Pengurusan KewanganPinjamanTip dan Panduan

Prinsip Asas Meminjam

Komponen Utama Pinjaman

Semua pinjaman, sama ada pinjaman kereta, pinjaman rumah atau pinjaman peribadi, terdiri daripada tiga komponen utama: kadar faedah, cagaran dan tempoh.

Kadar Faedah

Kadar faedah ialah caj yang dikenakan oleh pemberi pinjaman kerana menggunakan duit mereka. Biasanya kadar faedah ditunjukkan dalam bentuk peratusan daripada jumlah pinjaman dalam setahun. Faedah yang dikenakan berdasarkan pengkompaunan (iaitu faedah-atas-faedah) dan ia boleh terdiri daripada pengkompaunan tahunan / bulanan / harian (satu lagi istilah yang digunakan ialah kiraan atas baki tahunan/bulanan/harian).

Terdapat dua jenis kadar faedah:

  1. Kadar tetap: tetap dan tidak berubah. Jika kadar faedah tetap anda ialah 6% setahun, ia akan kekal 6% setahun sepanjang tempoh pinjaman.
  2. Kadar boleh ubah: boleh bertukar mengikut masa dan biasanya ditetapkan pada kadar piawaian (standard) pasaran, seperti Kadar Asas (BR).

Cagaran

Semua pinjaman bergantung sama ada pemberi pinjaman menghendaki anda mencagarkan aset, (biasanya dirujuk sebagai cagaran) untuk menjamin pinjaman anda.

Jika anda mempunyai pinjaman bercagar, bermakna pemberi pinjaman anda boleh merampas aset jika anda gagal menjelaskan hutang pinjaman. Oleh kerana terdapat cara alternatif pembayaran balik, faedah dalam pinjaman bercagar adalah lebih rendah berbanding dengan faedah pinjaman tidak bercagar.

Apabila anda membiayai pembelian kereta anda melalui pinjaman bank, anda sebenarnya adalah penyewa (bukan pemilik) kereta yang anda pandu sehingga anda selesai membayar sepenuhnya pinjaman anda. Begitulah juga dalam kes pinjaman rumah, bank akan memiliki ‘tuntutan pemilikan’ terhadap rumah tersebut sehingga anda selesai membayar sepenuhnya pinjaman rumah.

Dalam pinjaman tidak bercagar, tiada aset yang boleh disita oleh bank jika mungkir membayar balik pinjaman. Memandangkan pinjaman ini berisiko, pinjaman tidak bercagar selalunya mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi berbanding dengan pinjaman bercagar. Untuk mengurangkan risiko, institusi pemberi pinjaman kadangkala menghendaki orang ketiga menandatangani perjanjian bagi pinjaman tidak bercagar atau menjamin jumlah pinjaman.

Tempoh

Tempoh suatu pinjaman ialah jangka masa si peminjam perlu membayar balik pinjaman. Kebanyakan pinjaman peribadi / kereta mempunyai tempoh tiga hingga sembilan tahun, manakala tempoh pinjaman rumah adalah jauh lebih lama dan biasanya boleh mencapai sehingga 30 tahun. Tempoh adalah jangka masa maksimum untuk si peminjam membayar balik pinjaman mereka. Pinjaman boleh dijelaskan sebelum tempoh tamat tetapi mungkin caj akan dikenakan untuk penyelesaian awal. Sila semak dengan institusi kewangan anda mengenai caj tersebut.

Apakah Prinsip Asas Meminjam?

Prinsip 1: Meminjam untuk sesuatu yang anda perlukan –bukan yang anda mahukan

Sebelum ini, kita sudah membincangkan perbezaan antara keperluan dan kehendak. Malah dalam situasi meminjam, perbezaan ini amatlah penting untuk kita fahami. Anda hanya perlu meminjam untuk sesuatu yang anda benar-benar perlu tetapi tidak mempunyai wang tunai untuk membayarnya. Sebagai contoh, untuk membeli rumah, untuk membiayai pendidikan lanjutan anak-anak anda dan untuk  membeli kereta.

Prinsip 2: Meminjam sejumlah wang dalam kemampuan anda untuk membayar balik

Ini mungkin logik tetapi malangnya, ia bukan amalan biasa. Ramai orang terlebih memberi komitmen dalam hutang kerana menyangka bahawa ekonomi akan terus berkembang dan situasi yang baik akan terus kekal. Jika anda meminjam lebih daripada kemampuan, anda mungkin akan menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman dan mungkin juga terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang yang akan diambil oleh pihak institusi kewangan. Adalah disarankan bahawa setiap individu patut mengehadkan jumlah bayaran balik pinjaman kurang daripada 1/3 pendapatan kasarnya.

Prinsip 3: Elakkan daripada meminjam untuk membiayai aset yang susut nilai

Prinsip ini mungkin tidak disukai oleh sesetengah orang, tetapi ia adalah prinsip yang baik untuk di ikuti. Aset susut nilai adalah harta yang hilang nilainya mengikut masa, seperti kereta, perabot dan peralatan rumah. Barangan ini akan susut nilai dengan cepat sementara pinjaman anda berkurangan dengan agak lambat. Dalam situasi yang anda tidak dapat menjelaskan hutang, barangan tersebut akan disita dan anda mesti menambah nilai yang kurang kerana aset susut nilai anda tidak cukup untuk menjelaskan baki pinjaman.

Prinsip 4: Elakkan daripada menjadi penjamin

Seorang penjamin bertanggungjawab menjelaskan pinjaman sekiranya peminjam mungkir membayar balik pinjaman atas apa sahaja alasan. Melainkan anda bersedia untuk menunaikan tanggungjawab ini, anda patut mengelak daripada menjadi penjamin.

Prinsip 5: Si peminjam mempunyai komitmen moral dan mutlak untuk membayar balik

Pernahkah anda bertemu dengan seseorang yang telah meminjam daripada anda tetapi masih belum membayar balik? Bagaimana anda rasa? Kecewa? Ditipu? Dikhianati? Ya, ia memang bukan satu perasaan yang baik dan anda tidak patut memberi sebarang alasan untuk tidak membayar balik hutang apabila anda telah berjanji untuk melakukannya.

Prinsip 6: Segera dapatkan bantuan

Jika anda menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman, berbincanglah dengan pemberi pinjaman agar anda dapat membuat pelan bayaran balik yang munasabah, tetapi jangan sesekali berdiam diri atau lari daripada membayar hutang.

Sumber: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 107/Mac 2019

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button