Pengguna

Pentingnya Prinsip Undang-Undang Lemon

Pernahkah anda mendengar atau membaca tentang istilah ‘Undang-Undang Lemon’ atau ‘Lemon Law’? Pastinya, ada yang baru kali pertama mendengarnya. Ada pula yang mungkin sudah mengetahui serba sedikit tentang Undang-Undang Lemon ini, khususnya mereka yang pernah berada di negara-negara yang telah melaksanakannya, seperti Amerika Syarikat atauSingapura. Bagi yang memahami prinsip Undang-Undang Lemon, sudah pasti mereka merasakan undang-undang ini perlu dilaksanakan di Malaysia bagi memperkukuh lagi perlindungan pengguna.

Undang-Undang Lemon merujuk kepada prinsip yang boleh diguna pakai dalam mana-mana akta yang sedia ada, contohnya Akta Perlindungan Pengguna 1999 ataupun Akta Sewa Beli 1967. Ia digunakan apabila pengguna membeli sesuatu produk yang kecacatannya tidak dapat dipulihkan, dibaiki ataupun dikurangkan kerosakannya.

Mengapakah ia dipanggil Undang-Undang Lemon? Amerika Syarikat, yang merupakan antara negara yang mula mula memperkenal dan menguatkuasakan Undang-Undang Lemon ini, menggunakan istilah Lemon sebagai merujuk kepada pengalaman yang tidak manis, seperti mengigit ‘terus’ buah lemon yang masam rasanya.

Prinsip Undang-Undang Lemon terpakai kepada apa sahaja produk pengguna yang mempunyai jangka hayat melebihi 6 bulan, seperti telefon bimbit, peralatan elektrik, laptop, komputer, perabot atau kenderaan. Namun, antara semua produk yang dinyatakan itu, kerosakan ataupun kecacatan pada kenderaan merupakan yang paling tinggi nilainya serta boleh membahayakan nyawa pengguna kenderaan dan juga pengguna jalan raya yang lain. Oleh itu, Undang Undang Lemon penting dilaksanakan di Malaysia bagi menangani isu kerosakan kereta serta kemungkinan berlakunya kemalangan akibat daripada kerosakan tersebut.

Statistik Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menunjukkan bahawa aduan sektor automobil telah merekodkan nilai aduan yang tertinggi untuk tahun 2011, 2012 dan 2013 secara berturut-turut.

Oleh sebab prinsip Undang-Undang Lemon masih belum wujud di Malaysia, maka jumlah aduan berkaitan sektor automobil, khususnya kereta baru, semakin meningkat secara mendadak.

Hal ini menyebabkan pengguna terpaksa bergantung kepada waranti yang diberikan untuk membaiki kerosakan yang dialami. Dalam kebanyakan keadaan, waranti yang diberikan ini tidak mencukupi untuk memperbaiki kerosakan ataupun kecacatan pada kereta tersebut.

Singapura merupakan antara negara yang telah mengguna pakai prinsip Undang-Undang Lemon. Sekiranya pengguna di negara tersebut memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan, pihak bank yang memberikan pinjaman kepada individu yang menghadapi masalah dengan kereta yang baru dibeli, pegawai bank tersebut akan membantu untuk mendapatkan pampasan yang sewajarnya berdasarkan prinsip Undang-Undang Lemon. Dengan pelaksanaan Undang-Undang Lemon, pihak bank wajib meminda kontrak sewa beli dengan pelanggan mereka supaya selari dengan prinsip Undang- Undang Lemon ini. Tambahan pula, kereta baharu yang dibeli dengan menggunakan pembiayaan bank adalah menjadi milik bank sehinggalah segala hutang dilangsaikan.

Oleh itu, sebagai pemilik kereta tersebut, pihak bank bertanggungjawab untuk memastikan kereta tersebut dalam keadaan yang selamat dan bebas daripada sebarang kerosakan ataupun kecacatan yang boleh membahayakan nyawa pelanggan mereka. Dengan keadaan seperti ini, pihak bank secara tidak langsung akan bertanggungjawab atas kerosakan ataupun kecacatan pada kereta apabila Undang-Undang Lemon dilaksanakan.

Kebanyakan negara maju serta mempunyai ekonomi yang kukuh telah lama mengamalkan prinsip Undang- Undang Lemon. Sebagai contoh, Singapura telah menguatkuasakan prinsip Undang-Undang Lemon dalam Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil). Begitu juga di Amerika Syarikat, yang telah melaksanakan prinsip ini sejak tahun 70-an lagi.

Terdapat tanggapan sesetengah syarikat penjual kereta bahawa mereka akan mengalami kerugian sekiranya prinsip Undang-Undang Lemon ini dilaksanakan kerana mereka terpaksa menggantikan kereta yang rosak atau cacat itu dengan kereta yang baharu. Tanggapan ini tidak benar kerana dengan pelaksanaan prinsip Undang-Undang Lemon ini, ia menyebabkan syarikat penjual kereta lebih sensitif terhadap perlindungan pengguna. Oleh itu, ia menyebabkan pengguna lebih gemar untuk memilih jenama kereta itu kerana pengguna mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kualiti dan mutu perkhidmatan syarikat itu.

Justeru, pada 14 Oktober 2014 yang lalu, NCCC dan Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia telah mengadakan seminar bertemakan ‘Apabila Kehidupan Memberikan Lemon kepada Anda’. Tujuan seminar ini adalah untuk memberi kesedaran kepentingan prinsip ini dalam perlindungan pengguna. Seminar ini juga bermatlamat untuk menganalisis kepentingan dan kesan positif pelaksanaan prinsip Undang-Undang ‘Lemon’ kepada pengguna dan juga syarikat pengeluar serta penjual kereta tempatan dan import.

Seminar disampaikan oleh penceramah berpengalaman dari Persatuan Pengguna Singapura dan Australia bagi berkongsikan pengalaman pelaksanaan Undang-Undang ‘Lemon’ di negara mereka. Turut juga hadir ialah Jabatan Pengangkutan Jalan Raya, Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (MIROS), SGS Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Bahagian Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa, Persatuan Automobil Malaysia (AAM), Mazda, Toyota dan Honda.

Walaupun proses pelaksanaan prinsip ini mungkin mengambil masa agak lama untuk dilaksanakan di Malaysia, sebagai langkah permulaan, NCCC dan Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia berhasrat pihak-pihak berkepentingan dapat melihat kepentingan prinsip ini. NCCC juga menyediakan laman sesawang www.standardsusers.org atau facebook www.facebook.com/standardsusers kepada pengguna untuk mengetahui lebih lanjut mengenai prinsip Undang-Undang ‘Lemon’ dan mengalu-alukan maklum balas daripada pelbagai pihak.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 54/Oktober 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button