di sebalik usaha-usaha terbaik yang dilaksanakan, anda masih lagi terjerumus dengan masalah hutang yang serius. Ini bukanlah jenis hutang yang anda ingin dapatkan tetapi keadaan tidak dapat dikawal. Tanda-tanda anda terjebak adalah seperti berikut:

  • Meminjam lagi untuk membayar pinjaman terdahulu
  • Pemiutang sering mengganggu anda untuk mendapatkan bayaran
  • Membuat bayaran minimum untuk kad kredit
  • Memaksimumkan penggunaan kad kredit
  • Meminjam untuk membayar bil-bil biasa
  • Sukar mendapatkan pinjaman
  • Kawan-kawan dan saudara mara mula menjauhkan diri
  • Simbahan cat merah di dinding rumah anda!

Bagaimanapun, anda belum terlambat dan tidak keseorangan. Bantuan ada berhampiran anda! Nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) boleh membantu anda bagi menyediakan pelan penyelesaian di antara anda dan pemiutang anda bagi mengurangkan beban hutang anda. Apa yang perlu adalah kesungguhan dan displin diri untuk berubah bagi membolehkan anda menjalani kehidupan yang lebih berhemah.

Pedang Dua Mata

Hutang sememangnya seperti pedang dua mata. Sekiranya menggunakan secara bijak, maka anda dapat meningkatkan kekayaan dan memberikan faedah kewangan jangka panjang. Jika salah penggunaan, anda bukan saja terluka bahkan luka yang membawa maut! Oleh itu, sebelum anda mula “menghayunkan pedang” anda, pastikan anda tahu pergerakan yang sesuai serta mampu memikul tanggungjawab daripada penggunaannya.

Sumber : AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 9/Januari 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button