Pelan Perbelanjaan

Pertimbangan Sebelum Membeli Kereta Baharu

 

Membeli kereta menjadi impian bagi graduan dan golongan yang baru bekerja. Kos membeli dan menyelenggara kereta merupakan perbelanjaan kedua besar selepas kos pembelian rumah. Oleh itu, anda perlu membuat pertimbangan yang serius sebelum membeli kereta.

Statistik daripada Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan faktor utama yang menyebabkan kebankrapan ialah pinjaman kereta. Ini bermakna ramai yang tidak membuat pertimbangan yang betul apabila membeli kereta. Sekiranya mereka gagal membayar balik pinjaman tersebut, ia akan menyebabkan mereka boleh diisytiharkan bankrap.

Sekiranya anda ingin membeli kereta, anda perlu membuat pengiraan kos pemilikan kereta secara menyeluruh dan bukan hanya ansuran bulanan. Seringkali, pengguna menghadapi masalah tentang pemilikan kereta kerana mereka tidak membuat anggaran pemilikan kos kereta secara menyeluruh. Mereka hanya mengambil kira bayaran ansuran bulanan, dan dengan angka tersebut mereka telah membuat pertimbangan terhadap kemampuan untuk membeli kenderaan. Ini adalah satu kesilapan yang besar.

Sebelum anda membeli kereta, anda mesti mempunyai lesen memandu yang sah. Seterusnya, untuk mendapatkan pembiayaan, dokumen-dokumen yang perlu disediakan, antaranya ialah:

  1. Slip gaji untuk tempoh enam bulan yang lepas;
  2. Borang Cukai atau KWSP (sekiranya perlu);
  3. Penjamin (sekiranya perlu).

Wang Pendahuluan

Kebanyakan institusi kewangan memerlukan bayaran wang permulaan sebanyak 10% daripada harga kereta. Walaupun, ada institusi kewangan yang menawarkan 0% wang permulaan, pengguna harus sedar bahawa tanpa wang permulaan, bayaran ansuran bulanan akan menjadi lebih tinggi. Lebih tinggi bayaran permulaan, lebih rendah ansuran bulanan.

Tidak dapat dinafikan bahawa harga kereta di Malaysia agak mahal berbanding negara-negara lain. Bayaran ansuran kereta akan memberi kesan terhadap perbelanjaan bulanan anda. Oleh itu, sebelum anda membuat keputusan untuk membeli kereta, anda juga perlu mengambil kira pilihan pengangkutan awam yang sedia ada seperti teksi, perkhidmatan e-panggilan, komuter dan sebagainya, untuk mengenal pasti pilihan yang lebih sesuai berdasarkan kemampuan anda. Memiliki kereta mungkin menjadi keperluan disebabkan kemudahan pengangkutan awam yang kurang memuaskan. Kereta menjadi keperluan untuk berulang-alik ke tempat kerja, membeli-belah, atau menjalani aktiviti riadah.

Pengguna yang tinggal di luar Bandar atau pinggir bandar seringkali terpaksa menggunakan kereta kerana pengangkutan awam adalah sangat terhad di tempat mereka. Bagi yang tinggal di bandar besar, seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, system pengangkutan awam lebih kerap dan lebih mudah untuk diakses.

Kos pemilikan kereta melibatkan bukan sahaja bayaran ansuran bulanan tetapi juga kos lain seperti minyak dan penyelenggaraan. Jumlah kos pemilikan kereta adalah lebih besar daripada kos pembelian kereta semata-mata. Antara kos pembelian dan penyelenggaraan kereta ialah:

Pembiayaan

Anda memerlukan wang pendahuluan sebanyak 10% daripada harga kereta. Seterusnya anda perlu meminjam 90% daripada harga kereta, yang perlu dibayar dengan kadar faedah tertentu. Buat perbandingan dengan pelbagai institusi kewangan untuk mendapatkan kadar faedah yang paling rendah. Tempoh pinjaman kebiasaannya antara tiga hingga sembilan tahun. Lebih lama tempoh anda meminjam, lebih rendah bayaran ansuran. Sila lihat jadual berikut untuk contoh pengiraan pembiayaan bagi sebuah kereta berharga RM40,000, dengan wang pendahuluan 10% dan pinjaman 90% dengan kadar faedah 2.8% setahun:

Tempoh Pinjaman

Ansuran Bulanan

Jumlah Bayaran

Jumlah Faedah

3 tahun

1,084

39,024

3,024

5 tahun

684

41,040

5,040

9 tahun

417

45,072

9,072

Sebaik- baiknya pilihlah tempoh pinjaman yang paling pendek, untuk memastikan anda membayar kadar faedah yang minimum.

Cukai Jalan

Cukai jalan ialah satu kemestian bagi semua pemilik kereta yang ingin menggunakannya di jalan raya. Bagi kereta kurang daripada 1600cc di Semenanjung, cukai jalan yang dikenakan ialah RM90.

Insurans

Insurans kereta juga adalah wajib. Di bawah liberalisasi insurans kereta oleh Bank Negara Malaysia, pengguna boleh membandingkan tawaran oleh pelbagai syarikat insurans untuk mendapatkan tawaran yang terbaik. Kadar premium insurans ditentukan oleh pelbagai faktor risiko pengguna, seperti ciri-ciri keselamatan kenderaan, usia kenderaan dan pemandu serta kesalahan lalu lintas berbanding hanya nilai diinsuranskan dan keupayaan enjin kenderaan.

Petrol

Kos petrol perlu diambil kira apabila memiliki kereta. Kos petrol merupakan kos kedua tertinggi dalam kegunaan kereta.

Penyelengaraan dan Pembaikan

Kereta baharu biasanya diberi tempoh waranti sehingga 5 tahun. Pada masa itu anda perlu menyelenggara kereta di bengkel yang disahkan oleh syarikat kereta. Jika anda gagal menyelenggara di bengkel yang disahkan, kemungkinan waranti anda akan dibatalkan. Biasanya kereta perlu diselenggara selepas 5,000 km ataupun 10,000 km. Untuk memastikan prestasi dan keadaan kereta yang baik, anda perlu menyelenggara kereta mengikut jadual yang ditetapkan.

Ruang Letak Kereta dan Tol

Di bandar utama, pengguna menghadapi dua cabaran. Pertama, kesukaran untuk mendapatkan tempat letak kereta dan bayaran letak kereta yang agak mahal. Kedua, anda juga perlu membayar tol sekiranya menggunakan lebuh raya.

Susut Nilai Kereta

Susut nilai kereta adalah nilai semasa kereta. Jika anda membeli kereta pada bulan Januari dengan harga RM40,000, pada akhir tahun jika anda ingin menjual kereta, nilainya mungkin sekitar RM32,000. Maka susut nilai kereta ialah 20%. Anda telah kehilangan nilai kereta sebanyak 20% dalam tempoh setahun. Faktor-faktor yang mempengaruhi susut nilai kereta adalah jumlah perbatuan (mileage), jenama kereta, cara penggunaan dan usia kereta, jadual penyelengaraan yang dipatuhi, pengubahsuaian kereta dan keadaan kereta.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button