Pelan PenyimpananPerancangan Kewangan

Perancangan Kewangan Ketika Usia 40-an

Apabila mencapai usia 40-an, anda mungkin telah berada di kemuncak kerjaya dan memperoleh pendapatan yang tinggi. Ketika itu juga, anda kian menghampiri usia persaraan anda. Jika anda masih belum merancang tentang persaraan anda, masih belum terlambat untuk anda berbuat sedemikian.

Berikut beberapa aspek perancangan kewangan yang perlu diberikan perhatian untuk golongan yang berusia 40-an.

  1. Perancangan Persaraan

    Bagi golongan yang berusia 40-an, anda mungkin mempunyai simpanan yang berjumlah antara ribuan hingga jutaan ringgit. Simpanan ini boleh dijadikan sebagai dana untuk membuat perancangan persaraan anda. Anda boleh memulakan pelaburan dengan wang simpanan sebanyak RM20,000. Selain itu, anda juga boleh melabur secara tetap pada setiap bulan sebanyak RM1,000. Dalam tempoh 20 tahun, pelaburan tersebut boleh menjangkau RM1.5 juta untuk simpanan hari tua anda (dengan jangkaan pulangan sebanyak 8% setahun).

  2. Seimbangkan Pelaburan

    Dengan tempoh usia persaraan yang berbaki antara 10 tahun hingga 20 tahun, anda perlu menentukan jenis pelaburan anda. Jika anda ingin melabur dalam unit amanah, perunding unit amanah perlu menentukan terlebih dahulu profil risiko anda berdasarkan kepada umur, tempoh masa pelaburan dan jangka masa persaraan. Berdasarkan profil risiko tersebut, syarikat pelaburan akan mencadangkan kepada anda jenis portfolio pelaburan yang bersesuaian.

  3. Perlindungan Untuk Diri dan Tanggungan

    Anda perlu melindungi diri dan tanggungan anda daripada sebarang kemungkinan yang berlaku. Anda mungkin ditimpa kemalangan, diberhentikan kerja, menghidap penyakit kronik dan sebagainya. Oleh itu, anda perlu mencarum dalam takaful atau insurans yang menawarkan perlindungan yang bersesuaian dengan keperluan anda. Antaranya, perlindungan kemalangan peribadi, perlindungan kesihatan, perlindungan insurans bertempoh, kad perubatan dan sebagainya. Selain itu, jika anda melabur dalam unit amanah untuk tujuan pendidikan, pilihlah unit amanah yang menyediakan takaful / insurans hayat dan kemalangan peribadi percuma. Sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini kepada diri anda, maka anda dan tanggungan akan dilindungi oleh takaful / insurans ini.

  4. Pendidikan Anak 

    Dalam usia 40-an, mungkin ada anak-anak anda yang telah melangkah ke sekolah menengah dan bakal memasuki universiti awam dan institusi pengajian tinggi. Oleh itu, anda perlu membuat perancangan supaya anda mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menampung pendidikan mereka apabila melanjutkan pelajaran kelak. Melaburlah dalam skim pelaburan yang boleh memberikan pulangan tinggi dalam jangka masa pendek. Anda mungkin perlu melaburkan sebahagian wang simpanan anda dan melabur secara tetap pada setiap bulan supaya dalam tempoh 5 tahun hingga 10 tahun, anda telah mempunyai wang yang mencukupi untuk keperluan pendidikan anak anda.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 86/Jun 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button