Pelan PerbelanjaanPerancangan Kewangan

Persediaan Anak-Anak Kembali Ke Sekolah

Sempena Jualan Akhir Tahun (Year End Sale), pelbagai promosi menarik ditawarkan oleh pasar raya bagi memenuhi keperluan pengguna. Menjelang akhir tahun, pelbagai persiapan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa, terutama yang mempunyai anakanak bersekolah. Persiapan persekolahan anakanak sedikit sebanyak akan mempengaruhi corak perbelanjaan keluarga.

Kajian Global terhadap Keyakinan Pengguna dan Keinginan Untuk Berbelanja oleh Nielsen pada suku pertama tahun 2014, menunjukkan di Malaysia, terdapat penurunan indeks perbelanjaan, iaitu daripada 98 mata kepada 92 mata (indeks purata global ialah 94 mata) berbanding Negara Indonesia (124 mata) dan Filipina (116 mata). Ini menunjukkan pengguna Malaysia semakin berhati-hati ketika berbelanja.

Kajian yang sama juga menunjukkan, 64% pengguna memilih untuk mempunyai lebihan wang tunai di tangan. Mereka juga memutuskan untuk mengurangkan perbelanjaan pembaik pulih rumah (14%) dan keluar rumah untuk hiburan (16%) bagi tujuan mengawal perbelanjaan isi rumah. Menurut laporan Kumpulan Peruncitan Malaysia pula, perbelanjaan rakyat Malaysia semasa Tahun Baru Cina menunjukkan peningkatan 4.8% pada suku pertama dan 5% pada suku kedua. Manakala suku ketiga mencatatkan 6.3% semasa sambutan Hari Raya. Namun begitu, secara keseluruhannya perbelanjaan rakyat Malaysia masih rendah berbanding tahun lalu mencatatkan 7.5% bagi suku pertama.

Menurut kajian oleh Kenanga Investment menerusi laporan April 2014, kebanyakan pengguna bimbang dengan kenaikan kos sara hidup, berikutan pengurangan kadar subsidi dan pelaksanaan cukai GST yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015.

Dalam pada itu, kerajaan juga telah menyalurkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan pertengahan yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dan pendapatan RM3,000 hingga RM 4,000 bagi membantu golongan yang terkesan oleh kenaikan kos sara hidup. Bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada anak-anak yang bersekolah juga boleh digunakan secara bijaksana.

Keperluan sesebuah keluarga adalah berbeza. Ia bergantung kepada jumlah tanggungan anak-anak yang masih bersekolah. Walau bagaimanapun, ibu bapa perlu berhemat dalam berbelanja. Berbelanja mengikut tahap kemampuan. Walaupun anak-anak mempunyai keinginan yang banyak untuk persiapan persekolahan mereka, namun tidak semestinya semuanya perlu diikuti. Bagi anak-anak, kalau boleh semuanya perlu baharu apabila kembali ke sekolah.

Dr Mohammad Fazli Sabri, Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, UPM mencadangkan anggaran perbelanjaan (sepasang) untuk pelajar sekolah rendah adalah seperti berikut:-

Anggaran perbelanjaan (sepasang) untuk pelajar sekolah menengah adalah seperti berikut:-

Justeru, ibu bapa perlu bersedia dalam aspek kewangan apabila berhadapan dengan musim ini. Perancangan kewangan sangat penting agar perbelanjaan dapat dilakukan secara berhemat.

Berikut adalah tip kembali ke sekolah yang boleh dijadikan panduan:-

a) Guna semula pakaian yang masih elok.

Sekiranya pakaian sekolah, seperti baju, seluar dan kasut sekolah masih elok untuk dipakai atau baru sahaja diganti pertengahan tahun, maka ia masih boleh dipakai lagi. Dengan ini, ia dapat menjimatkan wang daripada membeli pakaian baharu.

b) Guna semula peralatan daripada anakanak yang lebih besar.

Sekiranya anda mempunyai anak-anak yang lebih besar, yang telah tamat persekolahan, maka ia merupakan satu kelebihan. Peralatan sekolah seperti beg, kalkulator, set “geometri”, bekas pensil, pembaris, gunting dan sebagainya boleh digunakan semula oleh adik-adik mereka.

c) Senaraikan keperluan yang ingin diganti.

Semasa musim kembali ke sekolah, banyak pasar raya dan kedai-kedai menawarkan harga diskaun. Anda perlu bijak dan menyediakan senarai barangan yang ingin dibeli agar tidak membeli di luar jangkaan.

d) Buat bajet.

Keperluan anak-anak bersekolah menengah dan rendah adalah berbeza. Yuran sekolah juga berbeza. Sebagai ibu bapa, anda perlu menyediakan bajet persekolahan anakanak sekurang-kurangnya 3 hingga 5 bulan lebih awal. Begitu juga, perbelanjaan untuk membeli peralatan sekolah, pakaian, yuran dan sebagainya.

e) Membuat persediaan awal.

Sebagai ibu bapa, anda tidak perlu menunggu sehingga hujung tahun untuk membeli peralatan persekolahan anak-anak. Anda boleh berbelanja secara beransur-ansur. Ada ibu bapa yang terpaksa mengunakan kad kredit kerana membeli pakaian dan peralatan sekolah yang banyak. Hal ini akan membebankan anda.

f) Pengangkutan atau kenderaan ke sekolah.

Ibu bapa yang bekerja memerlukan pengangkutan seperti bas atau van sekolah untuk anak-anak mereka. Bajet yang diperlukan untuk semua anak yang bersekolah kemungkinan antara RM80 hingga RM300 sebulan. Sebagai altenatifnya, mungkin anak anda boleh berkongsi kenderaan dengan anak-anak jiran atau menaiki kenderaan awam untuk mengurangkan kos. Anda boleh berjimat sekiranya anak-anak tinggal di asrama sekolah.

g) Bawa bekal ke sekolah.

Amalan membawa bekal ke sekolah membolehkan anak anda menikmati makanan yang berkhasiat dan sihat untuk tubuh badan. Anak anda boleh menjimatkan wang dan masa daripada beratur untuk membeli makanan di kantin. Anda boleh memulakan membawa bekal untuk satu kali dalam seminggu. Jika anda telah terbiasa, tingkatkan kekerapan jumlah hari anak anda membawa bekal ke sekolah.

Dalam keadaan ekonomi yang masih tidak menentu pada tahun 2015, ibu bapa perlu merancang kewangan mereka dengan lebih berhemat. Tanamkan tabiat menyimpan wang untuk menampung keperluan. Kikis tabiat suka berhutang kerana ia tidak sihat dalam pengurusan kewangan jika tidak diuruskan dengan baik.

Sumber : FOMCA/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 56/Disember 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button