PenggunaTip dan Panduan

Perkara Yang Perlu Diketahui Berkaitan Wang Tak Dituntut

Bermula tahun 2020, pihak kerajaan melalui Jabatan Akauntan Negara Malaysia telah memperkenalkan portal yang membolehkan pengguna membuat semakan Wang Tak Dituntut (WTD) secara atas talian. Kini, pengguna hanya boleh menggunakan laman sesawang yang telah disediakan oleh pihak kerajaan untuk menyemak WTD. FOMCA juga telah menerima banyak panggilan daripada pengguna untuk mengetahui cara untuk menyemak WTD.

WTD merupakan sejumlah wang milik mana-mana individu atau syarikat sama ada dalam bentuk akaun simpanan, dividen, tuntutan insurans, bank draf atau sebagainya, dan tidak dituntut oleh pemiliknya untuk satu tempoh yang telah ditetapkan. Sehingga 31 Oktober 2019 yang lalu, jumlah serahan WTD yang diterima oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia adalah sebanyak RM10.862 bilion.

Apa itu Wang Tak Dituntut?

Terdapat tiga (3) kategori WTD:

  1. Wang yang perlu dibayar di sisi undang-undang kepada empunya tetapi tidak dibayar dalam satu tempoh masa tidak kurang dari satu (1) tahun.

Contoh di bawah kategori ini ialah:

    • gaji, upahan, bonus, komisen dan wang lain yang kena dibayar kepada kakitangan
    • dividen
    • keuntungan yang diisytiharkan untuk dibahagikan
    • tuntutan insurans yang telah diluluskan untuk bayaran
    • draf bank, cashier’s order dan dokumen lain yang mempunyai fungsi yang serupa di mana tempoh sah lakunya telah luput
    • simpanan tetap (tanpa arahan pembaharuan automatik) yang telah matang
    • cagaran dan deposit apabila tujuan wang itu dikutip telah tercapai
    • pemiutang pelbagai atau penghutang pelbagai berbaki kredit
  1. Wang dalam kredit sesuatu akaun yang telah tidak dikendalikan oleh empunya dengan apa cara sekalipun dalam satu tempoh masa tidak kurang dari tujuh (7) tahun.

Contoh di bawah kategori ini ialah:

    • akaun simpanan
    • akaun semasa
    • simpanan tetap (yang mempunyai arahan pembaharuan automatik)
  1. Wang dalam kredit sesuatu akaun dagangan yang telah tidak dikendalikan melalui apa-apa urus niaga dalam satu tempoh masa tidak kurang dari dua (2) tahun, seperti:
    • akaun pemiutang dagangan
    • akaun penghutang dagangan berbaki kredit

Cara Membuat Semakan Wang Tak Dituntut

Hanya individu dan syarikat/firma dibenarkan untuk membuat semakan WTD secara atas talian melalui nombor pengenalan diri dan nombor pendaftaran syarikat.

Pemohon boleh membuat semakan WTD secara atas talian dengan mengikuti langkah-langkah seperti berikut:

  1. Layari pautan portal https://egumis.anm.gov.my/
  2. Buat pendaftaran pengguna secara atas talian. Pengguna akan terima emel menyatakan kata laluan sementara untuk log masuk ke portal.
  3. Log masuk portal menggunakan kata laluan sementara yang diemel. Pengguna perlu menukar kata laluan baharu.
  4. Kemaskini maklumat pengguna.
  5. Klik pada “KLIK DI SINI UNTUK CARIAN WANG TAK DITUNTUT” untuk membuat semakan WTD melalui nombor pengenalan diri dan cetak maklumat WTD tersebut (jika ada).

Sekiranya pengguna tidak log masuk ke portal Electronic Government Unclaimed Money Information System (eGUMIS) setelah menerima kata laluan sementara melebihi 30 hari, akaun pengguna tersebut akan dinyahaktifkan secara automatik.

Semakan WTD atas talian boleh dibuat di portal rasmi eGUMIS di https://egumis.anm.gov.my/. Sistem tersebut boleh diakses terus di portal rasmi Jabatan Akauntan Negara Malaysia bermula 1 Januari 2020.

Tempoh masa bagi akaun pengguna eGUMIS

Tempoh aktif adalah 6 bulan sahaja daripada tarikh terakhir log masuk ke portal eGUMIS. Akaun pengguna akan dinyahaktif secara automatik dan pengguna perlu mendaftar sebagai pengguna baharu.

Senarai semak dokumen yang diperlukan eGUMIS

Bagi membuat permohonan tuntutan WTD, ada beberapa dokumen perlu dibawa bersama antaranya:

    • Borang UMA-7 yang lengkap diisi dan ditandatangani.
    • Salinan kad pengenalan (hadapan dan belakang) bagi warganegara/pasport pemohon yang disahkan oleh Notari Awam/Pegawai Konsulat Negara berkenaan bagi bukan warganegara.
    • Salinan cetakan carian WTD yang lengkap dengan nama dan nombor pengenalan empunya sama dengan maklumat pemohon daripada portal eGUMIS.
    • Dokumen asal (contoh: buku bank/sijil simpanan tetap dan lain-lain).
    • Surat pengesahan daripada syarikat yang membuat serahan WTD hendaklah disertakan jika dokumen asal tiada.
    • Salinan muka hadapan buku akaun/penyata bank pemohon yang aktif serta disahkan oleh pihak bank (bayaran akan dikreditkan terus ke dalam akaun)
    • Sekurang-kurangnya dua (2) daripada tiga (3) dokumen berikut:**
        1. Borang pembelian asal banker’s cheque/bank draf/ cashier’s order yang mempunyai cetakan bank yang jelas bagi maklumat transaksi tersebut.
        2. Banker’s cheque/bank draft/cashier’s order yang asal.
        3. Surat pengesahan daripada bank penyerah WTD kepada Pendaftar yang menyatakan maklumat pembeli dan penerima banker’s cheque/bank draft/cashier’s order mengikut format yang ditetapkan.

** Sekiranya individu yang ingin membuat permohonan tuntutan WTD bagi jenis Banker’s Cheque, Bank Draf, Demand Draf, Cashier’s Order.

Nota: Akaun tabung haji/Akaun pelaburan/Akaun pinjaman tidak dibenarkan

Di manakah pemohon boleh mengemukakan permohonan yang lengkap?

Permohonan yang lengkap dengan cetakan maklumat wang tak dituntut dan dokumen sokongan boleh dikemukakan secara pos (digalakkan secara Pos Berdaftar) atau melalui kaunter di kaunter Pendaftar Wang Tak Dituntut atau di manamana Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Negeri/Cawangan seperti di pautan portal berikut: http://www.anm.gov.my/index.php/direktori-ag/direktori-janm-negericawangan-bahagian-akaun-kementerian/maklumat-janmnegeri-dan-cawangan

Pejabat Pendaftar WTD

Jabatan Akauntan Negara Malaysia

Bahagian Pengurusan Wang Tak Dituntut

Aras 1, Perbendaharaan 2

Presint 2, 62594 Putrajaya,

Wilayah Persekutuan Putrajaya

Tel : 03-8000 8600

Waktu urusan :

Isnin – Khamis: 9.00 pg – 3.00 ptg

Jumaat : 9.00 pg – 12.30 tgh hari

Tutup : Sabtu, Ahad & Cuti Umum

Nota: Pendaftar mempunyai kuasa mutlak dan berhak meminta apa-apa dokumen tambahan walaupun pemohon telah menyertakan semua dokumen yang disenaraikan di atas bagi tujuan pembayaran balik WTD kepada pemohon.

Tiada sebarang caj dikenakan ke atas permohonan bayaran WTD dan bayaran serahan WTD adalah melalui Online Banking.

FOMCA ingin mengingatkan para pengguna bahawa Kementerian Kewangan Malaysia atau Pendaftar Wang Tak Dituntut tidak pernah melantik mana-mana individu/ firma/syarikat sebagai orang tengah atau ejen untuk urusan tuntutan bayaran balik WTD. Oleh itu, pastikan anda sentiasa berwaspada sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba memanipulasi WTD dengan mengenakan sebarang caj tambahan kepada anda.

Sumber: www.anm.gov.my/Edisi 114/Okt 2020

Artikel Berkaitan

Back to top button