Pelan Pendapatan

Perniagaan Dalam Talian Secara Mesej Peribadi

Pelbagai kaedah digunakan oleh peniaga dalam talian untuk menjual produk mereka. Antara kaedah yang sering digunakan adalah meminta pelanggan untuk menghantar mesej peribadi untuk mengetahui tentang harga dan maklumat lanjut mengenai produk jualan mereka.

Peniaga ini menggunakan media sosial sebagai saluran untuk mengiklan produk jualan mereka. Hanya maklumat asas sahaja yang dipaparkan. Sekiranya pelanggan ingin mengetahui lebih lanjut tentang harga dan produk tersebut, mereka perlu menghantar mesej peribadi, atau lebih dikenali sebagai ‘PM Tepi’.

Walaupun kaedah ini popular digunakan oleh peniaga melalui media sosial, namun ia menyukarkan pengguna untuk mengetahui lebih awal tentang harga dan maklumat produk.

Kaedah ini telah menyebabkan ada pengguna yang tertipu, seperti pesanan berbeza daripada produk yang diterima, bermutu rendah, dan caj yang mahal daripada apa yang tertera dalam iklan serta berbagai-bagai kes yang dialami pembeli.

Sebenarnya, peniaga yang menggunakan kaedah ini telah melanggar peraturan yang ditetapkan. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menguatkuasakan dua undang-undang yang berkaitan perniagaan seperti ini, iaitu Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

Bermula pada 1 Julai 2013, Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 telah dikuatkuasakan. Ia bertujuan untuk melindungi pengguna yang membeli pembelian secara dalam talian. Melalui peraturan ini, ia akan memerlukan mereka yang terlibat dalam urusan jualan produk atau perkhidmatan secara dalam talian untuk mematuhi beberapa perkara, sebelum menjual di arena internet.

Penjual – Apa Yang Perlu Dilakukan?

Sebagai seorang penjual, anda perlu memastikan informasi berkaitan produk dipaparkan pada pelbagai laman jualan bagi membolehkan pembeli mengetahuinya dengan mudah.

Antara maklumat yang perlu dipaparkan ialah :

    • Nama orang yang menjalankan perniagaan bagi maksud membekalkan produk atau perkhidmatan melalui laman sesawang atau dalam pasaran dalam talian, atau nama perniagaan, atau nama syarikat.
    • Nombor pendaftaran perniagaan atau syarikat.
    • Alamat e-mel dan nombor telefon, atau alamat orang yang menjalankan perniagaan bagi maksud membekalkan produk atau perkhidmatan melalui laman sesawang atau pasaran dalam talian.
    • Perihal tentang ciri utama produk atau perkhidmatan itu.
    • Harga penuh produk atau perkhidmatan termasuklah kos pengangkutan, cukai dan apa-apa kos lain.
    • Kaedah pembayaran
    • Terma dan syarat-syarat
    • Anggaran masa penghantaran produk atau perkhidmatan kepada pembeli.

Selain daripada itu, ia juga perlu diambil perhatian, iaitu setiap pemilik yang membuat jualan perkhidmatan dan produk secara dalam talian ini perlu menyimpan data-data (nama, alamat dan nombor telefon) pembekal sekurang-kurangnya selama dua tahun.

Kesan Positif Kepada Pengguna Dan Pembeli

Dengan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan baru ini, ia akan memberikan lebih jaminan dan perlindungan kepada pengguna dan pembeli yang melakukan transaksi secara dalam talian. Mereka mungkin tidak lagi perlu bimbang mengenai seseorang penjual, dan boleh mengetahui data dan maklumat berkenaan dengan seseorang penjual dengan mudah terus melalui laman jualan.

Bagi menguatkuasakan peraturan ini, KPDNKK berkerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menghalang akses ke laman sesawang atau mengarahkan pentadbir media internet dan tapak pasaran yang terlibat untuk menurunkan kandungan-kandungan berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi Dan Multimedia (AKM 1998) sekiranya didapati berlaku penipuan di laman media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan tapak pasaran dalam talian yang tidak bertanggungjawab.

Pengguna boleh merujuk dan membuat aduan kepada KPDNKK sekiranya menjadi mangsa penipuan atau memfailkan tuntutan ganti rugi di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk tindakan selanjutnya.

Kesalahan Kegagalan mematuhi Peraturan

Peniaga yang gagal mematuhi peraturan ini boleh disabitkan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012, Akta Perlindungan Pengguna 1999, iaitu :

    • Peniaga yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 145, iaitu denda tidak lebih RM50,000 atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
    • Bagi kesalahan ke-2 dan seterusnya didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara lebih 5 tahun atau kedua-duanya.
    • Manakala perniagaan syarikat pula dikenakan denda RM100,000 bagi kesalahan pertama dan RM200,000 bagi kesalahan ke-2 dan seterusnya.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 91/November 2017 FOMCA

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button