PenggunaPerancangan Kewangan

Pinjaman Perumahan Melalui Perbankan Islam

Rumah merupakan aset asas yang diperlukan oleh setiap individu. Namun harga rumah yang tinggi menyukarkan pengguna untuk membeli rumah dengan kadar bayaran yang mampu dibayar atau dalam jangka masa yang singkat. Memahami masalah ini, institusi-institusi perbankan di Malaysia menawarkan pelbagai jenis bentuk pinjaman perumahan kepada pengguna.

Salah satu bentuk pinjaman perumahan yang semakin menarik perhatian pengguna adalah pembiayaan secara Islam. Terdapat beberapa jenis atau konsep pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi-institusi perbankan Islam, antaranya adalah – Murabahah atau lebih dikenali di pasaran sebagai Bai’ Bithaman Ajil (BBA), Musyarakah Mutanaqisah, Ijarah Muntahiyah Bittamlik (AIMAT) dan Ijarah Thumma Al-bai’ (AITAB).

BBA adalah perjanjian pembelian dengan bayaran secara bertangguh. Menerusi konsep BBA, pengguna mempunyai pilihan sama ada membeli rumah yang sudah siap dibina atau masih dalam proses pembinaan dengan membuat bayaran secara ansuran dalam masa yang ditetapkan dalam kontrak pembelian. Manakala bagi Musyarakah Mutanaqisah pula, ia berasaskan konsep perkongsian iaitu pihak bank dan pembeli akan menjadi rakan kongsi dalam pembelian rumah tersebut. Hak milik bank ke atas rumah tersebut akan semakin berkurangan setiap kali pembeli membuat bayaran kepada bank dan hak milik tersebut dipindahkan kepada pembeli secara ansuran sehingga selesai pembayaran pembiayaan. Pada akhir tempoh perkongsian, rumah tersebut akan menjadi hak milik pembeli sepenuhnya.

AIMAT pula merupakan perjanjian sewaan. Menerusi kontrak ini, pihak bank akan menyewakan rumah kepada pembeli untuk satu tempoh yang ditetapkan, dan selepas tempoh sewaan tamat, hak milik rumah tersebut akan dipindahkan kepada pembeli menerusi kontrak jualan atau sebagai hadiah. Oleh yang demikian, AITAB adalah salah satu kontrak di bawah AIMAT. Menerusi perjanjian AITAB, pembeli akan menyewa dengan bayaran bulanan seperti yang dipersetujui, dan pada akhir tempoh sewaan, bank akan menjual rumah tersebut kepada pembeli dengan harga yang telah dipersetujui.

Walaupun terdapat banyak pembiayaan secara Islam yang ditawarkan, namun perkara yang paling penting sebelum membuat permohonan pembiayaan adalah terletak pada kemampuan pengguna untuk membayar kembali pembiayaan yang diberikan. Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan agar:

  • Memastikan bahawa mereka mampu membuat bayaran bulanan berdasarkan jumlah bayaran ansuran.
  • Pastikan dengan teliti tempoh pembiayaan.
  • Mengenal pasti jenis pembiayaan berserta dengan hak dan tanggungjawab yang wujud daripada perjanjian yang dipersetujui.
  • Pengguna perlu memahami setiap butir yang dinyatakan dan dipersetujui dalam kontrak yang ditandatangani.
  • Pastikan institusi perbankan Islam yang ingin dipohon menawarkan konsep pembiayaan yang ingin dipohon. Ini kerana, bank-bank Islam menawarkan konsep pembiayaan yang berbeza-beza.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 39/Julai 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button