Skip to toolbar
Pengguna

Perkara Yang Perlu Diketahui Mengenai Kedai Pajak Gadai

“ Kedai Pemegang Pajak Gadai Berlesen di Malaysia atau lebih dikenali sebagai Kedai Pajak telah berada di Malaysia sejak tahun 1871. Kini, terdapat lebih kurang 571 Kedai Pemegang Pajak Gadai Berlesen di Malaysia. – Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Pajak gadai menyediakan akses kepada pengguna untuk mendapatkan pinjaman dengan mudah, sekiranya mempunyai barangan berharga untuk dipajakkan. Memandangkan ramai yang menggunakan perkhidmatan Kedai Pajak, maklumat berikut perlu diambil tahu:

“ Pada tahun 2018, terdapat 4 juta pelanggan pajak gadai dengan jumlah pajak RM8.532 juta. – Berita Harian, 20 Jun 2019”

Kelemahan Pajak Gadai

  • Kadar faedah tinggi iaitu 2% sebulan atau 24% setahun, jauh melebihi kadar pasaran.
  • Barang kemas yang digadai, samada cincin, gelang atau rantai biasanya tidak ditimbang atau diukur. Banyak aduan diterima di Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di mana barang kemas yang digadai itu lebih ringgan atau pendek apabila ditebus. Terdapat aduan yang peniaga pajak gadai sudah kikis sedikit emas daripada barang itu.

FOMCA mencadangkan agar pemajak meminta pemegang pajak untuk merekodkan barangan yang digadai contohnya sebentuk cincin, seutas rantai dan yang paling penting menimbang berat dan mengukur panjang rantai emas tersebut dan meminta butir-butir tersebut dituliskan di atas resit sebelum memberikan barangan tersebut.

  • Andai peminjam gagal menebus dalam tempoh yang ditetapkan, pemegang pajak gadai boleh memiliki nilai gadaian yang kurang daripada RM200, tanpa melantik pelelong berlesen. Akta Pajak Gadai 1972 juga tidak memperuntukkan barang gadaian dipamerkan sewaktu lelongan awam dilakukan.

Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu)

Terdapat juga perkhidmatan pajak gadai yang dijalankan menggunakan konsep patuh syariah, juga dikenali sebagai Ar-Rahnu. Melalui sistem ini, perjanjian dikaitkan dengan sesuatu ganjaran dan tidak dikenakan faedah terhadap pinjaman. Menurut konsep ini juga, penerima gadaian akan memberi nilai gadaian yang sepatutnya dengan barang gadaian yang digadai oleh penggadai.

Perbezaan Pajak Emas di Kedai Pajak Gadai dan Institusi Perbankan

Terdapat juga institusi perbankan yang menyediakan perkhidmatan pajak gadai. Memajak di institusi perbankan mempunyai kelebihan berbanding di kedai pajak, memandangkan institusi perbankan disyaratkan untuk mengguna pakai prosedur yang ketat dalam penawaran produk dan perkhidmatan bagi melindungi pengguna. Di samping itu, keselamatan barangan yang dipajak juga lebih terjamin kerana premis institusi perbankan, lazimnya lebih selamat. Sekiranya sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku seperti rompakan ataupun kebakaran, nilai barangan kemas tersebut akan dipulangkan semula oleh pihak bank berbanding dengan kedai pajak gadai yang hanya bertanggungjawab untuk memulangkan lebihan pinjaman sebanyak 25% sahaja.

Sebarang pertanyaan, sila berhubung dengan Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui nombor 03-8000 8000 atau e-mel di alamat bkkk@kpkt.gov.my

Sumber: www.fomca.org.my/Edisi 113/Sept 2020

Artikel Berkaitan

Back to top button