Pelan PerbelanjaanPenggunaPengurusan HutangPengurusan Kewangan

Pinjaman Perumahan

Soalan 1:

“Saya berhasrat untuk menjual rumah kedua yang dibeli melalui pinjaman bank. Apakah nasihat Tuan mengenai perkara-perkara penting yang perlu saya teliti dan semak sebelum dan semasa saya hendak menjual rumah tersebut. Terima kasih.”

Pengguna runsing.

Ada banyak perkara yang perlu dipertimbangkan apabila menjual rumah, antaranya:

Perihal Pinjaman

  • Jika pinjaman perumahan anda masih ada baki belum bayar, sila pastikan perolehan daripada jualan rumah cukup untuk melangsaikan baki pinjaman dan kos-kos lain, seperti cukai pintu, cukai tanah, bil-bil utiliti, kos penyelenggaraan dan sebagainya.
  • Anda juga perlu mendapatkan “redemption statement” daripada pihak bank jika rumah tersebut masih ada baki pinjaman.

Perihal Pindah Milik

  • Sila buat semakan di Pejabat Tanah terhadap status harta anda untuk memastikan tiada sekatan atau terdapat syarat-syarat khusus seperti ‘caveat’, penjualan kepada bukan bumiputera dan sebagainya.

Perihal Insurans yang telah dibayar

  • Sila buat semakan jika anda boleh menuntut kembali premium insurans yang telah dibayar bagi sepanjang tempoh pinjaman tersebut, seperti MRTA, insurans kebakaran, insurans isi rumah dan sebagainya.

Perihal Cukai Keuntungan Harta Tanah

  • Anda mungkin dikenakan cukai yang dikenakan atas keuntungan daripada pelupusan rumah. Sila semak dengan pihak Lembaga Hasil dalam Negeri Malaysia.

Perihal Perjanjian Jual Beli

  • Pastikan anda menggunakan perkhidmatan guaman untuk melaksanakan ‘perjanjian jual beli’ untuk memastikan proses penjualan dan pindah hak milik berjalan lancar dan tiada masalah.
  • Jika pembeli gagal mendapat pinjaman perumahan dalam tempoh yang ditetapkan, adakah wang pendahuluan yang telah dibayar kepada anda itu akan dituntut kembali daripada anda?

Status Rumah Perumahan Kerajaan Negeri (PKN)

  • Jika status rumah anda di bawah PKN, sila dapatkan surat kebenaran sebelum anda menjual rumah tersebut.

Soalan 2:

“Saya telah membuat pinjaman perumahan dengan sebuah institusi perbankan sejak tahun 2001. Oleh sebab saya menghadapi masalah kewangan dan kehilangan pekerjaan, saya tidak dapat membayar ansuran bulanan dengan pihak bank mengikut jadual yang telah ditetapkan. Adakah nama saya akan disenaraihitamkan dan bagaimana saya ingin mengurangkan jumlah pembayaran ansuran bulanan mengikut kemampuan saya?”

Pengguna ingin tahu

Untuk makluman, Bank Negara Malaysia tidak mempunyai maklumat senarai hitam peminjam. Sekiranya seseorang itu mempunyai pinjaman, termasuk kad kredit dengan sesebuah institusi kewangan, rekod pinjaman / kad kredit tersebut akan dihantar oleh institusi kewangan terbabit kepada Bank Negara Malaysia melalui Central Credit Reference

Information System (CCRIS). Maklumat tersebut akan dilaporkan ke dalam CCRIS selagi pinjaman masih belum habis dibayar balik kepada institusi kewangan. Laporan CCRIS boleh didapati dengan dua cara:

1) Datang sendiri dengan membawa MyKad atau pasport (bagi bukan warganegara Malaysia) dan dokumen sokongan lain (seperti lesen memandu, dan sebagainya) yang boleh mengesahkan identiti anda ke Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia di alamat berikut:

BNMLINK
Jabatan LINK & Pejabat Wilayah
Tingkat Bawah Blok D
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato’ Onn
50480 Kuala Lumpur
(beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat, kecuali cuti umum, dari pukul 9.00 pagi – 5.00 petang (termasuk waktu makan tengah hari)). Anda akan diberikan laporan kredit semasa kunjungan tersebut.

Selain di Ibu Pejabat, laporan kredit boleh juga diperolehi daripada Pejabat Wilayah dan cawangan-cawangan Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu atau Kuching. Sila layari laman sesawang Bank Negara Malaysia untuk alamat dan nombor telefon cawangan-cawangan berkenaan di http://www.bnm.gov.my/index. php?ch=7&pg=219&ac=96&lang=bm

2) Mengemukakan permohonan secara bertulis dengan melengkapkan dan menghantar kepada Bank Negara Malaysia borang permohonan laporan kredit berserta dokumen berikut:

    • Borang Permohonan Laporan Kredit (CRR);
    • Borang Perisytiharan Pinjaman; (borang boleh dimuat turun daripada http://creditbureau.bnm.gov.my)
    • Satu salinan MyKad yang jelas (depan dan belakang) / pasport (bagi bukan warganegara Malaysia); dan
    • Mana-mana dua dokumen sokongan lain berikut (dengan nama dan alamat pemohon tertera dengan jelas pada setiap salinan):
    • Lesen memandu;
    • Bil seperti bil air, bil elektrik, bil telefon, bil ASTRO, dll
    • Penyata akaun bank;
    • Penyata kad kredit; atau
    • Penyata KWSP.

Sila hantar melalui pos, atau faksimile atau e-mel borang yang dilengkapkan berserta dokumen sokongan ke alamat berikut:

BNMTELELINK
Jabatan LINK & Pejabat Wilayah
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato’ Onn
Peti Surat 10922
50929 Kuala Lumpur
Faksimile : 03-2174 1515
E-mel : bnmtelelink@bnm.gov.my

Selain daripada CCRIS, pengguna juga boleh mendapat maklumat pembiayaan/pinjaman mereka daripada mana-mana Agensi Pelaporan Kredit sepert CTOS Sdn Bhd (CTOS), Financial Information Services Sdn Bhd (FIS), Credit Bureau Malaysia Sdn Bhd (CBM), Dun & Bradstreet (Malaysia) Sdn Bhd (D&B) dan RAM Credit Information Sdn Bhd (RAMCI)

Cara mengurangkan jumlah pembayaran dengan dua cara:

  1. Berbincang sendiri dengan pihak bank anda untuk membuat penjadualan semula bayaran balik;
  2. Memohon bantuan AKPK, sila hubungi 1-800-88-2575 untuk maklumat lanjut.

“Sekiranya seseorang itu mempunyai pinjaman termasuk kad kredit dengan sesebuah institusi kewangan, rekod pinjaman / kad kredit tersebut akan dihantar oleh institusi kewangan terbabit kepada Bank Negara Malaysia melalui CCRIS.”

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 34/Februari 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button