Pelan PenyimpananPerancangan Kewangan

Perancangan Persaraan: Mitos Persaraan

Secara umumnya, jika ditanya kepada sesiapa sahaja mengenai kepentingan merancang untuk persaraan mereka sebahagian besar memberikan jawapan yang meyakinkan “Ya, ia adalah penting”. Namun begitu, kebanyakan orang tidak melihat betapa pentingnya melengkapkan diri dengan pelan persaraan yang betul.

Keengganan untuk merancang masa depan persaraan sering dipandang ringan tetapi realitinya anda akan melalui usia persaraan lebih awal daripada apa yang anda fikirkan. Pepatah bahawa “kita tidak merancang untuk gagal tetapi gagal untuk merancang” adalah satu peringatan yang baik untuk masa depan. Justeru, anda perlu merancang pelan persaraan dengan betul dan bertindak untuk mengatasi masalah persaraan sebelum terlambat.

Dalam usaha untuk memahami cara pemikiran rakyat Malaysia mengenai subjek persaraan dan mengapa mereka kurang kesedaran mengenai kepentingan masa depan kewangan mereka, Pentadbir Pencen Swasta (PPA), telah mengenal pasti sebab-sebab utama yang berdasarkan andaian bagaimana rakyat Malaysia merancang untuk bersara. Semoga dengan andaian ini, dapat memberi kesedaran kepada mereka untuk tidak berlengah-lengah mengambil tindakan segera untuk mendapatkan pelan persaraan mereka.

5 Mitos Persaraan

  • Mitos #1 – Ramai orang berangggapan bahawa simpanan KWSP adalah mencukupi untuk menggantikan pendapatan ketika bersara. Walau bagaimanapun, mereka perlu mengambil perhatian bahawa simpanan KWSP mereka mungkin tidak mencukupi. Statistik KWSP pada tahun 2011, menunjukkan bahawa 72% daripada penyimpan pada umur sebelum persaraan iaitu 54 tahun mempunyai simpanan berjumlah RM50,000 ke bawah. Dalam kajian KWSP yang lain, 50% daripada pesara menghabiskan seluruh simpanan mereka dalam masa tempoh 5 tahun.
  • Mitos #2 – Masih ramai yang membuat andaian bahawa anak-anak boleh menjaga mereka semasa hari tua. Bagaimanapun, disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup kebanyakan anakanak pada masa ini mengalami kesukaran untuk menyediakan keperluan keluarga sendiri dan kini dibebani dengan kos penyaraan untuk kedua-dua ibu bapa.
  • Mitos #3 – Berkaitan dengan masa. Sesetengah orang menyangka dirinya terlalu muda untuk memulakan simpanan untuk persaraan, sementara yang lain berfikir mereka telah terlambat untuk memulakan simpanan kerana perlu menyimpan dengan kadar yang tinggi. Sebenarnya tidak ada masa yang sempurna untuk memulakan simpanan. Permulaan boleh dibuat pada bila-bila masa asalkan tindakan itu  bermula sekarang. Lebih awal anda simpan, lebih banyak masa untuk pertumbuhan dana persaraan anda.
  • Mitos #4 – Bekerja selepas bersara. Memilih untuk bekerja selepas bersara adalah baik, tetapi biarlah keputusan itu adalah dasar pilihan dan bukan kerana keperluan untuk menangani kos sara hidup.
  • Mitos #5 – Kebanyakan orang beranggapan bahawa mereka boleh mengurangkan perbelanjaan mereka selepas bersara. Tetapi realitinya, tidak mudah untuk menyesuaikan diri bila sudah biasa dengan gaya hidup tertentu. Di samping itu, dengan meningkatnya inflasi dan kos perubatan, maka adalah penting bagi mereka merancang kewangan mencukupi untuk persaraan.

Dalam usaha untuk mencapai persaraan kewangan yang terjamin, cara pemikiran perlu berubah. Kajian menunjukkan bahawa ramai orang di seluruh dunia tidak merancang dengan secukupnya untuk persaraan disebabkan oleh kurangnya kesedaran tentang perancangan kewangan, dan yang menyedihkan lagi mereka juga tidak tahu tentang konsep-konsep asas kewangan. Ini menyebabkan mereka tidak mempunyai dana persaraan yang mencukupi apabila mencapai usia persaraan.

Kurangnya pengetahuan dalam kewangan mungkin membantutkan kemampuan seseorang untuk menyimpan dan melabur untuk persaraan pada usia tua. Pakar kewangan sering merujuk kepada kelemahan dalam membuat keputusan kewangan sebagai penyebab pesara terdedah kepada masalah kewangan dalam persaraan. Masalah ini menjadi lebih kritikal apabila pesara beralih daripada pencen yang diurus secara profesional ke arah perancangan kewangan buat sendiri. Mengikut statistik, lebih daripada separuh pesara di Malaysia akan membelanjakan keseluruhan simpanan KWSP dalam masa tempoh 5 tahun. Simpanan persaraan boleh berkurangan sekiranya anda menganggap simpanan persaraan sebagai durian runtuh dan tidak membuat pelaburan untuk mendapatkan pendapatan pasif.

Kesimpulannya, walau apa jua isu-isu yang diutarakan, ia menunjukkan terdapat keperluan untuk membawa isu-isu persaraan ke peringkat peribadi. Individu perlu belajar untuk memberi tumpuan tentang perancangan persaraan. PPA membantu individu untuk merancang persaraan mereka dengan memberi tumpuan perhatian pada tiga isu utama yang perlu ditangani sekarang. Kami akan berkongsi secara lebih mendalam tentang cara untuk anda merancang dan mengambil tindakan mulai sekarang ke arah mencapai persaraan kewangan bercagar yang terjamin dalam terbitan Ringgit akan datang.

Artikel ditulis oleh Dato’ Steve Ong, Ketua Pegawai Eksekutif, Pentadbir Pencen Swasta (PPA).

PPA mengalu-alukan soalan yang berkaitan dengan perancangan persaraan. Sebarang maklum balas sila  e- mailkan kepada ask@ppa.my atau layari www.ppa.my untuk maklumat lanjut tentang soal perancangan persaraan

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 50/Jun 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button