Pelan Perlindungan

Perlindungan Tenang Menangani Produk Insurans / Takaful Yang Kompleks

Produk insurans dan takaful yang ada pada masa ini terlalu kompleks dan tidak mampu dimiliki sebahagian besar rakyat Malaysia. Kadar penembusan insurans hayat dan takaful keluarga di Malaysia kini berada pada 36.5%. Berbanding dengan negara maju, sebahagian besar daripada rakyat Malaysia masih lagi tidak memahami atau mementingkan perlindungan insurans dan takaful.

Bagi mengatasi masalah ini, Bank Negara Malaysia (BNM), dengan kerjasama industri insurans dan takaful telah memperkenalkan “Perlindungan Tenang”. Ia bertujuan untuk memenuhi permintaan segmen isi rumah yang masih belum mempunyai perlindungan insurans / takaful, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Produk di bawah Perlindungan Tenang ini merangkumi tiga kriteria, iaitu mampu milik, mudah difahami dan proses tuntutan yang mudah.

Produk Perlindungan Tenang boleh dibeli dan sesuai untuk orang ramai, tetapi yang paling utamanya adalah diharapkan bahawa produk ini akan mencapai 8 juta rakyat Malaysia pada umur bekerja dan lebih 700,000 perusahaan mikro, yang memerlukan perlindungan insurans dan takaful bagi perlindungan terhadap risiko utama.

Pada masa ini, tujuh syarikat insurans dan tiga pengendali takaful telah membangunkan produk Perlindungan Tenang. Untuk senarai lengkap produk, pihak awam boleh melayari laman sesawang persatuan industri insurans dan takaful iaitu www.liam.org.my, www.malaysiantakaful.com.my ataupun www.piam.org.my. Pihak awam boleh mengenal pasti produk Perlindungan Tenang menggunakan logo yang dipaparkan di atas.

Dalam usaha untuk menerangkan tentang pentingnya perlindungan insurans dan takaful melalui Perlindungan Tenang, BNM akan menggiatkan kempen kesedaran dan program pendidikan, melalui pelbagai saluran dan platform.

Selain itu, inisiatif itu turut menyasarkan peningkatan kadar pemilikan insurans dan takaful dalam kalangan rakyat kepada 75 peratus menjelang 2020.

Perlindungan Tenang telah dilancarkan oleh Bank Negara Malaysia di Karnival Kewangan Sarawak 2017.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 93/Januari 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button