Pelan PenyimpananPenggunaPengurusan Kewangan

Perbankan Islam

“Aktiviti perbankan Islam berlandaskan prinsip Islam yang melarang pembayaran dan penerimaan faedah atau riba serta menggalakkan perkongsian untung didalam amalan perbankan”

Apakah perbankan Islam?

Perbankan Islam ialah perbankan yang berlandaskan undang-undang Islam (syariah), dan ia adalah salah satu aspek dalam fiqh muamalat (peraturan Islam dalam transaksi). Semua peraturan dan amalan dalam fiqh muamalat bersumberkan Al-Quran, Al-Sunnah dan sumber undang-undang Islam sekunder yang lain seperti kesepakatan pendapat oleh ulama mujtahid tentang sesuatu hukum Syariah (ijma), menyamakan perkara baru yang tiada nas secara analogi (qiyas) dan hasil usaha daripada para mujtahid dalam merumuskan sesuatu hukum dan nilai melalui kaedah istinbat (ijtihad).

Aktiviti perbankan Islam berlandaskan prinsip Islam yang melarang pembayaran dan penerimaan faedah atau riba serta menggalakkan perkongsian untung didalam amalan perbankan.

Adakah perbankan Islam hanya untuk orang Islam sahaja?

Tidak. Perbankan Islam adalah terbuka kepada semua individu tanpa mengira kepercayaan agama mereka.

Apakah perbezaan di antara perbankan Islam dan konvensional?

Perbezaan utama di antara perbankan Islam dan perbankan konvensional ialah perbankan Islam mesti berlandaskan Syariah. Perbankan Islam juga mesti mengelakkan aktiviti seperti riba, gharar (ketidakpastian yang berlebihan), perjudian dan penipuan. Sebagai contoh, di dalam kes pembiayaan, sebagai ganti kepada caj faedah yang dikenakan ke atas pembiayaan yang diberikan, institusi perbankan Islam sebaliknya menyediakan pembiayaan berdasarkan kontrak murabahah atau jual beli; atau musyarakah atau perkongsian untung dan rugi.

Sebagai pendeposit, bagaimanakah saya memperoleh pulangan memandangkan perbankan Islam tidak membayar faedah ke atas deposit?

Perbankan Islam adalah berlandaskan prinsip perkongsian untung di antara bank dan pendeposit. Perolehan keuntungan daripada aktiviti perbankan Islam seperti pembiayaan dan pelaburan akan dikongsi di antara bank dan pendeposit berdasarkan nisbah perkongsian untung yang telah dipersetujui dan dibayar dalam bentuk dividen kepada pendeposit. Jumlah dividen yang diberi bergantung kepada jumlah keuntungan yang dihasilkan daripada operasi bank berkenaan. Bank juga dibenarkan untuk memberi hibah (ganjaran) kepada pendeposit sekiranya ia bersesuaian.

Di manakah boleh saya mendapatkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam?

Anda boleh mendapatkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam di bank-bank yang mempamerkan logo perbankan Islam seperti yang ditunjukkan di bawah:

Untuk maklumat terkini mengenai senarai bank-bank yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam, sila lawati laman sesawang Bank Negara Malaysia www.bnm.gov.my.

Adakah operasi bank-bank Skim Perbankan Islam (SPI) mematuhi kehendak Syariah sepenuhnya?

Ya, operasi bank-bank SPI memenuhi kehendak Syariah kerana semua produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh bank-bank SPI mesti mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Jawatankuasa Syariah bank-bank berkenaan. BNM telah juga menerbitkan satu garis panduan kepada bank-bank SPI tentang tatacara pengasingan operasi perbankan Islam daripada operasi perbankan konvensional.

Adakah bank-bank SPI dibenarkan untuk memindahkan baki kredit akaun perbankan Islam ke akaun konvensional?

Di atas permintaan pelanggan, bank-bank SPI boleh memindahkan dana daripada akaun perbankan Islam kepada akaun konvensional. Walau bagaimanapun, pemindahan dana daripada akaun konvensional ke akaun perbankan Islam terhad kepada bahagian prinsipal asal sahaja. Sebarang elemen faedah tidak dibenarkan untuk dipindahkan ke akaun perbankan Islam.

Di manakah boleh saya mengemukakan aduan sekiranya saya tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh bank Islam atau bank SPI?

Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang telah diberikan oleh bank Islam atau bank SPI, anda boleh mengemukakan aduan rasmi kepada Unit Aduan bank berkenaan. Maklumat tentang Unit Aduan bank anda boleh diperolehi daripada institusi anda atau laman sesawang Bank Negara Malaysia www.bnm.gov.my.

Sekiranya anda masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi oleh bank berkenaan, anda boleh mengemukakan aduan tersebut ke Bank Negara Malaysia melalui Laman Informasi Nasihat dan Khidmat BNMLINK atau Pusat Perhubungan TELELINK yang boleh dihubungi sama ada menerusi telefon, faks, SMS atau surat seperti berikut:

Pengarah
Laman Informasi Nasihat dan Khidmat
Bank Negara Malaysia
Peti Surat 10922
50929 Kuala Lumpur
Tel      : 1-300-88-5465 (LINK)
Faks    : 03-21741515
E-mel  : bnmtelelink@bnm.gov.my
SMS     : 15888

Perbankan Islam adalah berlandaskan prinsip perkongsian untung di antara bank dan pendeposit

Jika anda ingin membincangkan aduan anda dengan pegawai Bank Negara Malaysia, anda boleh melawati BNMLINK di:

Tingkat Bawah, Blok D
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato’ Onn
50480 Kuala Lumpur

Anda juga boleh melawati BNMLINK di cawangan Bank Negara Malaysia di Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu. Alamat cawangan tersebut boleh di dapati di laman sesawang Bank Negara Malaysia www.bnm.gov.my.

Di samping itu juga, sekiranya anda mempunyai aduan, pertikaian atau tuntutan yang tidak dapat diselesaikan dengan institusi perbankan anda, sila rujuk kepada Biro Pengantaraan Kewangan (BPK) yang menyediakan perkhidmatan secara percuma. BPK mempunyai bidang kuasa untuk mengendalikan aduan, pertikaian atau tuntutan yang melibatkan kerugian kewangan, amaun yang dituntut tidak boleh melebihi RM100,000 (kecuali bagi kes penipuan yang melibatkan instrumen pembayaran, kad kredit, kad caj, kad ATM dan cek yang melibatkan amaun tidak melebihi RM25,000). Alamat surat-menyurat BPK adalah seperti berikut:

Biro Pengantaraan Kewangan
Tingkat 25, Dataran Kewangan Darul Takaful
No. 4, Jalan Sultan Sulaiman
50000 Kuala Lumpur.
Telefon   : 03-22722811
Faksimili : 03-22745752
E-mel      : enquiry@fmb.org.my

Maklumat lanjut tentang jenis aduan yang dikendalikan oleh BPK boleh didapati di laman sesawang www.fmb.org.my

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 10/Februari 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button