Skip to toolbar
Pelan PelaburanPelan Penyimpanan

Perancangan Persaraan Untuk Golongan Muda Skim – Persaraan Swasta

 

Perbincangan tentang persaraan bukanlah isu yang popular dalam kalangan generasi muda masa kini. Mereka berasa sukar untuk merancang lima tahun ke hadapan, apatah lagi untuk 50 tahun yang akan datang.

Menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara menggunakan secara purata RM150,000 simpanan KWSP dalam masa tiga hingga lima tahun pertama persaraan mereka. Melainkan anda yakin anda boleh memiliki jutaan ringgit pada umur 60 tahun, adalah lebih baik untuk melihat alternatif yang dapat menampung simpanan KWSP anda.

1. Insentif Belia Skim Persaraan Swasta (PRS)

Warganegara yang berusia antara 20-30 tahun adalah layak untuk menerima sekali bayaran sebanyak RM500 daripada kerajaan ke dalam akaun PRS. Apa yang anda perlu lakukan adalah mencarum sebanyak RM1,000 ke dalam akaun PRS dalam tempoh setahun. Memandangkan insentif ini hanya sah sehingga penghujung tahun 2018 (atau anda mencecah umur 31 tahun), maka anda mungkin perlu bertindak segera.

2. Pilihan Pelaburan Fleksibel

Salah satu kelebihan PRS ialah ia bersifat fleksibel untuk memenuhi pelbagai tahap risiko. PRS membenarkan pelabur untuk melabur dalam dana yang sesuai dengan tahap risiko yang diterima. Bagi pelabur yang memerlukan pelaburan syariah, terdapat pelbagai pelaburan Islamik dengan risiko yang sesuai. Ini menjadikan PRS sangat berpatutan dan bersifat fleksibel. Anda memiliki kebebasan masa untuk melabur, jumlah untuk dicarum dan anda boleh melabur dalam pelbagai dana pada sesuatu masa yang sama.

3. Pengecualian Cukai

Satu lagi tawaran menarik daripada PRS adalah pengecualian cukai sehingga RM3,000 setiap tahun bagi 10 tahun pertama, ditambah lagi pengecualian cukai untuk KWSP. Sebagai contoh, sekiranya anda termasuk dalam kategori 26% cukai dan menyumbang RM3,000 ataupun lebih, anda akan mendapat pengecualian cukai maksimum RM3,000 dan penjimatan cukai sebanyak RM780 (26% x RM3000). Pendapatan anda daripada PRS juga dikecualikan cukai. Pemilik syarikat yang menyumbang kepada pekerja juga mendapat pengecualian cukai daripada sumbangan melebihi kadar yang ditetapkan oleh KWSP, sehingga 19% daripada sumbangan.

4. Pengeluaran Tunai

Daripada Akaun PRS Pelaburan dalam akaun PRS akan dibahagi kepada 2 bahagian, iaitu akaun A (70%) dan akaun B (30%). Pelaburan akan menggunakan jumlah keseluruhan dalam simpanan tetapi dibahagikan kepada 2 bahagian untuk tujuan pengeluaran. Anda boleh membuat pengeluaran apabila umur mencecah 55 tahun, berhijrah ke luar negara ataupun meninggal dunia. Walau bagaimanapun, anda boleh mengeluarkan dana dari akaun B sebelum persaraan. Perlu dingatkan bahawa penalti cukai sebanyak 8% berdasarkan jumlah yang dikeluarkan. Tidak seperti KWSP, akaun 2 boleh dikeluarkan tanpa dikenakan cukai.

5. Kekurangan

Walaupun pelbagai kelebihan ditawarkan oleh PRS, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Apabila anda membandingkan PRS dan KWSP, KWSP memiliki minimum dividen sebanyak 2.5% bagi caruman konvensional, ahli PRS mungkin tidak menerima pulangan ataupun mencatat pulangan negatif apabila dana tidak mencatat keuntungan. KWSP pula akan memberi pulangan sekurang-kurangnya 2.5% walaupun KWSP tidak menjana sebarang keuntungan.

Kesimpulan

Berdasarkan statistik terbaru dari Pihak Berkuasa Persaraan Swasta (PPA), 25% daripada ahli PRS adalah terdiri daripada kumpulan berusia 20-30 tahun. Anda perlu mewujudkan portfolio pelaburan peribadi yang akan menjana pulangan berbanding akaun simpanan yang akan diatasi oleh inflasi.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 103/November 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button