Pelan Perbelanjaan

Persediaan Kembali Ke Sekolah

Pendidikan merupakan salah satu keperluan asas yang penting, terutama sekali bagi anda yang telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak bersekolah. Setiap tahun, ibu bapa perlu membelanjakan ratusan atau ribuan ringgit untuk perbelanjaan sekolah anak-anak.

Malah, menurut satu kaji selidik yang dilakukan oleh HSBC, lebih daripada 50% ibu bapa di Malaysia sanggup berhutang semata-mata untuk membiayai pendidikan anak-anak. Sekiranya anda merancang untuk berkeluarga, atau sudah mempunyai anak, anda perlu menyediakan peruntukan yang khusus untuk perbelanjaan pendidikan dari sekarang. Peruntukan yang disediakan adalah berbeza-beza mengikut tahap pendidikan, iaitu peringkat rendah dan menengah, dan juga peringkat sekolah menengah dan pengajian tinggi.

Sejak pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilancarkan, iaitu bermula pada tahun 1997 hingga Julai 2016, seramai hampir 2.49 juta peminjam PTPTN, yang melibatkan pengajian peringkat diploma hingga PhD. Namun, apa yang menyedihkan ialah, sehingga September 2016, seramai 739,087 peminjam tidak pernah membuat pembayaran balik pinjaman, dengan jumlah tertunggak sebanyak RM5.2 bilion. Sebaliknya ibu bapa perlu membuat perancangan awal untuk pendidikan anak kerana kos ini semakin meningkat saban tahun.

Justeru, ibu bapa perlu bersedia dalam aspek kewangan apabila berhadapan dengan pendidikan anak-anak. Perancangan kewangan sangat penting agar perbelanjaan dapat dilakukan secara berhemat. Berikut adalah tip kembali ke sekolah yang boleh dijadikan panduan :-

  1. Guna semula pakaian yang masih elok

Sekiranya pakaian sekolah, seperti baju, seluar dan kasut sekolah masih elok untuk dipakai atau baru sahaja diganti pertengahan tahun, maka ia masih boleh dipakai lagi. Dengan ini dapat menjimatkan wang daripada membeli pakaian baharu.

  1. Guna semula peralatan yang telah digunakan oleh anak-anak yang lebih besar

Sekiranya anda mempunyai anak-anak yang lebih besar, yang telah tamat persekolahan, maka ia merupakan satu kelebihan. Peralatan sekolah, seperti beg, kalkulator, set geometri’, bekas pensel, pembaris, gunting dan sebagainya, boleh digunakan semula oleh adik-adik mereka.

  1. Senaraikan keperluan yang ingin diganti

Semasa musim kembali ke sekolah, banyak pasar raya dan kedai-kedai menawarkan harga diskaun. Anda perlu menyediakan senarai barangan yang ingin dibeli agar tidak membeli melebihi kemampuan anda.

  1. Buat bajet

Keperluan anak-anak bersekolah menengah dan rendah adalah berbeza. Begitu juga dengan yuran sekolah yang berbeza. Sebagai ibu bapa, anda perlu menyediakan bajet persekolahan anak-anak, sekurang-kurangnya 3 hingga 5 bulan lebih awal. Begitu juga, perbelanjaan untuk membeli peralatan sekolah, pakaian, yuran dan sebagainya.

  1. Membuat persediaan awal

Sebagai ibu bapa, anda tidak perlu menunggu sehingga hujung tahun untuk membeli peralatan persekolahan anak-anak. Anda boleh berbelanja secara beransur-ansur. Ada ibu bapa yang terpaksa menggunakan kad kredit kerana membeli pakaian dan peralatan sekolah yang banyak. Hal ini akan membebankan anda.

  1. Pengangkutan atau kenderaan ke sekolah

Ibu bapa yang bekerja memerlukan pengangkutan seperti bas atau van sekolah, untuk anak-anak mereka. Bajet yang diperlukan untuk semua anak yang bersekolah kemungkinan antara RM80 hingga RM300 sebulan. Sebagai alternatifnya, mungkin anak anda boleh berkongsi kenderaan dengan anak-anak jiran atau menaiki kenderaan awam untuk mengurangkan kos. Anda boleh berjimat sekiranya anak-anak tinggal di asrama sekolah.

  1. Bawa bekal ke sekolah

Amalan membawa bekal ke sekolah membolehkan anak anda menikmati makanan yang berkhasiat dan sihat untuk tubuh badan. Anak anda boleh menjimatkan wang dan masa beratur untuk membeli makanan di kantin. Anda boleh memulakan dengan membawa bekal untuk satu kali dalam seminggu. Jika anda telah terbiasa, tingkatkan kekerapan jumlah hari anak anda membawa bekal ke sekolah.

Dalam keadaan ekonomi yang masih tidak menentu pada tahun 2017, ibu bapa perlu  merancang kewangan mereka dengan lebih berhemat. Tanamkan tabiat menyimpan wang untuk menampung keperluan. Kikis tabiat suka berhutang kerana ia tidak sihat dalam pengurusan kewangan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 79/November 2016

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button