Skip to toolbar
Pengurusan HutangPerangkap KewanganPinjaman

Pernahkah Anda Diperdaya Ejen Pihak Ketiga Yang Menawarkan Rundingan Kewangan?

Kami tahu perasaan anda. Anda memerlukan seseorang untuk datang dan membantu anda menyelesaikan kekusutan kewangan yang kian mendesak. Anda mula berasa terancam dan tidak akan teragak-agak untuk mempercayai sesiapa sahaja yang berani berjanji untuk menolong anda membebaskan diri daripada cengkaman hutang.

Maka datanglah seorang pakar runding melalui satu panggilan telefon. Dengan mudah pakar runding tersebut berjaya meyakinkan anda bahawa anda telah menemukan penyelamat anda. Anda pun menceritakan segala-galanya dan berkongsi maklumat-maklumat sulit, dan sesudah semua itu, anda diminta membuat bayaran. Anda mengeluh, “Sudahlah tinggi, mulanya pun belum”, tetapi anda tetap membayarnya walaupun anda berasa sangsi.

Rupa-rupanya, telahan anda betul. Anda telah diperdaya. Anda teringat bagaimana anda diminta untuk berurusan dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, atau (AKPK), bagi penstrukturan semula pinjaman anda di bawah Program Pengurusan Kredit (PPK) sejurus selepas membuat bayaran. Ini membuatkan anda tertanya-tanya, jika pakar runding itu tidak mempunyai sebarang mandat untuk membantu anda.

AKPK yang menguruskan kes anda tidak pernah melantik mana-mana ejen pihak ketiga untuk mendaftarkan anda ke dalam programnya. Bahkan, AKPK menyediakan perkhidmatan kaunseling kewangan dan PPK tanpa bayaran kepada individu. Anda sebenarnya telah membayar untuk perkhidmatan yang anda boleh peroleh secara percuma. Lebih malang jika anda membayar menggunakan kad kredit kerana anda telahpun menambah hutang sedia ada padahal itulah yang anda mahu langsaikan pada asalnya. Seperti pepatah Melayu, “Sudah jatuh ditimpa tangga”, masalah anda kini sudah berganda.

Kes sebenar pernah terjadi membabitkan seorang wanita dari Melaka. Setelah beberapa lama membuat pinjaman sebanyak RM200,000 dari sebuah penyedia kredit, wanita tersebut mula ingkar membuat pembayaran balik mengikut jadual. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, seorang pakar runding dari Kuala Lumpur yang memperkenalkan dirinya sebagai ejen AKPK menelefon dan menawarkan bantuan untuk melangsaikan hutangnya. Bayaran upah yang diminta adalah sebanyak 10% daripada nilai pinjaman.

Termakan dengan janji untuk menamatkan masalah kewangannya, wanita terbabit bersedia untuk membuat bayaran tersebut. Mujurlah seorang saudaranya sempat menyebut tentang perkhidmatan percuma AKPK. Setelah membuat pertanyaan di pejabat AKPK cawangan Melaka, wanita terbabit dengan segera mendaftarkan diri ke dalam program AKPK sekali gus mengelakkan dirinya daripada ditipu membayar upah sebanyak RM20,000.

Sebagai pengajaran, hal berkaitan kewangan yang membabitkan ejen pihak ketiga selalunya berisiko, lebih-lebih lagi jika melibatkan bayaran yang tinggi. Semaklah terlebih dahulu dengan pihak berwajib atau institusi-institusi yang sah tentang tatacara yang betul bagi menyelesaikan isu-isu kewangan anda, serta pegawai bertugas yang dikhususkan untuk membantu anda.

Dalam hal ini, AKPK ialah agensi yang diberi mandat oleh Bank Negara Malaysia sejak 2006 lagi untuk membantu dan mendidik pengguna mengurus kewangan mereka sebagai usaha mewujudkan masyarakat celik wang. Ia adalah sejajar dengan visi AKPK iaitu, ‘Amalkan Pengurusan Kewangan Berhemat Sebagai Budaya Hidup’.

Sumber: www.akpk.com/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 109/Mei 2019

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button