Pengurusan Hutang

Perkiraan Sukarela – Mekanisme Penyelamat Bagi Mengelak Tindakan Undang-Undang Kebankrapan

Akta Insolvensi 1967 menyediakan Perkiraan Sukarela (VA) sebagai mekanisme penyelamat untuk membantu seseorang peminjam daripada dikenakan tindakan undang-undang kebankrapan.

Peminjam perlu memohon kepada mahkamah untuk memperoleh Perintah Sementara. Apabila Perintah Sementara dibenarkan, tindakan kebankrapan dan proses undang-undang lain tidak boleh dilaksanakan terhadap peminjam, melainkan setelah mendapat kebenaran mahkamah.

Peminjam, dengan kerjasama Penama, perlu menyediakan pelan pembayaran balik (cadangan peminjam) untuk membayar hutangnya. Pelan ini hendaklah dipatuhi oleh pihak penyedia kredit apabila diluluskan. Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah dilantik oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) sebagai Penama untuk membantu menyelamatkan individu daripada jatuh muflis melalui pelaksanaan VA.

Pelaksanaan

Cadangan yang telah diluluskan ini akan berkuat kuasa pada tarikh penyedia kredit meluluskan cadangan tersebut setelah perjumpaan dengan penyedia kredit dibuat. Penyedia kredit tidak dibenarkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap peminjam apabila VA telah dilaksanakan.

Kebaikan VA terhadap peminjam ialah:

  1. Mengelakkan stigma terhadap kebankrapan
  2. Bebas daripada kehilangan kelayakan dan ketidakupayaan sebagai seorang muflis yang diperuntukkan di bawah Akta Insolvensi 1967. Antaranya, peminjam dibenarkan untuk:
    • Keluar negara
    • Menjadi pengarah syarikat
    • Menjalankan perniagaan
    • Mengekalkan kerjaya / pekerjaan

Kegagalan Mematuhi VA

Sekiranya peminjam gagal mematuhi sebarang tanggungjawabnya di bawah VA, penyedia kredit boleh meneruskan tindakan untuk memfailkan petisyen kebankrapan terhadap peminjam tanpa sebarang notis.

Fi dan Bayaran Penama

Peminjam dikehendaki membayar yuran kepada Penama sebagaimana yang ditetapkan oleh Jabatan Insolvensi (Perkiraan Sukarela), Peraturan 2017 dan kos pentadbiran VA.

Kesalahan

Mana-mana pihak yang membuat pernyataan palsu dengan tujuan untuk memperoleh VA telah melakukan satu kesalahan. Seseorang yang disabitkan dengan kesalahan akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 2 tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 97/Mei 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button