Perancangan Kewangan

Perancangan Kewangan Keluarga Muda

Isu kali ini mengisahkan perkongsian kehidupan sebuah keluarga muda yang tinggal di bandar, mempunyai pendapatan keluarga yang sangat terbatas dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar. Namun, keluarga muda ini mampu menguruskan belanjawan keluarga secara berhemat. Diharap perkongsian ini dapat dijadikan contoh teladan kepada keluarga muda atau generasi muda yang masih dalam perancangan mendirikan rumah tangga.

Puan Khairunnisa’ binti Ahmad Tarmizi, berumur 30 tahun, berkahwin dan mempunyai dua orang cahaya mata, berumur 4 tahun dan 1 tahun. Beliau bekerja sebagai Eksekutif Khidmat Pelanggan di McDonald selama 10 tahun. Setiap bulan sebelum menerima gaji, Khairunnisa’, atau lebih dikenali sebagai Intan, sentiasa menyediakan pelan kewangan. Pendapatan suami beliau turut digabungkan agar perancangan dapat diatur dengan mudah.

Berikut adalah perancangan kewangan Intan sekeluarga setiap bulan :-

Setiap bulan, Intan akan memastikan beliau berdisiplin dengan perancangan yang telah disediakan. Beliau membuat potongan gaji untuk simpanan diri dan suami, termasuk simpanan pendidikan serta insurans anak-anak berjumlah RM800. Kemudian, beliau menjelaskan pinjaman rumah dan ansuran bulanan kereta sebanyak RM1,511. Sumbangan kepada kedua-dua ibu bapa juga turut dimasukkan ke dalam bajet sebanyak RM800.

Bagi perbelanjaan keperluan anak-anak, beliau mengamalkan konsep membuat perbandingan harga melalui katalog dan sering mencari maklumat berkaitan jualan promosi di laman sosial. Beliau akan membuat belian secara pukal, dua bulan sekali sekiranya harga yang ditawarkan berpatutan.

Intan juga menambah simpanan dan wang pemberian kepada ibu bapa selepas majikan menaikkan gaji dan pangkatnya di tempat kerja. Pada waktu yang sama, Intan masih berdisiplin dengan perancangan kewangan bulanan keluarga beliau.

Tentu pembaca tertanya-tanya bagaimana Intan berjaya mengawal perbelanjaan keluarganya? Intan dan suami pernah menghadapi masalah hutang kad kredit. Belajar daripada kesilapan tersebut, beliau dan suami mengambil keputusan menjelaskan hutang dan membatalkan kad kredit. Beliau lebih selesa membuat tabungan dan perancangan awal untuk membeli belah, bercuti sekeluarga, makan besar dan merancang majlis sambutan hari lahir anak-anak beliau.

Intan turut menasihatkan keluarga muda yang sedang menghadapi masalah hutang agar tidak mengambil jalan singkat, iaitu dengan membuat pinjaman dengan ‘ah long’ atau ghairah ingin hidup senang dengan menyertai skim cepat kaya. Beliau juga menyarankan supaya generasi muda bijak mengawal kewangan dan tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan yang mengelirukan pengguna. Rujuk keluarga terdekat terlebih dahulu sebelum terlibat dengan hutang. Budaya terikut-ikut dengan cakap-cakap rakan dan tidak mendapatkan khidmat nasihat profesional akan mengundang bebanan hutang.

Pada masa akan datang, Intan mengimpikan kehidupan yang bebas daripada bebanan hutang, bersederhana dalam berbelanja dan ingin mencukupkan tabungan bagi menunaikan ibadat haji. Intan juga sering memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan, kerana bagi beliau, harta yang diperoleh perlu dikongsi bersama-sama dan bukannya hak kita semata-mata.

Intan turut berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapanya kerana telah mendidik beliau supaya sentiasa berusaha dan mencari peluang sekiranya ingin mencapai sesuatu impian. Dengan latar belakang pendidikan yang sederhana, Intan berusaha untuk menjadi insan yang memberi manfaat untuk diri sendiri serta keluarga dan sentiasa berfikir untuk memberi manfaat kepada orang lain.

Begitu hebatnya ibu muda bernama Intan. Beliau sangat teliti dalam setiap keputusan yang dilakukan. Itulah hasil kejayaan ibu muda ini mengawal perbelanjaan keluarga.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 72/April 2016

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button