Asas PerancanganBajet dan Aliran TunaiPelan PenyimpananPerancangan KewanganTip dan Panduan

Persediaan Kewangan Menghadapi Masa Tua

Pada 29 Jun 2017, sebuah akhbar dalam talian telah melaporkan tentang warga tua yang ditinggalkan oleh keluarga mereka. Beberapa orang yang ditemu ramah oleh akhbar tersebut berpendapat warga emas tidak sepatutnya mengharapkan anak-anak sahaja untuk menjaga mereka. Malah ada yang berpendapat, “Jangan bergantung sepenuhnya kepada anak-anak untuk menjaga anda kerana mereka mungkin ada komitmen lain yang perlu digalas.”

Zaman tua sepatutnya merupakan zaman kemuncak anda selaras dengan gelaran warga emas. Namun ia boleh menjadi zaman yang kelam jika anda terasing tanpa tempat bergantung. Jika anda menyerahkan ibu bapa ketika usia tua mereka ke tangan orang lain, mungkinkah anak-anak anda juga akan melakukan perkara yang sama? Semua ini menambah lagi persoalan kepada generasi Y: adakah anda bersedia untuk menghadapi hari tua?

Berikut adalah beberapa fakta tentang warga tua:

  1. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan secara amnya, umur bagi seorang warga tua adalah 65 tahun.
  2. Laporan Statistik Kesihatan Dunia 2017 yang diterbitkan oleh WHO mendedahkan jangka hayat bagi kedua-dua jantina di Malaysia adalah 75 tahun.
  3. Berdasarkan data yang diperoleh daripada Bank Dunia, orang berumur 65 tahun ke atas merupakan 6% daripada jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2015. Ini merupakan peningkatan sebanyak 3% sejak 1960, dan mengesahkan jumlah 1.9 juta warga tua di negara ini.
  4. Jumlah penduduk warga tua di dunia kini meningkat dengan pantas. Menurut Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, orang berumur 60 tahun ke atas merupakan 12.3% daripada jumlah penduduk dunia. Jumlah ini dijangka meningkat kepada 22% menjelang 2050.
  5. Jabatan Statistik Malaysia mengunjurkan Malaysia akan menjadi negara tua pada tahun 2030 apabila 15% penduduk terdiri daripada warga emas.
  6. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pernah menjalankan kaji selidik ke atas keluarga Malaysia pada tahun 2014. Kaji selidik ini mendapati 9% daripada warga tua (168,000 orang warganegara) hidup bersendirian.
  7. Dalam kaji selidik yang sama, 4.7% (88,000 warganegara) menyatakan yang mereka tidak pernah menerima sebarang bantuan daripada anak-anak mereka, sama ada dalam bentuk wang, keperluan harian mahupun bantuan dalam penjagaan rumah.

Jadi apa yang anda perlu rancang untuk hidup sendiri?

1. Penjagaan kesihatan

Tahun demi tahun badan anda akan melalui perubahan biologi yang akan meningkatkan kecenderungan terhadap penyakit dan kehilangan upaya. Kesihatan merupakan aspek fizikal paling penting dalam menjalani kehidupan yang bahagia, namun kos yang terlibat dalam penjagaan kesihatan juga agak tinggi.

Jika anda tidak memberi perhatian terhadap kesihatan anda mulai sekarang, perbelanjaan kesihatan boleh mengurangkan wang simpanan anda kelak.

2. Bantuan tambahan

Kemajuan teknologi dalam sektor perubatan telah meningkatkan jangka hayat penduduk dunia. Namun, jika mengambil kira kecacatan mental dan fizikal, anda memerlukan bantuan tambahan untuk melakukan perkara-perkara asas, seperti bangun daripada katil, makan, mandi dan juga untuk mengingatkan diri anda untuk makan ubat.

Sudah tentulah anda mengharapkan seseorang untuk menjaga anda di rumah. Tinggal di rumah sendiri yang dikelilingi oleh insan yang sentiasa prihatin terhadap kesihatan anda, sudah pasti merupakan sesuatu yang terbaik untuk menghabiskan zaman tua. Namun anda mungkin perlu mengupah penjaga untuk mendapatkan bantuan tambahan. Ini lazimnya melibatkan kos yang agak besar.

Satu lagi pilihan lain ialah rumah warga emas – yang boleh mengurangkan beban kewangan. Ini bermaksud anda perlu tinggal bersama-sama dengan orang yang tidak dikenali. Kos purata untuk tinggal di rumah warga tua berbeza-beza bergantung pada kemudahan yang ditawarkan, kualiti perkhidmatan dan juga keperluan tambahan yang lain.

3. Keperluan harian

Semakin usia anda meningkat, keperluan anda juga mungkin bertambah. Kadang-kadang ia merupakan perkara yang anda tidak pernah fikirkan sebelum ini. Anda mungkin memerlukan kerusi roda untuk memudahkan pergerakan anda. Anda juga mungkin memerlukan kerusi untuk membuang air besar di sebelah katil anda, selain lampin dewasa dan peralatan-peralatan lain untuk membantu anda menjalani kehidupan seharian.

Pemakanan anda juga akan mengalami perubahan yang besar. Beberapa produk perlu diambil setiap hari demi mengekalkan kesihatan dan juga stamina yang lebih baik. Contohnya tepung susu tambahan dan makanan yang lembut bagi membantu anda mengunyah dan menelan dengan sempurna.

Kemalangan juga lebih mudah dialami oleh warga tua disebabkan kehilangan ingatan dan kadar tindak balas yang lebih perlahan berbanding usia muda. Oleh itu, anda perlu menyimpan bekalan ubat-ubatan asas seperti kain kapas, kain pembalut, kain lap basah dan sarung tangan getah.

Menjaga warga tua bukanlah satu tugas yang mudah. Anda perlu menanggung kos perubatan yang tinggi dan menjaga mereka setiap masa. Anda mungkin tidak dapat melakukannya sendiri. Walaupun perancangan menghadapi hari tua boleh mengurangkan risiko beban kewangan anda, perkara paling penting yang anda perlukan ialah sokongan dan juga hubungan kekeluargaan yang kukuh. Aspek penjagaan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Inilah masanya anda memerlukan keluarga dan sahabat.

Bagi sesetengah kes, ada keluarga yang memilih rumah warga emas disebabkan kesempitan wang dan kekangan masa. Ia bukannya bermaksud mereka ingin memutuskan hubungan dengan ibu bapa mereka. Kadangkala pusat penjagaan warga tua yang beroperasi secara 24 jam dan 7 hari seminggu mungkin satusatunya pilihan yang ada. Namun anak-anak masih perlu sentiasa melawat ibu bapa bagi menunjukkan kasih sayang dan memberi sokongan moral kepada ibu bapa mereka.

 

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 99/Julai 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button