Pelan PenyimpananPengurusan KewanganPrinsip SyariahTip dan Panduan

Perbankan Islam

Perbankan Islam ialah perbankan yang berlandaskan undang-undang Islam (Syariah). Antara prinsip-prinsip asas yang mendukungi perbankan Islam ialah perkongsian risiko antara pihak-pihak yang berurus niaga, jaminan keadilan untuk semua dan urus niaga berdasarkan aktiviti perniagaan sebenar. Prinsip-prinsip ini disokong oleh nilai-nilai teras perbankan Islam yang menggalakkan aktiviti yang memupuk keusahawanan dan perdagangan yang membawa manfaat kepada pembangunan kemasyarakatan. Sebarang kegiatan yang melibatkan unsur-unsur faedah (riba), perjudian (maisir) dan urus niaga spekulatif (gharar) adalah dilarang sama sekali.

Industri perbankan Islam di Malaysia telah wujud lebih daripada 30 tahun, dan kini terus berkembang pesat. Pada masa ini, Malaysia mempunyai 16 buah bank Islam1 yang beroperasi sepenuhnya dalam memenuhi permintaan masyarakat.

1 Ini merujuk kepada bank-bank Islam komersial

Prinsip Pematuhan Syariah

Aspek paling penting yang perlu diberi keutamaan dalam perbankan Islam ialah aspek pematuhan Syariah. Semua bank Islam dikehendaki menubuhkan Jawatankuasa Syariah bagi menasihati institusi tersebut berkenaan hal ehwal dan urusan yang berkaitan dengan Syariah. Hal ini bagi memastikan persekitaran operasi perniagaan bagi sesebuah bank Islam adalah sentiasa selari dan menepati kehendak Syariah.

Di peringkat kebangsaan pula, Majlis Penasihat Syariah (MPS), iaitu badan Syariah tertinggi yang ditubuhkan di Bank Negara Malaysia, berperanan untuk memastikan keseragaman dalam pendapat dan amalan yang dilaksanakan oleh semua bank Islam. Sebagai badan yang menjadi tempat rujukan dan penasihat kepada Bank Negara Malaysia berkenaan perkara Syariah, MPS juga bertanggungjawab dalam pengesahan semua produk baru yang dirujuk kepadanya bagi memastikan kepatuhan produk-produk tersebut dengan prinsip Syariah.

Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan 14 garis panduan kontrak-kontrak Syariah yang diguna pakai dalam perbankan Islam. Ini bertujuan untuk mentakrifkan ciri penting prinsip asas Syariah yang diguna pakai oleh bank-bank Islam, di samping untuk terus memperkukuh dan keyakinan orang ramai terhadap urus niaga kewangan Islam.

Konsep Syariah yang utama dalam perbankan Islam

  1. Murabahah: Kontrak jual beli yang melibatkan harga kos aset dan kadar keuntungan dinyatakan dengan jelas kepada pembeli.
  2. Istisna’: Kontrak jual beli secara tempahan bagi sesuatu produk dengan spesifikasi tertentu dan dengan kaedah penyerahan dan pembayaran tertentu (sama ada tunai atau bertangguh).
  3. Ijarah: Kontrak sewaan yang melibatkan faedah / manfaat daripada sesuatu aset dengan bayaran tertentu dalam tempoh yang dipersetujui.
  4. Musyarakah: Kontrak perkongsian yang melibatkan persetujuan bersama oleh rakan niaga untuk berkongsi sebarang keuntungan atau kerugian yang terhasil.
  5. Mudarabah: Kontrak perkongsian yang melibatkan persetujuan Antara pelabur dan pengurus dana untuk berkongsi untung dengan nisbah perkongsian yang tertentu. Manakala kerugian akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pelabur.
  6. Wakalah: Kontrak yang melibatkan perlantikan wakil / ejen untuk melaksanakan sesuatu urus niaga, dan sebagai balasan, wakil akan menerima upah bagi perkhidmatan tersebut.
  7. Wadiah: Kontrak yang melibatkan menyimpan sesuatu barang atau harta sebagai amanah.
  8. Kafalah: Kontrak yang melibatkan sebarang bentuk jaminan yang diberikan oleh pemberi / penanggung jaminan kepada pihak ketiga atas kewajipan yang harus ditunaikan pihak yang ditanggung / dijamin.
  9. Tawarruq: Konsep ini melibatkan pembelian sesuatu barang dengan harga tangguh, kemudian menjualnya kepada pihak ketiga bagi memperoleh wang tunai.
  10. Hibah: Pemberian hadiah secara sukarela sebagai balasan kepada manfaat yang diterima.
  11. Qard: Kontrak yang melibatkan pemberian harta kepada pihak yang memanfaatkan harta tersebut dan dikembalikan gantian yang sama jenis dengannya.
  12. Wa’d: Konsep yang melibatkan janji untuk melaksanakan sesuatu.
  13. Rahnu: Kontrak yang melibatkan gadaian aset yang bermaksud pinjaman wang dengan menyerahkan barang sebagai cagaran untuk tempoh tertentu.
  14. Bai’ Al-Sarf: Kontrak yang melibatkan jual beli mata wang dengan mata wang sama ada sama  jenis atau berlainan jenis.
Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 71/Mac 2016

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button