Pelan PendapatanPelan PerbelanjaanPengurusan Kewangan

Penyediaan Penyata Pendapatan Peribadi

Pasti ramai yang mengetahui kepentingan untuk menguruskan kewangan peribadi dan merekodkan semua perbelanjaan. Namun begitu, tidak ramai yang tahu bagaimana untuk melakukannya. Dalam artikel ini, anda akan diberikan panduan untuk menyediakan penyata pendapatan peribadi.

Bagi memudahkan anda memahami kaedah menyediakan penyata pendapatan peribadi ini, sila hayati peranan yang dibawa oleh Aiman.

Aiman berusia 29 tahun dan bekerja sebagai eksekutif jualan di sebuah bank. Baru-baru ini, beliau telah berkenalan dengan seorang wanita yang gemar membeli-belah. Aiman amat menyukai wanita tersebut, tetapi apabila mereka berjumpa pada setiap sesi membeli-belah, Aiman tidak pasti sama ada dia mampu untuk terus bertemu janji.

Untuk menenangkan fikiran, Aiman ingin menganalisis keseluruhan perbelanjaan bulanannya. Berikut adalah langkah-langkah yang dilakukan oleh Aiman untuk menyediakan penyata pendapatan peribadi.

Pendapatan

Dalam menyediakan penyata pendapatan untuk bulan Januari, Aiman perlu menentukan terlebih dahulu jumlah wang yang diperoleh daripada pelbagai sumber pendapatan. Kebanyakan sumber pendapatan diperoleh daripada gaji, sewa daripada sewaan hartanah, faedah daripada simpanan, bonus dan dividen pelaburan.

Selepas membuat senarai, pendapatan Aiman untuk bulan Januari adalah seperti berikut:

  • Gaji Aiman ialah RM32,000 setahun (selepas ditolak dengan caruman KWSP, Perkeso dan Sistem Insurans Pekerja) ialah RM2,353.45 sebulan.
  • Selaku eksekutif jualan, Aiman turut menerima komisyen jualan sebanyak RM18,000 setahun.
  • Aiman perlu pergi ke beberapa lokasi untuk tujuan pekerjaannya. Dia menerima elaun perjalanan sebanyak RM600 sebulan.
  • Beliau menerima bonus akhir tahun dengan nila sebulan gaji (setelah ditolak caruman KWSP), iaitu RM2,372.00.
  • Aiman menerima dividen RM5 sesaham untuk 30 saham beliau di sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham. Beliau memiliki saham tersebut sepanjang tahun, maka tidak menjana keuntungan daripada modal tersebut.
  • Aiman tidak menyewakan apa-apa hartanah.

Dalam penyata pendapatan, jumlah bersih pendapatan atau perbelanjaan perlu dibahagikan kepada setiap bulan yang menyumbang. Contohnya, bonus akhir tahun tersebut berdasarkan hasil kerja Aiman untuk 12 bulan yang lepas.

Dengan maklumat di atas, Aiman telah menyediakan bahagian pertama Penyata Pendapatan seperti berikut:

Pendapatan Bulan Januari

Gaji Bulanan RM2,353.45
Komisyen Jualan RM1,500.00
Elaun Perjalanan RM600.00
Bonus Bulanan RM197.67
Dividen Bulanan RM13.00
Jumlah Pendapatan Bulanan RM4,664.12

Pendapatan bulanan berjumlah RM4,664.12 bukanlah bermakna akaun bank Aiman akan meningkat sebanyak jumlah tersebut dalam bulan Januari. Matlamat utama penyata ini ialah untuk menentukan sama ada gabungan pendapatan dan perbelanjaan anda mampu menghasilkan keuntungan. Penyata ini tidak akan memberikan maklumat mengenai baki tunai anda. Jika anda ingin mengetahui sama ada anda memiliki bekalan tunai yang mencukupi untuk membuat pembelian, Penyata Aliran Tunai lebih sesuai untuk tujuan tersebut.

Perbelanjaan

Selepas Aiman menyenaraikan semua sumber pendapatan, beliau kini perlu menyenaraikan perbelanjaan yang dibuat dalam bulan tersebut. Ini termasuklah perbelanjaan menggunakan kad debit dan kredit serta caj-caj yang dikenakan yang berkaitan dengan perbelanjaan pada bulan tersebut. Dalam situasi ini, Aiman hanya perlu menyenaraikan perbelanjaan pada bulan Januari sahaja. Walaupun Aiman telah membayar bil elektrik bulan Disember pada bulan Januari, ia tidak disenaraikan dalam Penyata Pendapatan Januari, tetapi sebaliknya dimasukkan dalam Penyata Pendapatan Disember.

Berikut merupakan senarai perbelanjaan Aiman:

  • Makanan dan barangan dapur – RM1,300
  • Sewa Rumah – RM1,500 yang dibayar pada bulan Disember
  • Pada bulan November, Aiman telah membayar insurans perlindungan berjumlah RM300 untuk tempoh 6 bulan
  • Pada bulan Oktober, Aiman melanggan keahlian gimnasium untuk tempoh 12 bulan, dengan kos RM1,440
  • Pada bulan Januari, beliau telah menggunakan servis teksi sebanyak 20 kali, dengan kad kredit sebanyak RM600
  • Teman wanita Aiman telah menggunakan kad kreditnya untuk membeli-belah sebanyak 12 kali pada bulan lepas, jumlah caj kad kredit RM1,400
  • Aiman membayar langganan Netflix untuk bulan Januari sebanyak RM50
  • Pelan Pascabayar telefon Aiman untuk bulan Januari berjumlah RM85
  • Aiman juga membuat bayaran untuk pinjaman pendidikan sebanyak RM250
  • Perbelanjaan lain pada bulan Januari berjumlah RM500

Aiman menggunakan maklumat perbelanjaan beliau untuk melengkapkan bahagian kedua penyata pendapatan. Seperti yang dinyatakan di atas, perbelanjaan yang dibayar sekali gus dan merupakan kombinasi bayaran bulanan perlu dibahagi kepada bulan yang berkaitan.

Berdasarkan senarai di atas, bayaran insurans pada bulan November, atau langganan keahlian gimnasium (Oktober) yang telah dibayar lebih awal, tetapi membenarkan anda untuk menggunakan servis yang diberikan pada bulan Januari. Maka, kos-kos yang berkaitan perlu dikira.

  • Insurans: RM300 / 6 bulan = RM50
  • Keahlian Gimnasium: RM1,440 / 12 = RM120

Perbelanjaan Bulan Januari

Makanan / Barangan Dapur RM1,300.00
Sewa Rumah RM1,500
Bayaran Insurans RM50.00
Belanja Pengangkutan RM600.00
Membeli-belah RM1,400.00
Hiburan RM50.00
Pelan Telefon RM85.00
Pinjaman Pelajaran RM250.00
Keahlian Gimnasium RM120.00
Lain-lain RM500.00
Jumlah Belanja Bulanan RM5,855.00

Penyata Pendapatan

Selepas menyempurnakan kedua-dua senarai pendapatan dan perbelanjaan tersebut, Penyata Pendapatan Aiman kini hampir sempurna.

Tempoh Penyata Pendapatan boleh diatur secara bulanan, setiap suku tahunan, atau tahunan. Untuk penyata pendapatan peribadi, lebih mudah jika anda menggunakan format bulanan, dan menggunakan maklumat-maklumat penyata pendapatan anda untuk menyediakan Penyata Pendapatan Tahunan.

Jangan menyangka tugas anda telah selesai pula! Untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai perbelanjaan anda, kira berapakah peratus perbelanjaan daripada jumlah pendapatan. Dengan langkah ini, anda boleh membuat perbandingan bulanan dan melihat perbelanjaan-perbelanjaan yang mendatangkan kesan besar ke atas pendapatan anda. Hal ini amat berguna terutamanya jika pendapatan bulanan anda berbeza setiap bulan. Malah, anda juga boleh menggunakan perbandingan ini untuk membuat anggaran perbelanjaan untuk bulan-bulan akan datang.

Langkah ini biasanya dikenali sebagai ‘peratus daripada jualan’. Memandangkan anda tidak menjual apaapa, anda boleh menamakannya ‘peratus daripada pendapatan’.

Peratus perbelanjaan daripada pendapatan

Perbelanjaan Bulan Januari

Jumlah Pendapatan Bulanan

RM4,664.12

100%

Makanan / Barangan Dapur

RM1,300.00

28%

Sewa Rumah

RM1,500

33%

Bayaran Insurans

RM50.00

2%

Belanja Pengangkutan

RM600.00

13%

Membeli-belah

RM1,400.00

30%

Hiburan

RM50.00

2%

Pelan Telefon

RM85.00

2%

Pinjaman Pelajaran

RM250.00

5%

Keahlian Gimnasium

RM120.00

3%

Lain-lain

RM500.00

11%

Jumlah Belanja Bulanan

RM5,855.00

129%

Jumlah Bersih

– RM1,190.88

-29%

Berdasarkan jadual di atas, apa yang boleh dirumuskan dengan penyata pendapatan Aiman adalah seperti berikut:

  • Pendapatan bulanan berada dalam skala negatif, yang menandakan Aiman berbelanja lebih daripada kemampuannya untuk bulan Januari. Untuk setiap pendapatan bernilai RM1.00, Aiman telah membelanjakan RM1.29. Jika Aiman tidak membuat sebarang perubahan, beliau tidak akan mampu menyimpan, dan bakal dibebani hutang dalam jangka panjang.
  • 34% daripada pendapatan Aiman ialah untuk membeli-belah, yang boleh dikira agak tinggi. Aiman perlu berbincang dengan teman wanitanya bagi menentukan penggunaan kad kredit yang betul.

Anda mungkin telah menjalani hidup dengan jumlah pendapatan negatif lebih kerap daripada apa yang anda sedari. Ini hanya akan terserlah selepas anda membuat Penyata Pendapatan Peribadi. Banyak produk kewangan yang boleh membantu anda untuk mengekalkan pendapatan bulanan dalam skala positif (pinjaman peribadi, kad kredit). Jika anda memiliki aliran pendapatan yang negatif, cuba kurangkan perbelanjaan anda.

Anda haruslah memastikan pendapatan anda cukup untuk menampung keperluan asas. Perbelanjaan yang tidak perlu seperti hiburan atau percutian boleh dikurangkan mengikut kemampuan atau keperluan semasa, selaras dengan kemampuan anda.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 96/April 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Lihat Juga
Close
Back to top button