Pelan Perlindungan

Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM)

PIDM ialah sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Akta PIDM) pada tahun 2005. Antara peranan PIDM di bawah Akta PIDM adalah untuk mentadbir satu sistem perlindungan manfaat takaful dan insurans bagi melindungi pemilik sijil takaful dan polisi insuransdaripada kehilangan manfaat takaful dan insurans yang layak sekiranya berlaku kegagalan ahli penginsurans.

Semua pengendali takaful berlesen dan syarikat insurans berlesen merupakan institusi ahli PIDM yang dikenali sebagai “ahli penginsurans”. Keahlian adalah wajib mengikut peruntukan Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia. Ahli penginsurans dikehendaki mempamerkan tanda keahlian ini pada semua pintu masuk pejabat cawangan mereka.

Sekiranya sesebuah ahli penginsurans mengalami kegagalan dan tidak dapat memenuhi tuntutan manfaat takaful atau insurans yang dilindungi di bawah sistem ini, PIDM akan membuat pembayaran kepada pemilik sijil takaful atau polisi insurans mengikut terma dan syarat sijil takaful atau polisi insurans.

Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans mula berkuat kuasa pada 31 Disember 2010 dan ditadbir oleh PIDM.

Manfaat kepada pemilik sijil takaful dan polisi insurans.

  • PIDM melindungi anda daripada kehilangan manfaat takaful atau insurans yang layak sekiranya berlaku kegagalan ahli penginsurans.
  • Perlindungan ini disediakan oleh PIDM secara automatik dan tidak memerlukan sebarang permohonan.
  • Pemilik sijil takaful dan polisi insurans tidak dikenakan bayaran bagi perlindungan ini.

Perlindungan

Pemilik sijil takaful atau polisi insurans yang layak mendapat perlindungan di bawah sistem ini termasuk individu, perniagaan milikan tunggal, perkongsian, kesatuan sekerja, persatuan berdaftar, koperasi, badan amal berdaftar dan perbadanan.

Manfaat takaful dan insurans yang dilindungi di bawah Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans dan had berkaitan digariskan dalam Jadual 1 dan 2 seperti berikut:-

Untuk layak mendapat perlindungan di bawah Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans, sijil takaful atau polisi insurans mesti dikeluarkan di Malaysia oleh ahli penginsurans dalam mata wang Ringgit Malaysia.

Jadual 1 : Manfaat Dilindungi bagi Takaful Keluarga dan Insurans Hayat

Jadual 2 : Manfaat Dilindungi bagi Takaful Am dan Insurans Am

Manfaat takaful atau insurans yang tidak dilindungi di bawah sistem ini termasuk sijil takaful dan polisi insurans dalam mata wang asing dan tuntutan kerosakan kepada harta tidak ketara (intangible property). Salah satu contoh tuntutan kerosakan kepada harta tidak ketara ialah kehilangan keuntungan yang diinsuranskan di bawah sijil atau polisi Kerugian Turutan Kebakaran yang menyediakan insurans terhadap kehilangan keuntungan daripada gangguankepada aktiviti perniagaan akibat kerosakan kepada premis. Bahagian pelaburan dalam sijil atau polisi berkaitan pelaburan adalah tidak dilindungi, tetapi bahagian manfaat takaful dan insurans pelan atau polisi tersebut dilindungi di bawah sistem ini.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perlindungan manfaat takaful dan insurans, sila hubungi talian maklumat bebas tol PIDM 1-800-88-1266 atau layari laman sesawang PIDM di www.pidm.gov.my.

Sumber : PIDM/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 16/Ogos 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button