PenggunaPerangkap Kewangan

Perbankan Internet: Nama Pengguna, Kata Laluan dan Nombor TAC Terjejas

Cik Z, seorang pramugari, telah memohon kemudahan perbankan dalam talian daripada Bank BB sebelum beliau bertolak ke Dubai. Pihak Bank BB telah menerangkan kepada beliau langkah-langkah dan prosedur perbankan dalam talian, serta kandungan terma dan syarat sebelum beliau mendaftar untuk mendapatkan kemudahan ini dengan bank.

Apabila Cik Z pulang dari Dubai, beliau cuba mengeluarkan wang tunai daripada beberapa mesin ATM yang terletak di Bukit Bintang, namun transaksi tersebut gagal. Apabila beliau membuat semakan terhadap baki akaunnya, beliau mendapati baki dalam akaun adalah tidak benar. Cik Z menghubungi Bank BB untuk mendapatkan penjelasan mengenai pencanggahan dalam baki akaun beliau.

Keesokan harinya, Cik Z pergi ke Bank BB untuk melaporkan kehilangan wang daripada akaunnya. Beliau telah dimaklumkan oleh pihak Bank BB bahawa wang dalam akaun beliau telah dipindahkan melalui perbankan internet ke dalam akaun pihak ke-3 sebanyak dua transaksi berjumlah RM5,000.00 dan RM1,600.00. Beliau mempertikai urus niaga tersebut kerana ia telah dilakukan tanpa pengetahuan dan persetujuan beliau.

Pihak Bank BB meminta penjelasan daripada Cik Z mengenai Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang dihantar oleh pihak Bank kepada telefon mudah alih Cik Z. Cik Z menyatakan bahawa beliau telah mengeluarkan kad sim tempatan beliau dan menggantikannya dengan kad sim di Dubai. Oleh itu, agak mustahil beliau boleh menerima TAC yang telah dihantar kepada kad sim tempatan beliau bagi menyelesaikan transaksi itu. Cik Z mendakwa bahawa beliau tidak berada di Malaysia pada masa transaksi itu berlaku.

Cik Z memaklumkan bahawa beliau tidak pernah mendedahkan nama pengguna dan kata laluan beliau kepada sesiapa bagi mengakses akaun perbankan internet beliau. Beliau turut menafikan yang beliau menerima atau memberi respon kepada e-mel phishing yang meminta beliau mengemas kini maklumat akaun.

Penyiasatan daripada pihak Bank BB mendedahkan tidak terdapat kegagalan sistem atau pelanggaran keselamatan terhadap laman sesawang mereka semasa urus niaga tersebut. Transaksi yang dipertikai telah berjaya dilakukan dengan nama pengguna Cik Z yang sah dan kata laluan yang hanya diketahui oleh beliau. Bank BB juga menerima laporan pengesahan daripada syarikat Telekomunikasi bahawa TAC telah berjaya dihantar kepada nombor telefon bimbit Cik Z yang digunakan di Malaysia.

Keputusan carian Bank BB pada Protokol Internet (IP) mendedahkan bahawa alamat IP yang digunakan untuk pemindahan dana terhadap kedua-dua transaksi oleh pihak ketiga tersebut menggunakan alamat tempatan.

Bank BB menjelaskan bahawa kes ini bukan merupakan satu penipuan atau kes phishing yang mengaitkan nama pengguna dan kata laluan atau pemanggil palsu atau penipuan e-mel atau klik pada mana-mana URL atau pautan melalui e-mel kononnya daripada bank.

Bank BB juga mempercayai bahawa nama pengguna dan kata laluan telah terjelas menyebabkan maklumat peribadi Cik Z telah digunakan oleh seseorang yang beliau kenali atau tidak dikenali. Berdasarkan pertikaian di atas, pihak Bank BB telah menolak tuntutan Cik Z.

Bagi mengakses akaun perbankan internet, terdapat tiga perkara yang perlu dirahsiakan, iaitu nama pengguna, kata laluan dan pengesahan TAC. Kewajipan pelanggan adalah untuk memastikan dan mematuhi segala langkah keselamatan yang ditetapkan oleh bank.

Dalam hal ini, Biro Pengantaraan Kewangan (FMB) berpendapat bahawa nama pengguna dan kata laluan Cik Z telah terdedah. Maka FMB mengekalkan keputusan bank BB.

Sumber: Buletin Ringgit, Biro Pengantaraan Kewangan (FMB)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button