EkonomiPelan PelaburanPerancangan Kewangan

Persediaan hadapi kesan kenaikan kadar inflasi

Berita Harian (Rencana)

DUNIA menghadapi kadar inflasi semakin tinggi akibat peningkatan permintaan barangan dan perkhidmatan secara mendadak sejak ekonomi dibuka semula.

Sekatan mobiliti dikenakan banyak negara menjejaskan rantaian bekalan global. Keadaan lebih teruk dengan tercetusnya konflik antara Russia dengan Ukraine yang pasti akan memburukkan lagi rantaian bekalan global.

Kenaikan harga minyak mentah, logam dan komoditi melonjak tinggi di pasaran global akan terus memberi tekanan kepada kadar inflasi.

Di pasaran dunia, kedua-dua negara maju dan negara sedang membangun merekod kasar inflasi melebihi 5 peratus pada tahun lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula melaporkan Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 2.3 peratus pada Januari tahun ini. Menurut laporan, antara sebab peningkatan kadar berkenaan adalah kenaikan harga pada kumpulan pengangkutan, makanan dan minimum.

Inflasi yang menjadi kadar perubahan harga barangan jika meningkat akan merosotkan nilai wang kerana kita perlu membayar lebih untuk barangan dan perkhidmatan sama.

Dari semasa ke semasa, inflasi meningkatkan kos sara hidup dan mengurangkan kuasa beli pengguna. Jika pendapatan seseorang tidak meningkat pada kadar sama atau lebih tinggi daripada peningkatan inflasi, maka inflasi pasti akan menjejaskan kehidupan mereka dan ekonomi negara.

Justeru, dalam keadaan inflasi berterusan, adalah wajar bagi seseorang itu mempertimbangkan untuk melabur sebahagian wang simpanan supaya mendapat pulangan sekurang-kurangnya sama atau lebih tinggi daripada kadar inflasi.

Inflasi turut menjejaskan perancangan persaraan seseorang. Dengan kadar inflasi meningkat, simpanan persaraan akan berkurangan akibat kemerosotan nilai wang. Dalam erti kata lain, jumlah kewangan diperlukan untuk membiayai kualiti hidup sama selepas persaraan akan turut meningkat.

Justeru, adalah penting untuk mula menyimpan seawal yang mungkin dan jika diizinkan, simpan wang lebih banyak daripada diperlukan sebagai persediaan menghadapi inflasi sebelum persaraan.

Bon menawarkan pendapatan tetap akan menjadi kurang menarik apabila inflasi meningkat lebih cepat daripada pulangan ke atas aset ini. Maka, dalam keadaan inflasi terus meningkat, adalah wajar untuk seseorang mengambil langkah untuk melindungi diri daripada inflasi.

Antara cara melindungi diri daripada kesan negatif kenaikan inflasi adalah dengan memegang aset yang dianggap pelindung nilai. Aset ini biasanya bergerak bertentangan dengan pasaran atau tidak tertakluk kepada turun naik pasaran mendadak.

Ia berpotensi membantu meminimumkan kerugian jika pasaran mengalami perubahan besar dan tidak menentu seperti kenaikan kadar inflasi. Contoh aset pelindung nilai adalah emas dan logam berharga lain.

Selain itu, antara cara melawan inflasi adalah dengan melabur di pasaran saham. Kenaikan harga saham syarikat mungkin berlaku sekiranya ia berjaya menyesuaikan operasi kepada kos lebih tinggi dalam rantaian bekalan atau proses pengeluaran.

Namun, perlu berhati-hati dalam membeli atau menjual saham semasa tempoh inflasi tinggi kerana pelaburan saham adalah tertakluk kepada turun naik dan perubahan harga mendadak.

Aset seperti hartanah atau amanah pelaburan hartanah juga dianggap antara cara melindung nilai portfolio pelaburan terhadap inflasi memandangkan ia biasanya mempunyai sedikit korelasi dengan saham dan bon.

Nilai hartanah dan sewa dikenakan akan meningkat apabila inflasi meningkat. Kenaikan pendapatan seiring dengan kenaikan inflasi membantu mengimbangi risiko inflasi.

Justeru, perlu diingatkan tidak ada satu cara sama untuk semua orang melindungi diri daripada kesan kenaikan kadar inflasi. Ia terpulang kepada pengalaman dan tindakan seseorang terhadap kenaikan inflasi sangat bergantung kepada ilmu serta pengalaman mereka.

Maka, berundinglah dengan pakar atau penasihat kewangan berlesen jika perlu.

Oleh: Tay Bee Hoong
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Johor

Sumber: Berita Harian (Rencana)

Artikel Berkaitan

Back to top button