Pengurusan Kewangan

Piramid Kewangan Memudahkan Pengurusan Kewangan Anda

“Dalam sistem piramid kewangan ini, pengurusan simpanan, aset, pelaburan dan perlindungan dibahagi sebaiknya dengan seimbang.”

Masalah kewangan biasanya berpunca daripada pengurusan kewangan yang tidak teratur. 

Piramid Kewangan ini akan membantu anda menyusun kewangan anda menjadi lebih teratur serta lebih kurang berisiko untuk mengalami masalah kewangan. Dalam sistem piramid kewangan ini, pengurusan simpanan, aset, pelaburan dan perlindungan dibahagi sebaiknya dengan seimbang.

Aset

Dalam pengurusan kewangan, perkara penting yang perlu menjadi matlamat kewangan anda adalah mengumpul aset, seperti rumah dan emas. Aset seperti ini bertujuan melindungi anda pada masa hadapan daripada masalah kejatuhan nilai wang.

Pada masa yang sama, nilai untuk aset tersebut juga semakin meningkat naik.

Dalam Piramid Kewangan, aset terletak pada kedudukan paling atas dengan kotak yang lebih kecil. Ini menunjukkan aset adalah perkara yang anda perlu ada walaupun dengan kuantiti yang sedikit. Menurut Robert Kiyosaki, rumah yang dijadikan pelaburan adalah aset, manakala rumah untuk kediaman sendiri pula adalah satu liabiliti.

Namun, rumah tersebut tetap penting dan memberi banyak manfaat walaupun bukan untuk pelaburan. Rumah yang anda duduki itu boleh meningkat nilainya pada masa akan datang, dalam masa yang sama menjadi tempat untuk anda berteduh.

Manakala emas pula lebih mudah untuk dicairkan berbanding rumah.

Pelaburan

Pelaburan yang terdapat di dalam Piramid Kewangan ini terbahagi kepada dua, iaitu pelaburan untuk jangka masa panjang dan untuk jangka masa pendek.

  • Pelaburan jangka masa panjang

Contoh terbaik pelaburan jangka masa panjang adalah seperti pelaburan dalam unit amanah dan saham. Anda boleh memulakan pelaburan dalam instrument kewangan ini dengan modal yang sangat rendah. Ketika usia masih muda, sebaiknya anda menggunakan wang dengan melabur dalam unit amanah untuk kegunaan pada masa akan datang.

Tempoh terbaik adalah melebihi 10 tahun atau sehingga anda berusia 55 tahun.

  • Pelaburan jangka masa pendek

Pelaburan jangka masa pendek ini boleh dilakukan untuk kegunaan seperti deposit rumah, deposit kereta, perbelanjaan perkahwinan atau kegunaan perbelanjaan anak-anak. Pelaburan ini biasanya tidak melebihi dari 5 tahun. Dengan tempoh yang pendek, keuntungan yang diterima juga tidak tinggi seperti pelaburan jangka masa panjang.

Simpanan

Setiap simpanan mestilah dibuat dengan matlamat yang jelas. Contoh matlamat simpanan adalah seperti berikut :

  • Simpanan kecemasan

Simpanan kecemasan boleh dilakukan sehingga anda mempunyai simpanan enam bulan daripada gaji semasa anda. Simpanan ini akan membantu anda ketika anda dalam kecemasan, seperti kerosakan kereta, masalah kesihatan dan lain-lain lagi.

  • Simpanan peribadi

Simpanan peribadi pula boleh dilakukan untuk kegunaan peribadi seperti pergi melancong, melakukan aktiviti luar, derma, beli gajet baru atau makan di tempat yang lebih mewah. Pengurusan kewangan yang baik tidak menghalang seseorang untuk menikmati kehendak individu.

Perlindungan

Perlindungan sangat penting kepada individu dan terbahagi kepada beberapa bahagian.

  • Pampasan

Tujuan pampasan diambil adalah untuk tidak membebankan waris anda. Individu yang perlu mempunyai pampasan ini adalah individu yang bekerja dan mempunyai tanggungan. Pampasan tersebut dijadikan sebagai penggantian pendapatan bagi waris atau individu di bawah tanggungan anda.

Selain itu, pampasan ini juga akan membantu menyelesaikan hutang yang tertunggak. Pampasan menjadi lebih penting apabila anda menjadi satusatunya individu yang bekerja dan menampung perbelanjaan keluarga.

  • Kad perubatan

Selain pampasan, kad perubatan juga penting bagi mengelakkan anda kehilangan simpanan anda. Jika berlaku masalah kesihatan yang melibatkan perbelanjaan serta kos yang tinggi, kad perubatan akan membantu anda tanpa menggunakan duit simpanan anda.

Masalah kesihatan atau kemalangan adalah sesuatu yang sukar untuk dijangka. Konsep perlindungan adalah membantu anda menghadapi keadaan yang diluar jangkaan anda.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 90/Oktober 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button