Pelan PelaburanPelan PenyimpananPerancangan Kewangan

Persediaan Pekerja Muda Menghadapi Persaraan

Apabila memberikan ceramah kepada pekerja muda tentang persediaan kewangan untuk persaraan, seringkali para peserta beranggapan bahawa ceramah yang diberikan itu tidak ada kena-mengena dengan kepentingan kewangan mereka. Bagi mereka yang baru mula bekerja, tumpuan lebih terarah kepada kehidupan yang seronok dan bahagia, iaitu memiliki rumah, kereta, berkahwin dan sebagainya. Tidak mungkin pada masa ini, mereka pula dikehendaki untuk memikirkan tentang persaraan. Sekarang adalah masa untuk enjoy.

Sebenarnya tanggapan seperti itu adalah silap. Jika melihat kepada data sedia ada tentang persediaan untuk menghadapi persaraan, ia amat tidak menggalakkan. Dalam kajian yang dikendalikan oleh Citibank mendapati:

  • 60% pengguna tidak yakin dengan simpanan persaraan mereka
  • Hanya 22% mempunyai satu pelan persaraan

Mengikut kaji selidik yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2010, secara purata, tahap celik wang rakyat Malaysia yang menghampiri usia persaraan adalah jauh lebih rendah, manakala sikap terhadap pengurusan kewangan juga didapati kurang memberangsangkan.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh FOMCA pula, bila ditanya, “Adakah anda rasa bahawa simpanan anda mencukupi untuk kegunaan semasa persaraan?”, sebanyak 64% yang menjawab, “Tidak!”.

Ramai pengguna hanya mengharapkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menampung sara hidup mereka selepas bersara. Berdasarkan laporan di Berita Harian, “Kira-kira 72% pencarum menghabiskan semua simpanan mereka dalam tempoh 3 tahun dari tarikh pengeluaran selepas bersara (Berita Harian, 20/7/2010).

Persaraan adalah masa apabila anda tidak lagi memperoleh pendapatan daripada gaji, sebaliknya anda akan bergantung kepada simpanan dalam KWSP, pelan persaraan yang lain, pendapatan pelaburan atau pendapatan daripada pekerjaan sambilan. Memandangkan wang KWSP sahaja tidak mencukupi untuk menampung keperluan semasa bersara, maka setiap pengguna harus memikirkan secara terperinci tentang perancangan mereka apabila bersara.

Untuk mencapai kejayaan kewangan dalam persaraan, pengguna harus mempunyai tabungan dan pelaburan yang cukup untuk menambah simpanan dalam KWSP. Untuk menjayakan ini, dalam masa seseorang bekerja untuk 30 hingga 35 tahun, seseorang mesti memilih satu-satu skim persaraan dan harus berkomited untuk mematuhi skim tersebut sehingga bersara.

Anda dinasihatkan supaya memulakan persediaan persaraan daripada mula bekerja dan terus melabur sehingga bersara untuk memastikan anda mempunyai pendapatan yang cukup semasa bersara. Dengan mula menyimpan semasa usia masih muda, anda akan menikmati manfaat simpanan wang yang lebih tinggi.

Untuk memudahkan perbandingan, cuba lihat contoh berikut:

  AHMAD SITI ZAINAL
Usia semasa pelaburan dibuat 18 tahun 22 tahun 30 tahun
Tempoh pelaburan 5 tahun 8 tahun 26 tahun
Jumlah pelaburan RM 15,000 RM 24,000 RM 78,000
Pulangan pelaburan pada usia 55 RM 467,913 RM 449,773 RM 360,300

*Kadar pelaburan mereka adalah sama iaitu RM 3,000 setahun@RM 250 sebulan; pulangan 10% setahun

Apabila bersara pada usia 55 tahun, perbezaan simpanan di antara Ahmad dan Zainal adalah RM107,613. (Contoh daripada Buku Celik Wang, terbitan AKPK). Hasil contoh diatas berpunca daripada faedah kompaun, iaitu faedah tambahan yang diperolehi atas jumlah simpanan asal ditambah dengan faedah yang diterima.

Maka jelaslah jika anda memula melabur daripada usia yang muda, anda bukan sahaja melabur duit yang lebih sedikit tetapi pulangan anda pada umur persaraan adalah jauh lebih tinggi.

Untuk merancang persaraan anda dengan jayanya, anda harus menetapkan matlamat persaraan anda. Tabungan persaraan anda adalah jumlah simpanan dan pelaburan yang anda kehendaki untuk menjamin gaya hidup persaraan yang anda ingin nikmati.

Terdapat beberapa mitos yang berkaitan dengan persaraan. Antaranya ialah:

  • Saya tidak memerlukan wang yang banyak apabila bersara, berbanding dengan pendapatan saya sekarang. Ini bergantung kepada gaya hidup yang anda ingin nikmati serta kesihatan anda semasa bersara. Sekiranya anda ingin mengekalkan gaya hidup sama atau tidak banyak berkurangan daripada sekarang, maka tabungan dan pelaburan harus lebih tinggi. Tambahan pula, kemungkinan besar kos perubatan anda akan lebih tinggi daripada sekarang. Anda mesti mempunyai kewangan yang cukup untuk membayar bil-bil hospital.
  • Saya tidak perlu bimbang dengan simpanan persaraan saya. Berdasarkan statistik, hayat hidup lelaki adalah sehingga 72 tahun. Sekiranya anda bersara pada umur 55 tahun, maka anda memerlukan tabungan untuk lebih 17 tahun tanpa gaji yang tetap. Maka perancangan yang teliti adalah perlu.
  • Saya akan mula merancang bila hampirhampir bersara. Pada masa sekarang, biar saya guna duit untuk perkara-perkara lain. Jelas daripada contoh pengiraan pulangan berdasarkan faedah kompaun di atas, maka lebih awal anda menyimpan, maka anda bukan sahaja mendapat pulangan yang lebih tinggi apabila berumur 55, malah jumlah yang anda laburkan adalah lebih rendah.

Dalam perancangan untuk persaraan, anda juga harus sedar terhadap beberapa ancaman.

  • Jika pada 10 tahun lepas, harga roti chanai adalah 40 sen dan sekarang harga adalah RM1.00, maka dalam 10 tahun atau 20 tahun hadapan anda boleh jangka bahawa harga semua barangan akan jauh lebih mahal daripada sekarang.
  • Perbelanjaan kesihatan dan penjagaan jangka panjang. Semakin tua semakin banyak penyakit akan dihadapi. Oleh itu lebih banyak wang diperlukan untuk membiayai kos perubatan.

Oleh itu kita perlu merancang dan bersedia untuk menghadapi persaraan mulai daripada sekarang.

Sumber : Berita Harian/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 11/Mac 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button