PenggunaPengurusan Kewangan

Perbankan Ikut Syariah Lindungi Hak Pelanggan

Perbankan Islam adalah perbankan yang dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang berasaskan kepada prinsip syariah (hukum Islam) yang mengharamkan riba (pengumpulan dan pembayaran faedah), usury (tindakan atau amalan meminjamkan wang pada kadar faedah yang amat tinggi), perdagangan yang mempunyai risiko kewangan (opsyen dan pasaran hadapan) dan usaha niaga yang haram.

Tujuan perbankan Islam adalah sama seperti perbankan konvensional. Bezanya, operasi perbankan Islam menjalankan transaksi mengikut peraturan syariah yang dikenali Fiqh al-Muamalat.

Prinsip asas perbankan Islam adalah perkongsian untung dan rugi serta larangan riba. Antara konsep Islam yang biasa digunakan dalam perbankan Islam adalah perkongsian (mudharabah), simpanan (wadi’ah), perkongsian untung rugi (musyakarah), perjanjian sewa beli (murabahah) dan pajakan (ijarah).

Perbankan Islam di Malaysia dipantau oleh Majlis Penasihat Syariah yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia. Di samping itu, perbankan Islam dan perbankan konvensional yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam perlu menubuhkan Jawatankuasa penasihat syariah masing-masing atau melantik perunding penasihat.

Penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk memastikan bahawa operasi, kegiatan dan produk bank mematuhi prinsip syariah. Di sebalik tanggapan sesetengah orang, perbankan Islam sebenarnya untuk semua orang tanpa mengira agama mereka.

Asas untuk meminjam

Apabila anda memohon kad kredit, pinjaman peribadi atau pinjaman lain, institusi kewangan akan menilai sama ada anda mempunyai risiko kredit yang baik ataupun tidak.

Ketika membuat penilaian risiko kredit, institusi kewangan berkenaan akan mengambil kira keupayaan peminjam untuk memenuhi kewajipan pembayaran balik.

Penilaian risiko ini juga akan menentukan kadar faedah dan kos lain untuk pinjaman itu. Keupayaan untuk mendapat kelulusan pinjaman biasanya bergantung pada faktor asas seperti berikut:-

Tiga faktor asas meminjam

1) Tujuan pinjaman

Pemberi pinjaman ingin mengetahui apa tujuan sebenar sesuatu pinjaman bagi menilai risiko yang terbabit. Jenis pinjaman akan dipadankan dengan tujuan pinjaman. Jika anda membeli rumah, maka pinjaman perumahan akan ditawarkan. Pinjaman sewa beli pula akan diberikan untuk pembelian kereta. Jika tujuan pinjaman adalah untuk sesuatu yang tidak produktif atau berunsurkan spekulasi, mungkin anda akan ditawarkan pinjaman peribadi atau “overdraf”. Tujuan pinjaman serta jenis pinjaman, sama ada bercagar ataupun tidak, akan menentukan kadar faedah dan tempoh pinjaman anda.

2) Keupayaan membayar balik

Keupayaan anda untuk membayar balik pinjaman adalah penting. Institusi kewangan akan menilai sama ada anda mempunyai lebihan pendapatan atau simpanan tunai untuk menanggung komitmen kewangan yang baru.Mereka juga akan memastikan anda mempunyai pendapatan yang stabil atau pekerjaan tetap. Kedudukan aliran tunai anda juga akan dinilai dengan terperinci. Petunjuk utama bagi menilai keupayaan pembayaran anda adalah dengan mengetahui nisbah hutang kepada pendapatan anda.

3) Sejarah pembayaran

Rekod pembayaran hutang terdahulu atau semasa akan dinilai untuk mengetahui perilaku anda sebagai seorang pembayar. Jika anda mempunyai rekod yang tidak memuaskan, maka peluang untuk mendapat pinjaman baru mungkin tipis.

Sumber : AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 22/Februari 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button