Skip to toolbar
Akta dan PerundanganKad KreditPengurusan HutangPinjaman

Perkara Yang Perlu Dipertimbangkan Sebelum Menjadi Penjamin

Penjamin telah terikat dengan kontrak sah yang menyatakan mereka bertanggungjawab untuk  membayar hutang sekiranya peminjam gagal membuat bayaran. Adalah penting untuk penjamin memahami perkara ini sebelum bersetuju untuk menjamin sesuatu pinjaman. Bakal penjamin boleh mendapatkan nasihat daripada peguam, sekiranya mampu, untuk memahami tanggungjawab dan risiko yang perlu dihadapi daripada kontrak jaminan. Sesiapa pun boleh menjadi penjamin tetapi mestilah memenuhi keperluan undang-undang seperti:

  • Berumur 18 tahun ke atas
  • Tidak berada dalam keadaan muflis
  • Berfikiran waras dan mempunyai keupayaan mental agar dapat memahami dokumen jaminan
  • Sanggup menerima syarat tanpa tekanan daripada rakan sebaya

Perkara Yang Perlu Diteliti Sebagai Penjamin:

  • Kenal pasti tujuan pinjaman tersebut dilakukan

Bertanya kepada pihak peminjam mengenai tujuan pinjaman tersebut dilakukan. Tujuan pinjaman haruslah jelas agar anda tidak menjamin sesuatu yang sia-sia. Dapatkan maklumat lanjut mengenai keperluan mereka yang memerlukan penjamin untuk pinjaman yang dipohon. Ini untuk memastikan anda mengenal pasti peminjam tersebut mempunyai kemampuan untuk membayar balik pinjaman.

  • Pertimbangkan kemampuan anda untuk melunaskan pinjaman tersebut jika peminjam gagal menyelesaikannya

Sebelum anda bersedia untuk menjadi penjamin, anda perlu menganalisis kedudukan kewangan anda terlebih dahulu. Pastikan anda mampu menyelesaikan pinjaman berkenaan jika peminjam tersebut gagal melangsaikannya. Selain daripada tunggakan pinjaman, anda juga perlu menyelesaikan kos tambahan lain yang berkaitan.

  • Kaji kontrak dan perjanjian pinjaman

Anda perlu meneliti setiap perkataan yang digunakan di dalam dokumen tersebut. Dapatkan khidmat *nasihat guaman bebas untuk memahami risiko dan hak anda sebagai penjamin. Jangan turunkan tandatangan anda dengan terburu-buru melainkan anda benar-benar memahami setiap perkara di dalam dokumen perjanjian tersebut. Sediakan surat ganti rugi yang ditandatangani oleh peminjam sebagai langkah keselamatan. Dengan adanya surat ganti rugi, anda boleh mengambil tindakan mahkamah terhadap kerugian yang akan anda hadapi sebagai  penjamin.

*Nasihat Guaman Bebas: Usaha mendapatkan nasihat guaman bebas adalah untuk memastikan bahawa anda benar-benar faham akan sifat sebenar dokumen tersebut dan implikasi undang-undang terhadap penjamin. Contohnya hak-hak dan liabiliti di bawah sesuatu kontrak jaminan, terutamanya jika institusi kewangan menukar terma dan syarat semasa tempoh pinjaman tersebut. 

  • Jangan sesekali tandatangan dokumen pinjaman kosong

Jangan sesekali lakukan perkara ini. Bertegas dengan peminjam supaya anda diberi dokumen yang mempunyai maklumat pinjaman. Dokumen tersebut perlu menyatakan jumlah pinjaman, kadar faedah dan jangka masa kontrak dengan jelas.

  • Ketahui kesannya terhadap rekod kedudukan kredit anda

Anda perlu fikirkan kedudukan kredit anda yang mungkin akan terkesan dengan tindakan anda untuk menjadi penjamin. Apabila anda sudah menandatangani perjanjian tersebut, maka anda perlu bertanggungjawab dan menanggung beban untuk menyelesaikan hutang orang lain jika peminjam itu tidak menjalankan tanggungjawabnya.

Kesimpulannya

Keburukan menjadi penjamin adalah beban yang perlu anda pikul sekiranya peminjam tidak menyelesaikan hutangnya. Ini akan menjejaskan kedudukan kredit anda dan boleh menyukarkan anda dari segi kewangan. Risiko untuk kehilangan keistimewaan kredit anda adalah tinggi. Oleh itu, anda perlu berfikir dengan teliti sebelum bersetuju untuk menjadi penjamin. Jangan biarkan masa depan anda rosak bertanggungjawab.

Sumber:www.directlending.com.my/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 110/Jun 2019

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button