Pelan Perlindungan

Perlindungan Insurans Tidak Mencukupi?

Setiap orang mempunyai nilai yang tersendiri. Antara yang menjadi ukuran bagi nilai seseorang ialah keupayaannya untuk mencari rezeki. Hal ini penting kerana dengan rezeki tersebut, anda boleh menyara keperluan diri dan keluarga, secara tidak langsung juga membantu dalam menjana ekonomi negara. Cuba kirakan jumlah pendapatan yang boleh anda janakan dari sekarang sehingga lanjut usia apabila anda tidak boleh bekerja lagi.

Mudah sahaja kiraannya:-

Pendapatan bulanan x bilangan tahun anda bekerja = Jumlah pendapatan yang anda janakan

Masalah kewangan akan timbul sekiranya berlaku sesuatu musibah. Jika anda meninggal dunia atau hilang upaya untuk bekerja kerana sakit ataupun kemalangan, maka ini bermakna anda akan kehilangan puluhan, ratusan atau jutaan ringgit pendapatan pada masa hadapan. Anda memerlukan jaminan keselamatan atau pampasan kewangan apabila berlaku sesuatu bencana untuk menampung kehilangan pendapatan masa hadapan itu.

Insurans ialah perjanjian tanggungan yang dibuat oleh sesuatu badan (syarikat insurans) untuk menggantikan kerugian seseorang dengan bayaran premium tertentu. Sekiranya anda meninggal dunia, waris anda berhak mendapat pampasan tersebut.

  1. Perlindungan diri

Jaminan perlindungan untuk pendapatan masa hadapan ini masih banyak diabaikan oleh para pekerja. Bayangkan betapa ramai yang akan mati, sakit atau ditimpa kemalangan sehingga hilang upaya untuk bekerja.

  1. Perlindungan Perubatan

Salah satu bentuk jaminan lain ialah perlindungan daripada terpaksa berbelanja besar untuk sesuatu keperluan. Kadang-kadang perbelanjaan tersebut jauh melebihi keupayaan kewangan yang anda ada. Antaranya ialah perbelanjaan perubatan yang mencecah ratusan ribu ringgit. Bayangkan kos perubatan yang ditentukan oleh hospital swasta untuk rawatan sakit jantung, kanser dan penyakit-penyakit kronik yang lain.

  1. Perlindungan harta benda

Seterusnya ialah jaminan perlindungan untuk harta benda anda daripada kerugian yang besar. Rumah anda perlu dilindungi daripada dilelong oleh bank kerana anda meninggal dunia atau hilang upaya yang menyebabkan anda tidak dapat melunaskan bayaran ansuran rumah. Rumah juga perlu dilindungi daripada kebakaran dan bencana alam seperti banjir, gempa bumi, dan kalau lokasi rumah terletak di tepi laut, ditimpa tsunami. Kereta anda pula berisiko tinggi untuk terlibat dalam kemalangan. Sekurang-kurangnya anda perlu mempunyai perlindungan tuntutan ganti rugi kematian, kecederaan atau kos pembaikan kereta apabila terbabit dengan kemalangan

Kesimpulannya, insurans sangat penting untuk menjamin perlindungan kewangan untuk menampung musibah yang tidak boleh ditanggung oleh keluarga ataupun diri anda dengan kewangan peribadi yang ada.

Panduan Penting:

  • Musibah boleh berlaku tanpa disangka
  • Pendapatan masa hadapan anda perlu dilindungi
  • Anda memerlukan jaminan keselamatan daripada tuntutan kewangan yang besar

Sumber: Panduan Kewangan Peribadi dan Keluarga “Cukup Wang Hati Tenang untuk Semua” oleh Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahrir.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button