Pelan PenyimpananPenggunaPengurusan Kewangan

Perbankan Internet (Bahagian 1)

Kenapa Perbankan Internet?

  • Tidak perlu beratur untuk urusan.
  • Urusan perbankan 24 jam.
  • Berurusan dari rumah, luar negara, tepi pantai dan di mana saja.
  • Caj yang lebih murah.

Perbankan Internet membolehkan anda menguruskan hal ehwal kewangan anda dari rumah, tempat kerja atau di mana-mana sahaja di serata dunia.

Pada masa ini, hanya institusi-institusi perbankan yang berlesen sahaja yang dibenarkan untuk menawarkan perkhidmatan perbankan Internet di Malaysia. Senarai institusi-institusi perbankan berlesen yang telah diluluskan oleh Bank Negara Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan perbankan Internet boleh diperolehi di laman sesawang Bank Negara Malaysia, www.bnm.gov.my.

Perkhidmatan Perbankan Yang Ditawarkan Dalam Talian

Perkhidmatan yang disediakan bergantung kepada institusi perbankan. Perkhidmatan utama yang biasanya ditawarkan melalui perbankan Internet ialah:

  • Menyemak baki akaun dan penyata akaun
  • Mengemukakan permohonan untuk akaun, kad kredit atau kemudahan pinjaman baru
  • Membuat pelaburan deposit tetap
  • Memindah dana di antara akaun (milik sendiri dan pihak ketiga)
  • Memindah dana ke dalam akaun ASB (Amanah Saham Bumiputera)
  • Membayar bil, kad kredit, pinjaman, premium insurans dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh badan kerajaan/swasta
  • Membuat, meminda dan membatalkan arahan tetap
  • Memohon buku cek dan penyata akaun
  • Menyemak status cek dan memohon arahan menghentikan pembayaran cek
  • Memohon draf bank dan pemindahan telegraf
  • Membeli kredit pra-bayar telefon bimbit

Sebelum Anda Mendaftar

Anda dinasihatkan supaya membaca dan memahami terma dan syarat-syarat perkhidmatan sebelum mendaftar untuk menggunakan perkhidmatan perbankan Internet. Anda juga harus berbincang dengan institusi perbankan anda mengenai risiko yang berkaitan dengan perbankan Internet dan memahami tanggungjawab serta hak-hak anda sepenuhnya.

Adakah Perkhidmatan Perbankan Internet Selamat Digunakan?

Seperti sistem-sistem lain, penggunaan perbankan Internet turut mengandungi risiko. Walau bagaimanapun, tahap risiko telah diminimumkan melalui pemeriksaan sistem keselamatan secara berterusan oleh institusi perbankan dan sikap berhati-hati anda apabila menggunakan perkhidmatan perbankan Internet.

  1. Tindakan institusi perbankan untuk menjamin keselamatan Institusi perbankan dikehendaki memastikan sistem perbankan Internet selamat digunakan oleh pengguna. Tambahan pula, institusi perbankan yang menawarkan perbankan Internet juga dikehendaki mematuhi garis panduan minimum yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia.
  2. Tindakan yang patut anda lakukan untuk menjamin keselamatan perbankan Internet

ID log masuk dan kata laluan atau nombor PIN

LAKUKAN

  • Hafal kata laluan dan nombor PIN dan jangan menulisnya di mana-mana
  • Sentiasa menukar kata laluan atau nombor PIN
  • Gunakan kata laluan yang mempunyai kombinasi huruf kecil, huruf besar dan nombor.
  • Berhati-hati menggunakan pautan di e-mel, “instant message”, atau “chat” untuk ke laman sesawang bank jika anda mencurigai kesahihan atau tidak mengenali pengirim mesej tersebut.
  • Berusaha untuk menelefon pihak bank atau menaip alamat laman sesawang bank terbabit di pelayar sesawang.
  • Berhati-hati dengan panggilan telefon daripada penjenayah yang mungkin juga kelihatan seperti panggilan rasmi daripada pihak bank kerana penjenayah menyalah guna teknologi “Voice Over IP” untuk mengelirukan pengguna bagi mendapatkan maklumat sulit.
  • Tukar kata laluan atau nombor PIN anda dengan serta-merta dan menghubungi institusi perbankan anda jika anda mengesyaki adanya transaksi yang tidak dibenarkan ke atas akaun anda atau terdapat pihak lain yang mungkin mengetahui kata laluan atau nombor PIN anda.
  • Sentiasa menyemak butir-butir sejarah transaksi dan penyata anda untuk memastikan tiada transaksi yang tidak dibenarkan serta tiada tambahan kepada senarai penerima bayaran yang berdaftar.

JANGAN

  • Hantar maklumat peribadi anda terutamanya kata laluan atau nombor PIN melalui e-mel biasa, sistem pesanan ringkas (SMS), “pop-up message” mahupun melalui mana-mana aplikasi “Instant Messages” (e.g.Yahoo Messenger, Facebook).
  • Menyimpan ID log masuk dan kata laluan atau nombor PIN anda dalam komputer ataupun telefon bimbit.
  • Mengguna kata laluan yang mudah diteka seperti nama atau tarikh lahir.
  • Melayan sebarang permintaan untuk mendapatkan ID log masuk dan kata laluan, nombor PIN atau butiran akaun perbankan anda melalui telefon, faks, e-mel ataupun SMS, walaupun ia kelihatan seperti urusan rasmi atau penting kerana institusi perbankan tidak akan meminta maklumat perbankan daripada pelanggan melalui cara tersebut.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 9/Januari 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button