Pengurusan Hutang

Perkiraan Sukarela Membantu Menyelamatkan Individu Daripada Muflis

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah dilantik oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) sebagai Penama (Nominee) dalam usaha untuk membantu menyelamatkan individu daripada jatuh muflis melalui pelaksanaan Perkiraan Sukarela (Voluntary Arrangement / VA). Kewujudan VA merupakan sebahagian daripada pindaan yang dibuat dalam Akta Insolvensi 1967 (dahulu dikenali sebagai Akta Kebankrapan 1967) berkuat kuasa pada 6 Oktober 2017.

VA merupakan satu mekanisme penyelamat yang memberi peluang kepada penghutang untuk berunding dan merancang satu pelan pembayaran semula dengan semua penyedia kredit bagi mengelakkan tindakan undang-undang kebankrapan.

Sebagai peminjam, kebaikan VA antara lain adalah: –

  1. Mengelakkan stigma kebankrapan
  2. Bebas daripada kehilangan kelayakan dan ketidakupayaan sebagai seorang muflis yang diperuntukkan di bawah Akta Insolvensi 1967. Melalui VA, penghutang dibenarkan untuk mengembara ke luar negara, menjadi pengarah syarikat, menjalankan perniagaan dan kekal bekerja.
  3. Penghutang dilindungi di sisi perundangan melalui perjanjian antara penyedia kredit dan penghutang, sekiranya mereka mematuhi pelan ansuran seperti yang dipersetujui.

Dalam usaha untuk memberi penjelasan yang lebih terperinci berkaitan VA dan peranan utama AKPK dalam membantu individu yang berpotensi muflis, AKPK telah mengadakan satu sesi taklimat di Dewan Serbaguna, Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia barubaru ini. Taklimat disampaikan oleh wakil MdI mengenai lapan perubahan Dasar Rang Undang-Undang (RUU) Kebankrapan (Pindaan) 2016, sementara wakil AKPK memberi penjelasan tentang prosedur operasi VA.

Taklimat ini juga memberi penerangan yang lebih terperinci berkaitan mekanisme VA bagi membolehkan institusi atau organisasi berkaitan membantu penghutang yang terlibat untuk membuat permohonan VA. Taklimat dihadiri oleh Ketua Bahagian Kutipan Hutang, wakil-wakil dari institusi kewangan, penyedia kredit, agensi-agensi dan organisasi-organisasi yang berkaitan. Turut hadir adalah Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Y.Bhg. Datuk Abdul Rahman Putra Bin Dato’ Haji Taha dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Encik Azaddin Ngah Tasir.

Sumber: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button