Pelan PenyimpananPenggunaPengurusan Kewangan

Perbankan Internet (Bahagian 2)

Sambungan keluaran Januari 2011…

Tindakan yang patut anda lakukan untuk menjamin keselamatan perbankan Internet

Mendaftar untuk menggunakan kaedah pengesahan yang lebih baik 

Daftar untuk menggunakan kaedah pengesahan pelbagai faktor, iaitu pengesahan pelbagai peringkat akan dilakukan untuk melindungi transaksi anda. Sesetengah institusi perbankan menggunakan TAC (Transaction Authorisation Code) yang dihantar ke nombor telefon mudah alih pengguna atau alat ‘token’ yang memaparkan kod khas dan perlu dimasukkan pengguna dalam perbankan Internet sebelum melakukan transaksi berisiko tinggi.

Lindungi komputer peribadi anda daripada penceroboh, virus dan program perosak

  • Pasang dinding keselamatan (“firewall”) peribadi dan program penentang virus yang baik untuk mengelakkan komputer peribadi anda daripada diserang oleh virus, pengintip dan program perosak seperti “Trojan Horse”.
  • Pastikan program penentang virus dan penentang pengintip anda adalah yang terkini dan sentiasa dikemas kini.
  • Pastikan sistem kendalian dan pelayar sesawang anda adalah yang terkini dan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang terbaru untuk melindunginya daripada dieksploitasi.
  • Jadikan pelayar anda berupaya untuk menolak kawalan ActiveX bagi mengurangkan kebarangkalian aplikasi pengintip dipasang ke dalam komputer anda.

Berhati-hati apabila memuat turun perisian

  • Perikasa program atau lampiran yang diterima dengan program penentang virus yang terkini untuk memastikan ia tidak mengandungi virus yang boleh menyerang komputer anda.
  • Jangan sesekali memuat turun sebarang fail atau perisian daripada laman web atau sumber yang kurang anda kenali atau klik pada hiperpautan yang dihantar oleh seseorang yang tidak anda ketahui. Pembukaan fail, perisian atau hiperpautan sedemikian boleh mendedahkan sistem anda kepada virus komputer yang boleh mencuri maklumat peribadi anda, termasuk kata laluan atau nombor PIN anda.

Sentiasa ingat untuk log keluar

  • Apabila selesai melaksanakan transaksi perbankan Internet, anda hendaklah terus log keluar.
  • Padamkan peti ingatan dan sejarah transaksi selepas log keluar untuk menghapuskan sebarang maklumat tentang akaun anda. Ini adalah penting untuk mengelakkan maklumat yang tersimpan daripada diambil oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
  • Elakkan meninggalkan komputer yang masih beroperasi tanpa pengawasan.

Langkah-langkah lain

  • Jangan biarkan tetingkap pelayar yang lain dalam keadaan terbuka semasa membuat transaksi perbankan dalam talian.
  • Elakkan mengguna komputer yang dikongsi bersama atau milik awam seperti di kafe Internet untuk mengendalikan transaksi perbankan Internet anda.
  • Elakkan melakukan transaksi perbankan Internet melalui rangkaian bebas wayar awam percuma (“free public wi-fi/hotspots”) walaupun anda menggunakan computer peribadi sendiri.
  • Mengenyahaktifkan ciri-ciri perkongsian fail, fungsi “auto complete” di pelayar sesawang dan mesin pencetak dalam sistem kendalian anda.
  • Jika anda mempunyai sebarang persoalan tentang keselamatan akaun Internet anda, hubungilah institusi perbankan anda untuk membincangkan isu tersebut, termasuk cara penyelesaiannya.

KERAHSIAAN MAKLUMAT PERIBADI ANDA

Institusi perbankan dan anda mempunyai peranan dalam memastikan kerahsiaan terjamin. Keselamatan maklumat peribadi dan kewangan anda adalah perkara yang amat penting apabila mengendalikan transaksi perbankan melalui Internet. Kerahsiaan maklumat peribadi pengguna adalah satu unsur penting kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap sistem perbankan.

Pengguna boleh menghubungi Cyber999 (MyCERT-Malaysia Computer Emergency Response Team) melalui talian rasmi ataupun SMS untuk melaporkan ancaman keselamatan internet:

Talian Rasmi Cyber999
9:00 AM – 6:00 PM : 1-300-88-2999
24×7 (Kecemasan): +6019 – 266 5850

Sistem Pesanan Ringkas (SMS)
Format SMS untuk di hantar ke 15888:
CYBER999 REPORT <EMAIL ANDA> <ADUAN>
to 15888

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 10/Februari 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button