Pelan PenyimpananPengurusan Kewangan

Perancangan Untuk Menyimpan Wang

Kenaikan harga rumah, kos sara hidup dan banyak lagi kos lain yang perlu ditanggung oleh kebanyakan orang menyebabkan orang ramai semakin sukar untuk membuat simpanan setiap bulan.

Namun, perkara tersebut hanyalah faktor luaran yang tidak boleh dikawal oleh individu. Sebaliknya, perkara yang perlu dilakukan adalah fokus kepada perkara yang boleh dikawal.

Tambah Pendapatan, Kurang Perbelanjaan

Perkara asas dalam meningkatkan pengurusan kewangan adalah dengan menambah pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan. Apabila anda gagal menyimpan 10% setiap bulan daripada jumlah pendapatan yang diterima, lakukan pekerjaan sampingan yang boleh membantu meningkatkan pendapatan.

Jika masih sukar untuk menyimpan 10% setiap bulan, kurangkan perbelanjaan yang tidak penting serta mahal. Simpanan 10% kelihatan kecil tetapi tidak semua orang mampu melakukannya.

Gaya Hidup Sederhana

Salah satu punca simpanan sukar dilakukan adalah kerana gaya hidup yang melibatkan perbelanjaan yang tinggi. Semak semula aktiviti yang anda lakukan pada hujung minggu dan buat pengiraan kos yang terlibat sama ada kos kecil atau besar.

Jika anda menonton wayang dengan harga tiket RM11.00, anda perlu tambah kos sampingan lain seperti petrol, tol, makan, minum dan lain-lain lagi. Dengan hanya melakukan satu aktiviti kecil iaitu menonton wayang, anda mungkin terpaksa mengeluarkan kos perbelanjaan sebanyak RM50.00.

Hutang Penting

Bagi golongan yang baharu bekerja, mereka menjadi sasaran utama untuk melakukan hutang seperti kereta, kad kredit, pinjaman peribadi dan rumah. Setiap jenis hutang tersebut mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri.

Oleh itu, pastikan anda fokus kepada hutang yang penting dahulu sebelum membuat keputusan. Pada masa yang sama, mohon hutang dengan kadar mengikut kemampuan anda sahaja.

Simpanan Paksa

Tidak semua orang mampu untuk melakukan simpanan secara tetap setiap bulan. Oleh itu, bagi individu muslim, anda juga boleh membuat simpanan paksa dengan menyimpan dalam Tabung Haji melalui potongan gaji atau pembiayaan Amanah Saham setiap bulan, bagi semua individu.

Cara ini lebih efektif bagi golongan yang tidak mempunyai disiplin menyimpan yang tinggi. Anda tidak perlu risau lagi tentang simpanan apabila menerima gaji setiap bulan kerana jumlah yang diterima adalah jumlah bersih selepas melakukan simpanan.

Insurans / Takaful Simpanan

Mengambil polisi insurans / sijil takaful dengan kadar berlebihan juga menyebabkan anda semakin sukar untuk membuat simpanan. Apabila jumlah caruman melebihi 10% daripada pendapatan, simpanan menjadi lebih sukar.

Walaupun fungsi utama insurans / takaful adalah untuk perlindungan, anda masih boleh mendapat manfaat melalui simpanan yang terkumpul. Namun, ini tidak bermakna anda tidak perlu membuat simpanan apabila sudah mempunyai pelan insurans / takaful.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 103/November 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button