Pelan PerbelanjaanPenggunaPengurusan HutangPengurusan Kewangan

Pinjaman Kereta

Jumlah penggunaan kenderaan persendirian, terutamanya kereta semakin meningkat saban hari. Peningkatan ini memberi pelbagai kesan kepada pengguna terutamanya dari segi kewangan mereka. Kegagalan membayar balik wang pinjaman kereta kepada pihak bank merupakan punca tertinggi ramai orang diisytiharkan bankrap di Malaysia. Menurut statistik Jabatan Insolvensi Malaysia, 25% daripada kebankrapan adalah disebabkan oleh tidak dapat membayar balik sewa beli kenderaan.

Berdasarkan aduan, NCCC mendapati segelintir penjual kereta, terutamanya penjual kereta terpakai, menaikkan harga sebenar kereta yang dijual supaya pembeli mendapat 100% pinjaman. Walaupun ini merupakan satu kesalahan, tetapi penjual sering melakukannya. Tindakan ini sebenarnya membebankan pembeli kerana pembeli terpaksa membayar ansuran bulanan yang tinggi. Hal ini akan menyebabkan pinjaman tidak berbayar , kereta ditarik balik oleh pihak bank, dan dalam sesetengah kes, peminjam diisytiharkan bankrap. Oleh yang demikian, pembeli disyorkan supaya tidak mendesak atau menggalakkan penjual kenderaan untuk menaikkan harga sebenar kenderaan kerana akhirnya ia akan memberi kesan kepada pembeli.

Merujuk pindaan Akta Sewa Beli 1967 yang telah dikuatkuasakan pada 15 Julai 2011, penjual kenderaan tidak dibenarkan memungut bayaran tempahan melebihi 1% daripada jumlah harga kenderaan tersebut. Sekiranya permohonan untuk mendapatkan pinjaman ditolak, penjual hanya berhak untuk menyimpan 10% daripada jumlah wang tempahan yang dipungut dan baki 90% harus dikembalikan kepada pembeli. Contohnya, pembeli membuat tempahan kereta Myvi berharga RM50,000. Wang tempahan yang boleh dipungut ialah 1% iaitu RM500. Sekiranya pinjaman ditolak, penjual hanya boleh menyimpan RM50, iaitu (10%) dan perlu mengembalikan baki tempahan RM450 (90%) kepada pembeli. Jika penjual enggan memulangkan wang tersebut, pembeli boleh membuat aduan kepada NCCC atau memfailkan kes ini kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk mendapatkan semula wang tempahan mereka.

Tip Pengguna

  • Jika anda ingin membeli kereta, dapatkan jumlah pinjaman yang anda mampu bayar.
  • Selain pembayaran ansuran bulanan, memiliki kenderaan juga melibatkan kos lain seperti petrol, bayaran tol, cukai jalan, insurans, parkir kereta, kos penyelenggaraan serta kos membaiki apabila kereta anda rosak.
  • Pastikan anda membayar ansuran kereta tepat pada masanya untuk mengelakkan bayaran penalti, ataupun lebih teruk kereta anda ditarik.
  • Untuk mendapat nilai maksimum kereta yang dibeli, adalah bijak untuk mengambil jumlah pinjaman yang lebih kecil dengan tempoh bayaran yang lebih singkat.
  • Jika anda menjual kereta, pastikan semua pinjaman dijelaskan sebelum hak milik kereta dipindahkan kepada pembeli baru.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-7877 9000 atau myAduan@nccc.org.my

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 34/Februari 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button